Tuesday, July 26, 2011

KLIP BERITA SANA SINI 26 JULAI 2011


BNM Terbitkan Siri Syiling Baru Mulai Januari 2012

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan siri ketiga duit syiling baru tahun depan.
Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, duit-duit syiling baru yang dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen diinspirasikan daripada ciri-ciri unik yang mencorakkan budaya dan warisan kaya negara ini.
"Motif reka bentuk duit syiling ini memaparkan keindahan alam semulajadi, flora dan fauna dan seni kraftangan tradisional yang terdapat di Malaysia," kata beliau pada majlis pelancaran 500,000 set duit syiling peringatan bagi menandakan siri-siri duit syiling baru itu di sini, Isnin.
Beliau berkata, siri duit syiling baru ini lebih kecil dan ringan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya.
Ia juga mempunyai sisi tepi yang berbeza-beza bagi memudahkan orang ramai dan mereka yang kurang upaya penglihatan mengenali dan membezakannya.
Duit syling berwarna kuning dan perak ini dibuat dengan menggunakan kemajuan terkini teknologi pembuatan duit syiling dengan memasukkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mengelak daripada pemalsuan.
Logam baru yang digunakan untuk membuat duit syiling ini adalah dari jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama.
Siri baru ini akan berada dalam edaran bersama-sama dengan siri yang sedia ada. Siri yang sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur.
Bank pusat juga akan bekerjasama dengan institusi kewangan, perniagaan dan vendor yang mengendalikan wang tunai untuk memastikan peralihan yang lancar.
"Vendor yang mengendalikan mesin wang tunai akan diberikan tempoh enam bulan untuk mengubah suai mesin bagi memudahkan penggunaan duit syiling baru ini nanti," kata Zeti lagi.
Pada majlis itu, beliau turut memperkenalkan siri keempat duit kertas baru yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan September nanti. - BERNAMA 
KJEE: NAK TAHU NOTE KERTAS RM5 BILA NAK TUKAR? MUDAH SANGAT ROSAK!


95 pasar tani khas dibuka sempena Ramadan 

PUTRAJAYA: Sebanyak 95 Pasar Tani Khas akan dibuka di seluruh negara sempena bulan Ramadan ini bagi memastikan pengguna memperoleh bekalan makanan yang mencukupi dengan harga berpatutan. 
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, 40 pasar tani khas tambahan sementara akan turut dibuka di 40 lokasi terutama di Lembah Klang dan di bandar-bandar besar.

Beliau berkata, pasar tani itu akan menawarkan barangan segar dengan harga 10 hingga 15 kali lebih murah berbanding barangan di tempat lain.

Noh turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberikan kerjasama kepada permohonan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membuka pasar tani tambahan itu. 

"Di Selangor saya difahamkan FAMA belum mendapat kelulusan daripada PBT. Jadi saya minta PBT di Selangor dapat memberikan kerjasama kerana ia membolehkan pengguna mendapatkan barangan dengan harga yang murah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Khas Aidilfitri di sini hari ini. 

Noh berkata, FAMA dan agengi-agensi berkaitan akan memastikan bekalan makanan untuk musim perayaan ini mencukupi terutama ayam dan kelapa. 

Terdahulu berucap dalam perhimpunan bulanan kementerian itu, Noh berkata, terdapat 458 pasar tani di seluruh negara dengan 21,026 usahawan sehingga Jun lalu. 
"Jumlah nilai jualan yang dicatat dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini ialah RM296 juta," katanya. 
Kerajaan juga memperkenalkan Program Ladang Kontrak untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana dalam menjamin pengeluaran hasil pertanian mereka dipasarkan dan mendapat pulangan yang setimpal. - BERNAMA 

KJEE: REBUTLAH PELUANG BELI BARANGAN MURAH


Pengeluar ”bir halal” dinasihat dapatkan sijil halal Jakim




KUALA LUMPUR 25 Julai – Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menasihatkan pengeluar minuman ringan malta atau ”bir halal” mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau majlis agama Islam negeri (MAIN).
Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, ini bagi mengelakkan kekeliruan umat Islam selepas muzakarah jawatankuasa itu pada 16 dan 18 Jun lepas memutuskan minuman tersebut diproses bukan untuk tujuan pembuatan arak.
"Alkohol yang terkandung dalam minuman tersebut juga bukan terhasil daripada proses pembuatan arak serta dengan kadar yang sedikit dan tidak memabukkan adalah dibolehkan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Pelancaran Ihya” Ramadhan Peringkat Kebangsaan 2011 di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan.
Isu bir halal timbul sejak 28 Mei lepas, susulan laporan akhbar mengenai penjualan minuman berkenaan yang semakin popular pada kalangan umat Islam di negara ini. – Bernama

KJEE; ADA MASALAH KE KALAU TAK MINUM?

0 comments:

Post a Comment