Monday, August 8, 2011

TANAH RUNTUH DI CAMERON HIGHLANDS..SATU KORBAN


KUALA LUMPUR: Seorang wanita terkorban manakala seorang lelaki dan seorang wanita cedera parah dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang pada Ahad.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands berkata kejadian yang berlaku pada pukul 5.45 petang itu membabitkan lima buah rumah penduduk kampung.
"Mangsa yang cedera parah dan mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata di sini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu sedang giat dijalankan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. - BERNAMA





TERKINI 1.30AM


Tanah runtuh: 3 maut, 3 masih hilang

2011/08/08

CAMERON HIGHLANDS: Tiga wanita terbunuh manakala tiga lagi, dua lelaki dan seorang wanita, cedera parah dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Brinchang di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kejadian pada 5.45 petang semalam berlaku semasa hujan lebat.

Ketiga-tiga mangsa yang terbunuh belum dikenal pasti manakala yang cedera ialah Bah Anjang Besar a/l Alang, 39, Serry Priary a/p Saari, 15, dan Ali Hassan, 50.

Tiga lagi mangsa dikhuatiri tertimbus terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita. 

Pasukan bomba menemui mayat mangsa pada kira-kira 6.15 petang manakala dua yang cedera parah berjaya dikeluarkan kira-kira 20 minit kemudian. 

Mayat wanita dan dua yang cedera itu dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata di sini. 

Mangsa ketiga yang cedera, Ali dijumpai oleh pasukan penyelamat pada kira-kira 11.25 malam tadi dan dimasukkan ke hospital sama. 
Dua lagi mangsa yang terkorban dijumpai pada kira-kira 12.25 tengah malam dan 12.35 tengah malam tadi. 

Wan Mohd Zahari berkata tiga rumah terbabit dalam kejadian itu. 

Lebih 100 anggota polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam dengan bantuan penduduk menjalankan usaha mencari sehingga tengah malam tadi. 

Perkampungan berkenaan terletak kira-kira 2 kilometer dari Jalan Brinchang ke Tanah Rata dan pasukan penyelamat terpaksa berjalan kaki masuk ke kawasan kejadian. - BERNAMA 


0 comments:

Post a Comment