Saturday, August 6, 2011

MAKANAN SEIMBANG ELAK KELETIHAN

SEMUA GAMBAR2 EHSAN GOOGLE

Oleh MERAN ABU BAKAR
BERPUASA, ibadah yang diwajibkan ke atas umat Islam sebenarnya mempunyai banyak kebaikan ke atas kesihatan manusia.
Semasa berpuasa, tubuh mempunyai mekanisme regulasi yang menjadi aktif, kadar metabolisma akan menjadi perlahan, lemak tubuh dan lemak daripada makanan akan digunakan sepenuhnya dan pembuangan bahan toksik secara semulajadi akan berlaku.
Terdapat banyak faedah berpuasa seperti memberi rehat pada perut, memusnah serta mengeluarkan bahan buangan berbahaya daripada perut, mengawal tekanan darah serta menguatkan salur darah, meningkatkan fungsi jantung serta buah pinggang, mengawal paras gula dan menurunkan paras kolesterol serta asid urik.
Bagi mereka yang menghadapi masalah obesiti, penurunan berat badan akan dapat dicapai semasa berpuasa.
Pengambilan makanan yang seimbang perlu pada bulan puasa kerana makanan yang seimbang boleh membantu membaiki profil kolesterol darah, mengurangkan keasidan perut, menghalang daripada sembelit dan masalah penghadaman lain serta dapat menggalakkan gaya hidup yang sihat dan aktif.
Jika pada siangnya kita berpuasa, malamnya pula kita amat digalakkan untuk bersahur.
Bersahur amat dititik beratkan kerana ia membekalkan tenaga bagi menjalankan aktiviti harian seperti biasa walaupun dengan sekadar meneguk air.
Menurut pakar pemakanan Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) dan Pusat Perubatan Kampung Baru, Sarah Sabreina Mohd. Sabidi, air merupakan komponen yang sangat penting di dalam tubuh. Kekurangan air di dalam tubuh akan menyebabkan dehidrasi.
“Kesannya, banyak proses di dalam badan akan terganggu, kurang tumpuan, mabuk dan mungkin pitam. Masa bersahur juga baik untuk minum satu atau dua gelas air suam (selepas bangun tidur) kerana ia membantu membuang sekresi (cecair) di dalam perut yang tertinggal semalaman.
“Amalan ini juga boleh mengaktifkan buah pinggang untuk bekerja dan membantu dalam proses penyingkiran bahan buangan serta toksik dalam badan,” kata Sarah pada ceramah kesihatan umum bertajuk ‘Diet, Puasa dan Makanan Seimbang’ di Pusrawi, baru-baru ini.
Beliau berkata, semasa bersahur, makan makanan daripada jenis yang dihadamkan dengan perlahan kerana dapat membantu melambatkan proses lapar.
Ambil juga makanan daripada kumpulan karbohidrat kompleks yang mengandungi tinggi serat dan boleh bertahan selama lapan jam.
Di antara jenis makanan yang dihadamkan perlahan ialah bijirin gandum penuh, beras perang, oat, kekacang, barli, sayur-sayuran, buah-buahan segar dan buah-buahan kering.
Makanan yang tinggi serat seperti bijirin penuh, biji-bijian, barli, gandum penuh, oat dan kekacang dapat membantu penghadaman, mengelakkan sembelit dan rasa kenyang bertahan lebih lama. Ia juga mengurangkan keasidan perut dan meningkatkan penghasilan asid hempedu bagi penyerapan lemak.
Diet Semasa Berbuka
Rasulullah s.a.w. menyarankan umatnya untuk segera berbuka setelah lebih 10 jam berpuasa dan mencukupilah dengan air, kurma atau jus buah-buahan yang kaya dengan glukos, vitamin dan mineral.
Sarah berkata, glukos merupakan gula ringkas yang dapat memberi tenaga segera pada tubuh. Vitamin pula diperlukan untuk menukarkan karbohidrat ringkas kepada sumber tenaga tubuh, jus buah penghilang tenaga yang mujarab dan pisang kaya dengan potassium, magnesium dan karbohidrat ringkas.
Menurut Sarah lagi, pengambilan air amat penting semasa berbuka kerana air memberi kesegaran kepada tubuh setelah lama berpuasa, mengelakkan dehidrasi berlanjutan, mengganti semula air yang hilang semasa berpuasa, kekurangan air akan menjadikan metabolisma rendah.
“Sebaik-baiknya sediakan minuman daripada bahan semula jadi seperti gula merah, madu lebah dan jus buah. Elakkan atau kurangkan pengambilan gula putih, sirap, pewarna dan perasa tiruan.
“Elakkan minuman berkafein yang berlebihan kerana ia menyebabkan sukar tidur, gastritis, mempercepatkan degupan jantung dan mengurangkan prestasi mental.
“Kesihatan akan bertambah baik jika tidak makan mengikut nafsu dan mengamalkan makanan seimbang. Berat badan dan risiko penyakit yang berkaitan dengan kegemukan dapat dikurangkan dan melanjutkan jangka hayat,” tambah Sarah. - DIPETIK DARI BLOG SYUKRAN.WORDPRESS.COM

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...