Sunday, December 9, 2012

MISI KEMAKNUSIAAN KP1M TIBA DI GAZA

UPDATE GAZA




GAZA: Selepas menempuh perjalanan selama 34 jam dari Kuala Lumpur dan melalui begitu banyak pusat pemeriksaan keselamatan, akhirnya misi kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) tiba di kawasan kediaman rakyat Palestin di Gaza.

Pasukan 52 anggota ini, yang terdiri daripada sukarelawan, petugas perubatan dan anggota media, tiba dengan bas pada kira-kira pukul 10 malam Sabtu waktu tempatan (3.45 pagi Ahad di Malaysia) setelah singgah sekejap di Kaherah dan Rafah, Mesir. Mereka disertai anggota lain yang tiba lebih awal di sana.

Pada Ahad, pasukan ini akan melawat kawasan yang terjejas oleh serangan ganas Israel baru-baru ini, yang mengakibatkan lebih 100 rakyat Palestin terbunuh.

"Ini adalah 'real ground zero', jadi kita akan dapat maklumat dan tengok keadaan sebenar apa yang berlaku daripada sebelum ini hanya baca dan lihat berita," kata ketua misi dan presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kepada pemberita.

Beliau berkata, pasukan ini juga akan melawat dua hospital di sini untukmenyerahkan bekalan perubatan dan bantuan lain kepada mereka yang memerlukannya.

Sebelum meninggalkan Malaysia, Abdul Azeez berkata, misi itu bertujuan memberi bantuan kepada 40,000 keluarga Palestin di Gaza, termasuk menyerahkan bekalan makanan dan selimut kepada mereka.

Sementara itu, ketua pasukan perubatan misi berkenaan, Datuk Dr Alwi Abdul Rahman, berkata pihaknya akan membuka sebuah klinik dan menghulurkan bantuan kepada doktor serta anggota paramedik tempatan, termasuk mengadakan latihan.

"Latihan yang akan diberi termasuk berkaitan CPR, cara menangani kes strestraumatik dan cara merawat kecederaan.

"Kami juga akan bekerjasama dengan hospital kanak-kanak tempatan dan menganjurkan kegiatan psikososial seperti perlawanan bola sepak dan pertandingan melukis untuk kanak-kanak di sini, katanya.

Beliau berkata, bekalan ubat-ubatan yang dibawa pasukan ini mencukupi untuk 2,000 pesakit bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

"Besar kemungkinan, kebanyakan pesakit mengalami pasca-trauma dan kecederaan akibat konflik yang berlaku. Tapi, lebih penting daripada itu, kami juga berada di sini untuk memberi sokongan moral kepada mereka," kata Dr Alwi. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...