Monday, August 8, 2011

KLIP BERITA MUTAKHIR 8 OGOS 2011


Suami wanita dikerat bukan suspek: Polis


2011/08/08

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan suami seorang wanita yang mayatnya dikerat-kerat di sebuah unit pangsapuri di Ampang Rabu lalu, tidak terbabit dalam pembunuhan itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata ini didasarkan kepada keterangan yang diambil daripada lelaki tempatan itu semalam.
Beliau juga mengesahkan bahawa kanak-kanak lelaki yang mayatnya ditemui dalam sebuah beg plastik di tempat yang sama pada hari berkenaan adalah anak mereka.

Mayat kedua-dua beranak itu dituntut lelaki berkenaan.

Tun Hisan enggan mendedahkan identiti lelaki itu atau pun maklumat mengenai perkahwinan pasangan itu kerana katanya ia tidak perlu untuk pengetahuan umum.

Bagaimanapun, katanya, polis sedang meneliti dokumen perkahwinan mereka yang ada pada lelaki berkenaan untuk tujuan pengesahan dan membantu siasatan.

Rabu lalu, polis menemui keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus dalam beberapa beg plastik serta dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas, Ampang.
Selepas siasatan awal, polis mengesahkan semua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita warga asing berumur 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki yang dianggar berusia antara lima dan enam tahun.

Dua hari lalu, lapan lelaki asing berumur antara 26 dan 38 tahun ditahan polis di Ampang. Polis juga menemui satu alat yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu. - BERNAMA /BERITA HARIAN ONLINE


Budak Lapan Tahun Mangsa Pertama Cedera Akibat Mercun Di Kedah
ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun cedera di muka selepas terkena mercun bola semasa bermain bersama abangnya dan beberapa jiran mereka di Taman Teja, Changlun petang Sabtu lepas.

Mangsa Fakhrul Danish Fadzil, pelajar darjah dua Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara, Changlun dikatakan duduk melihat mercun yang tidak meletup sebelum ia meletup dan terkena pada mukanya.

Ibu mangsa Manisah Mohd, 41, berkata ketika kejadian dia sedang menyiapkan juadah berbuka di rumah.

"Sebelum kejadian, dia (Fakhrul Danish) memberitahu saya mahu pergi taman permainan (terletak di depan rumah) dan saya tidak larang kerana dia memang selalu main di situ bersama kawan-kawannya. Kira-kira pukul 7 malam iaitu 10 minit selepas dia keluar, dia balik bersama abangnya dengan keadaan muka merah dan abangnya memberitahu Fakhrul terkena mercun," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Isnin.

Beliau berkata memandangkan tiada darah dan Fakhrul Danish tidak menangis, dia tidak segera membawa anaknya itu ke klinik, sebaliknya membawanya ke klinik selepas berbuka puasa.

"Dia beritahu saya matanya pedih dan apabila saya membuka matanya saya lihat matanya merah. Saya bawa Fakhrul Danish ke klinik berhampiran, tetapi doktor meminta supaya pergi ke hospital dan apabila sampai di Hospital Jitra, doktor di situ meminta agar Fakhrul menerima rawatan di HSB bagi memudahkan pemantauan daripada pakar mata," kata Manisah.

Manisah yang merupakan seorang guru berkata selepas menerima rawatan di HSB, daktor memberitahu mata anaknya mengalami kekaburan.

"Saya bersyukur kerana anak saya dapat melihat walaupun kabur. Doktor kata anak saya hanya mengalami kecederaan luaran sahaja. Mukanya yang kemerahan pada awalnya dah nampak melepuh dan saya harap dia akan cepat sembuh," katanya.

Sementara itu, Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie berkata Fakhrul Danish mengalami kecederaan pada kedua-dua belah mata akibat daripada letupan mercun tersebut.

"Dia juga mengalami kekurangan penglihatan akibat kejadian itu," katanya. - BERNAMA/mStar


95% perokok mampu berhenti merokok dalam bulan Ramadan

PUTRAJAYA: Kajian mendapati 95 peratus daripada perokok beragama Islam menyatakan lebih mudah untuk berhenti merokok dalam bulan Ramadan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata, berpuasa 14 jam sehari secara tidak langsung membantu perokok untuk lebih mudah berhenti kerana sepanjang tempoh itu mereka berupaya mengawal diri daripada merokok.

Justeru itu, Kementerian Kesihatan setiap tahun mempergiatkan kempen berhenti merokok menerusi program Nafas Baru Bermula Ramadan dengan slogan 'Ramadan titik permulaan untuk berhenti merokok'.

"Jadi gunakanlah kesempatan Ramadan ini kerana ia peluang terbaik bagi perokok berazam dan seterusnya meninggalkan tabiat merokok," katanya pada Seminar Pendidikan Fatwa-Merokok Adalah Haram di sini, baru-baru ini.

Dr Hasan berkata ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang mencecah RM3 bilion setahun, untuk merawat tiga penyakit akibat merokok seperti jantung, kanser paru-paru dan penyakit paru-paru kronik. -Bernama/Metro

0 comments:

Post a Comment