Wednesday, August 8, 2012

ANAK MELAYU ANTARA 6 TERBAIK DUNIA!! TAHNIAH!!!





Azizulhasni Gagal Raih Pingat, Duduki Tempat Keenam Terbaik Dunia

LONDON: Walaupun gagal menyumbangkan pingat kepada Malaysia, pelumba trek sensasi negara Mohd Azizulhasni Awang berjaya memperbaiki pencapaiannya apabila menduduki tempat keenam dalam acara keirin individu lelaki Sukan Olimpik 2012.

Pencapaian pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 24 tahun itu mengatasi kedudukan tempat ketujuh yang diraihnya pada Sukan Olimpik Beijing 2008.

Pada perlumbaan akhir acara itu yang melibatkan enam pelumba di Velodrom London di sini pada Rabu, Mohd Azizulhasni terpaksa bersaing dengan jaguh-jaguh dunia yang lebih berpengalaman daripadanya.

Pelumba negara itu terpaksa akur dengan kehebatan pelumba Britain Chris Hoy yang juga juara bertahan serta juara dunia tiga kali, Teun Mulder dari Belanda pada perlumbaan yang membabitkan lapan pusingan itu.

Mohd Azizulhasni yang merupakan juara Piala Dunia Keirin tiga kali berturut-turut sejak 2008, beraksi cemerlang untuk berada di hadapan ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan, namun apabila 50 meter menuju ke garisan penamat, beliau dihalang Mulder menyebabkan pelumba lain berjaya memintasnya.

Hoy memenangi pingat emas acara itu manakala perak milik Levy Maximilian dari Jerman. Simon Van Velthooven dari New Zealand dan Mulder, masing-masing meraih gangsa.

Terdahulu, dalam saingan di peringkat separuh akhir, Mohd Azizulhasni yang digelar 'The Pocketrocketman' menduduki tempat kedua di belakang Hoy manakalaMulder pada kedudukan ketiga.

Pada pusingan pertama, pelumba negara itu juga menduduki tempat kedua di belakang pelumba Perancis, Mickael Bourgain untuk layak secara automatik ke separuh akhir.

Pengurus pasukan negara, Datuk Naim Mohamad menyifatkan Mohd Azizulhasni mempunyai jiwa besar walaupun bertubuh kecil.

"Sebelum Olimpik ini, dia mengalami kecederaan ketika menyertai kejohanan dan latihan namun beliau tetap cekal untuk bersaing di temasya ini. Beraksi di peringkat akhir merupakan satu pencapaian kepadanya," kata Naim.

Dalam acara pecut dua hari lepas, Mohd Azizulhasni menduduki tempat kelapan. - BERNAMA

2 comments:

Masya said...

tahniah buat anak melayu yg mengharumkan negara....

ashamami said...

tahniah tahniah tahniah...bangga betu kita dgn kejayaan tu.

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...