Pages

Monday, June 30, 2014

MAHU DIHORMATI SEBAGAI WANITA JUSTRU FELIXIA PILIH ISLAM



Semua foto ehsan google


Hari pertama berpuasa yang cukup mudah buat Kjee semalam. Sepanjang hari Kjee rasa selesa walaupun cuaca di sebelah pagi agak panas. Kemudian lepas Asar, mendung dan hujan. Bagaimanapun, selepas berbuka ala kadar dan solat Maghrib, terus Kjee rasa pening dan tidak bermaya.

Entah apa rezeki Kjee dalam keadaan mamai itu, Kjee duduk di sofa malas depan TV dan tertekan channel 135 Astro. Mata asyik terpejam celik tengok rancangan Raikan Cinta. Kemudian sambung layan pulak HLive bersama pengacara sahabat Kjee, Dato Aznil Haji Nawawi.

Mula-mula ada temubual dengan pelakon Enot yang tabah menderita penyakit kanser usus tahap 2. Cukup menginsafkan apabila mengetahui dia hidup sebatang kara setelah kematian kedua ibu bapanya, keruntuhan dua rumahtangga tetapi bahagia disamping anak-anak.

Cukup bangga apabila Enot kata dia tidak perlukan bantuan orang kerana dia masih ada tulang empat kerat. Masih boleh bangun dan mencari rezeki untuk anak-anaknya.

Selepas Enot pergi, Pak Nil mengumumkan kemunculan seorang selebriti yang dinanti-nantikan ceritanya oleh semua orang. Dalam hati Kjee, Pak Nil mesti undang Awie sebab sekarang kes dia cukup hebat diperkatakan. Tetapi nyata sekali jangkaan Kjee meleset.

Muncul di kaca TV selebriti Felixia Yeap yang kini sudah menjadi ikon kepada ramai. Setiap ibu pasti akan bersyukur kalau ada anak seperti Felixia! Penampilannya malam ini cukup simple. Mengenakan tudung berwarna peach dan baju maxi dari kain lembut berwarna hijau bercampur turquoise yang menutupi keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan dua telapak tangannya.

Sungguh ayu dan sopan. Sedap mata memandang. Lembut dan lancar pertuturannya.

Felixia mendedahkan kali pertama dia berhijab adalah kerana 'tuntutan' sebuah syarikat produksi yang mahu talent yang datang ujibakat untuk satu rancangan memakai hijab. Ini bermakna hanya talent Melayu yang pastinya Islam dikehendaki.





Felixia yang juga seorang model sejak 10 tahun lalu, teruja untuk menghadirinya. Dan dia tidak teragak-agak mengenakan hijab semata-mata untuk menguji sejauh mana kemampuan dirinya.

"Dan sejak itu saya sudah merasa seronok memakai hijab. Saya rasa diri saya lebih dihormati sebagai seorang wanita berbanding hidup saya sebelum ini. Semua hanya menilai saya kerana tubuh dan aura seksi saya.

"Saya mempunyai sesuatu yang lebih daripada wajah atau tubuh yang mereka kata seksi itu. Dan Alhamdullilah, saya diberi Hidayah," katanya tenang dan lembut.

Mungkin ramai sudah tahu Felixia memilih 5 Ramadhan nanti untuk memeluk Agama Islam kerana hari itu amat bermakna dalam hidupnya sebab dia itulah tarikh dia dilahirkan 28 tahun lalu.

"Ya semua tanya kenapa mesti tunggu tarikh itu. Selain hari lahir saya, kebetulan ia jatuh pada hari Khamis, yang saya difahamkan hari kesukaan Rasullulah. Saya mahu tarikh itu sebab saya mahu dilahirkan semula sebagai orang Islam."

Felixia sedar jalan yang dia pilih ini telah diterima dengan perasaan bercampur baur. Ramai yang teruja dan ramai jugak yang mengkritiknya.

"Tetapi semuanya itu saya terima dengan hati yang terbuka. Semuanya ini telah mengajar saya erti kesabaran yang sebenarnya."

Felixia dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang sederhana oleh seorang ibu tunggal. Dia mempunyai seorang adik lelaki. Tamat persekolahan dia datang ke Kuala Lumpur seorang diri untuk memulakan hidup disamping mencari rezeki buat keluarga.





Dia kemudian memasuki pertandingan Dewi Remaja. Walaupun tidak berjaya dalam pertandingan itu, namun hasratnya untuk menjadi model tercapai. Dan itu yang dilakukan sejak 10 tahun yang lalu dan akan terus memperagakan pakaian walaupun kini dalam bentuk yang berbeza.

Bagaimana penerimaan keluarga terutama sekali ibu dan adik lelakinya?

"Saya kagum dengan semangat Mama saya. Beliau lah yang meniup semangat untuk meneruskan apa yang saya inginkan. Baru-baru ini saya beritahu Mama yang saya gementar apabila hari (untuk memeluk agama Islam) semakin hampir.

"Mama kata saya harus tenang. Buatlah perlahan-lahan dan masih ada banyak ruang untuk saya belajar selepas itu. Saya tidak samasekali menyangka Mama akan mengucapkan kata-kata itu," kata Felixia sebak.

Pak Nil juga dilihat cuba menahan sebak. Kemudian soalan cepumas.

"Ramai yang kata apa akan terjadi kalau Felixia tidak sempat hendak mengucap kalimah syahadah dan meninggal dunia sebelum 5 Ramadhan?" tanya Pak Nil.

 Dengan senyuman yang manis, Felixia menjawab;

"Tak mengapa. Semua sudah tahu, saya sudah Islam di dalam hati."

Sebelum ini Felixia pernah memberitahu nama Islam yang bakal dipilihnya nanti, telah ditemui dalam mimpinya.

"Ya dalam saya kebingungan untuk memilih nama Islam saya, saya telah mendapatnya melalui mimpi. Mula-mula saya agak gusar. Tetapi setelah saya mencari maknanya, maka saya mendapati ia mempunyai maksud yang cukup baik," katanya lagi.

Apabila Pak Nil memujuknya untuk mengumumkan nama itu, mulanya Felixia teragak-agak. Tetapi akhirnya dia berkata, dalam mimpinya dia mendapat nama yang bermula dari dua huruf yang sama iaitu RR.

"Oklah saya beri nama R kedua itu iaitu Rania."

Mudah-mudahan usaha Rania untuk menjadi seorang muslimah yang solehah dipermudahkan dan diberkati Allah swt.

Kjee pasti ramai yang mahu melihat Rania di hari bersejarahnya itu. Harap-harap ada stesyen TV yang peka dan membuat liputan secara langsung. Kjee dah bosan tengok liputan secara langsung artis berkahwin, artis di luar mahkamah kerana bercerai, artis bergaduh dan jugak artis beranak.

Dan mudah-mudahan Rania dapat membawa ibu serta adiknya bersama-samanya dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim. Insya Allah.

Baca jugak di SINI.














0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...