Tuesday, September 13, 2011

JINS PERTAHAN FILEM BUKIT KEPONG


Filem 'Bukit Kepong' Ikut Fakta Sejarah - Jins Shamsuddin
OLEH NIEZAM ABDULLAH
KUALA LUMPUR: Pengarah filem Bukit Kepong, Tan Sri Dr Jins Shamsuddin menjelaskan penghasilan filem tersebut dilakukan berdasarkan fakta sejarah selepas pihaknya melakukan perbincangan terperinci dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jins berkata, filem yang menjalani penggambaran pada tahun 1981 itu turut mendapat kerjasama daripada penduduk kampung Bukit Kepong selain temu bual dengan pengganas komunis yang menyerah diri selepas insiden berkenaan.
“Saya membuat skrip filem itu selepas memperoleh input daripada pihak PDRM yang diketuai oleh Ketua Polis Negara pada ketika itu (Tun) Hanif Omar.
"Selain maklumat yang diberikan oleh PDRM, saya turut membuat kajian dengan bertemu penduduk kampung Bukit Kepong termasuklah bekas anggota PKM (Parti Komunis Malaya) bagi mendapat gambaran sebenar mengenai tragedi berkenaan.
“Apa yang disiarkan dalam filem itu adalah fakta dan gambaran sebenar yang diperoleh daripada PDRM serta berdasarkan kepada temu bual saya dengan pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai penghasilan filem Bukit Kepong di pejabatnya, di Studio Panca Delima, Jalan Hulu Klang di sini, Isnin.
Kisah Bukit Kepong menjadi hangat apabila Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu mendakwa Mohamad Indera yang terlibat dalam tragedi berdarah tersebut adalah hero sebenar.
Jins Shamsuddin (kanan) memberi penjelasan kepada para pemberita mengenai penghasilan filem 'Bukit Kepong' di pejabatnya, di Jalan Hulu Kelang, Isnin.
Kata Jins, dalam filem berkenaan watak Mohamad Indera ditonjolkan sebagai pihak yang mengetuai serangan ke atas anggota polis Bukit Kepong sehingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah.
Ujarnya, sebelum pembikinan filem itu, keluarga Mohamad Indera ada berjumpanya dan meminta supaya tidak terlalu menonjolkan kejahatan anggota PKM itu menyebabkan beliau terpaksa akur.
“Saya akui semasa penggambaran filem itu hendak dilakukan, keluarga Mohamad Indera ada berjumpa saya secara peribadi dan meluahkan hasrat supaya kejahatan lelaki berkenaan tidak ditonjolkan,” katanya.
Jelasnya lagi, penghasilan filem berkenaan adalah berdasarkan kepada fakta sejarah yang diperoleh selain nasihat PDRM dan bukannya direka sendiri oleh pihaknya untuk tujuan komersial bagi menarik perhatian orang ramai.
Tambahnya lagi, kebenaran filem itu diakui oleh pihak kerajaan dan ahli keluarga anggota-anggota polis Bukit Kepong sendiri sehingga filem berkenaan memperoleh lapan anugerah termasuklah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke tiga (FFM-3) pada tahun 1982.
Katanya lagi, semua pihak tidak wajar mempertikaikan filem tersebut kerana penggambarannya dilakukan selepas pihak PDRM berpuas hati dengan skrip yang dilakukan.
“Tun Hanif turut memberikan saya seorang setiausaha daripada anggota polis sendiri bagi membantu saya menjalankan penyelidikan sehinggalah skrip dan penggambarannya siap dilakukan selepas semua pihak berpuas hati dengan fakta-fakta dalam filem itu,” katanya.
Kos pembikinan filem tersebut menelan belanja RM1.3 juta dan memperoleh kutipan RM1.7 juta selepas tayangan.
Selain Jins yang memegang watak Ketua Polis Balai bernama Sarjan Jamil, ia turut dilakonkan oleh Hussein Abu Hassan, Yusof Haslam, A.Rahim serta Suhaina Yahya.

0 comments:

Post a Comment