Monday, August 13, 2012

MAKLUMKAN KEPADA POLIS KALAU BALIK KAMPUNG





Peringatan ini cukup penting bagi mereka yang hendak pulang ke kampung terutama sekali jika korang merasakan tidak selamat tinggalkan rumah lama2.


Laporkan Kepada Pihak Polis Sebelum Pulang Ke Kampung
SHAH ALAM: Mereka yang ingin pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut hujung minggu ini digesa memaklumkan kepada pihak polis supaya rondaan dapat dilakukan sepanjang ketiadaan mereka bagi mengelakkan kejadian jenayah seperti pecah rumah.

"Kita minta mereka yang ingin pulang ke kampung ambil borang yang dikhaskan untuk memaklumkan mereka tiada di rumah sepanjang musim perayaan ini. Selepas ambil borang isi dan hantar semula ke balai polis yang berhampiran dengan rumah masing-masing.

"Dengan adanya maklumat ini pihak polis akan mengadakan rondaan di kawasan kediaman anda. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan berlakunya kes pecah rumah yang paling banyak dilaporkan pada musim perayaan," kata Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada majlis perasmian Kempen Keselamatan Peringkat Negeri Selangor di Kompleks Karangkraf di sini pada Isnin.

Bagi keselamatan jalan raya, beliau berkata pengguna diminta mengamalkan sikap berhati-hati ketika memandu.

"Kita perlu berhati ketika memandu, jangan langgar lampu isyarat, jangan memandu melebihi had laju, jangan memotong di selekoh.

"Apa yang lebih penting, jangan memandu dalam keadaan mengantuk, berhenti di mana hentian rehat dan rawat, bila mengantuk. Kalau kita cuai dan lalai, kemalangan boleh berlaku dalam sekelip mata," katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat menyimpan nombor-nombor penting seperti talian hotline polis 0320329999.

Pada masa yang sama, Tun Hisan berkata sikap cuai dan mengambil mudah keselamatan harta benda dan diri turut mengundang jenayah daripada berlaku.

Menurutnya, jenayah tidak akan berlaku sekiranya tidak ada peluang dan penjenayah itu sendiri.

"Kita sering ambil mudah perkara ini namun kita sering mengabaikan langkah-langkah keselamatan ini kerana beranggapan jenayah tidak akan berlaku.

"Sebagai contoh kita tidak mengunci kenderaan. Ini akan membahayakan diri kita sendiri.

"Kalau di rumah, sekiranya kita tidak kunci pagar maka kita juga beri ruang untuk pencuri masuk untuk melakukan jenayah. Sikap sambil lewa dan kecuaian kita ini akan membawa padah," katanya.

Beliau turut menegur sikap kaum wanita yang suka meletakkan tas tangan mereka di tempat duduk hadapan penumpang.

Ini katanya mengundang bahaya.

"Kita sendiri yang memberi peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah. Untuk mencegahnya, kita seharusnya menutup peluang-peluang yang ada bagi mengelakkan jenayah ini daripada berlaku.

"Peluang yang terhidang di depan mata sudah pasti tidak akan dilepaskan dan ia menjadi semangat kepada mereka untuk melakukan jenayah tanpa mengenal siapa mangsa mereka," katanya. - mStar Online

0 comments:

Post a Comment