Pages

Saturday, December 17, 2016

POPIA GORENG INTI SENGKUANG DAN AYAM







Seronoknya kalau teringin nak makan, tetiba terajin pulak nak membuatnya. Ala kalau yang senang-senang nak buat bolehlah kan! Kjee sekarang bukannya sihat sangat.

Since hari ni hari Sabtu, senanglah Kjee nak buat sebab ada Nadia membantu. Intinya Kjee buat guna sengkuang dan ayam sahaja. Sengkuang tu dulu Kjee selalu sagat tapi my aunty kata kalau sagat, airnya habis mengalir keluar. Air yang manis tu. So lebih elok dihiris nipis-nipis dan julienne atau potong macam batang mancis. Kjee guna isi ayam bahagian dada yang juga dihiris nipis.

Kemudian tumis tiga ulas bawang putih dalam minyak jagung. Tak payah letak banyak minyak sebab popia yang sudah siap nanti nak kena goreng balik. Lepas tumis sampai bawang putih wangi, masukkan ayam dan goreng selama lebih kurang 7-8 minit. Kemudian masukkan semua sengkuang tadi. Letak lebih kurang dua sudu besar sos tiram serta sedikit serbuk lada hitam. Masak sehingga inti kering. Kemudian baru rasa. Letak garam secukupnya. Sejukkan.

Bentangkan sehelai kulit popia atas pinggan dan letak lebih kurang 1½ sudu inti tadi. Digulung kemas dan lekatkan dengan sedikit tepung jagung yang telah dicampur sedikit air. Jadikan sebagai gam. Kalau lekatkan dengan telor pun ok.

Buat sampai habis dan goreng guna apa yang sederhana panas panas hingga cantik warnanya. Kemudian tos minyaknya atas tisu dapur.

Oleh kerana inti tadi sudah cukup rasa maka tak perlu makan dengan sos cili. Kalau nak makan dengan sos cili, kurangkan sedikit sos tiram dan garam.

Kjee buat banyak-banyak popia ini dan bekukan.

Juga ada DISINI.






Tuesday, December 13, 2016

KARIPAP INTI DAGING DAN TELOR REBUS




Kalau Kjee sibuk, Kjee suka simpan stok home made curry puffs. Tak suka beli makanan sejuk beku sebab banyak kandungan preservatives (pengawet) yang tidak diketahui.

Semalam setelah berbulan-bulan, akhirnya berjaya juga buat karipap ini dengan bantuan Nadia. Dia yang rajin kelim karipap. Tapi dia bebel jugaklah semalam sambil buat kerana katanya kurang practise. Justeru tak molek sangat. Hehehe dia tak tahu Mama dia buat lagi hancus!

Kjee plan nak buat karipap Gergasi ala Kuala Selangor tetapi letak telor rebus satu potong ala Ikea. Kononnya lah! Tetapi bila dah siap, taklah giant sangat. Tetapi kalau makan sebiji ni memanglah kenyang banget... for me lah tak tahu korang.








Dah siap semuanya, Kjee susun atas loyang dan bekukan lebih kurang setengah jam dalam freezer. Selepas itu baru Kjee susun dalam bekas. Kalau dah beku, longgokkan dalam satu plastik dan bekukan pun ok. Bentuknya tak rosak. Kalau buat cara ini tak payah goreng separuh masak baru dibekukan.

Semalam Kjee letak juga telor rebus, Kjee potong empat telor tu. Tapi ada jugak yang Kjee letak ½ biji telor. Sukatilah... kita yang buat dia.

Sorry Kjee tak ada foto yang sudah goreng. Kalau Kjee goreng nanti Kjee upload foto tu ya.

Untuk resipi, KLIK SINI.


Sunday, December 11, 2016

ASAM PEDAS TULANG RUSUK






Akhirnya, setelah berbulan 'bertapa', Kjee sudah keluar dari pertapaan. Berapa bulan hah? Entahlah tak pasti tetapi rasanya sejak Julai lalu. Or was it August? Whatever.

Tetapi ini tidak bererti Kjee akan kembali masak hari-hari. Masih ada tugasan yang belum selesai. Kjee tengah tunggu Januari ini untuk mula menjalankan tugas yang telah Kjee buat sejak beberapa bulan lalu. Ada dua buku sedang menunggu untuk kerja terjemahan.

Anyway, Asam Pedas Tulang Rusuk ini dimasak oleh Nadia, anak dara kita, Kjee hanya pantau sahaja dia memasak. Kjee puji dia buat kerja macam lipas kudung. Macam cara Kjee jugak. Hehehe sapa nak puji kan kalau bukan ibu sendiri.

Kjee dah teringin nak makan Asam Pedas Daging Tetel sejak minggu lepas. Tetapi, kemudian terfikir pulak kalau guna tulang rusuk lembu mesti sedap kan? Kjee terus pergi booking tulang rusuk dari gerai daging segar bawah pokok seberang jalan dari Taman Permata. Dekat sangat dengan rumah Kjee.

Pagi tadi selepas sarapan, terus pergi amik. Dapat 1.2kilo dengan harga RM35. Sampai rumah Nadia terus bersihkan, cuci dan masukkan dalam pressure cooker lebih kurang 25 minit. Kemudian dia buat pes Asam Pedas.

Sementara menunggu tulang rusuk itu siap direbus (dagingnya terlerai dari tulang), Nadia tumis pes Asam Pedas. Apabila sudah cantik garingnya, dia menuangkan semua tulang rusuk bersama airnya. Didihkan, letak daun kesom, serai dan air asam Jawa. Perasa dengan garam dan sedikit gula.

Selesai masak dan rakamkan foto, terus sambar garlic bread yang Kjee buat sementara Nadia sedang masak dan makan. Sedapnya makan asak pedas tulang rusuk ni dengan Garlic Bread. Ada lagi cukup untuk dinner kami tiga beranak nanti.

Resipi penuh Asam Pedas, KLIK SINI dan Garlic Bread DISINI.





Tuesday, November 22, 2016

SITI FATIMAH YANG TAK PERNAH KULIHAT





Assalammualaikum. Dah lama tak singgah dan update. Kjee sibuk sangat sejak Ogos lalu. Dan kemungkinan akan terus sibuk sehingga entah bila. Ada beberapa buku sedang menanti untuk Kjee terjemah. Satu buku ambil masa lebih kurang tiga bulan.

Tetapi isu terbaru mengenai sepasang suami isteri yang dikatakan 'menculik seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan' di sebuah hospital di Kelantan, begitu menyentuh perasaan. Ada kaitan cerita itu dengan Kjee. Eh taklah...Kjee tak bersekongkol dengan pasangan itu tetapi kisah mereka kehilangan anak dan bertindak diluar jangkaan itu, cukup Kjee fahami.

Kjee pernah kehilangan seorang seorang anak lebih kurang 30 tahun lalu. Baby yang tidak sempat Kjee tengok kerana dia tidak dilahirkan hidup. Meninggal dalam perut ketika usianya lebih kurang 8½ bulan. Sudah cukup sifat dan seorang anak perempuan.

Ketika mengandungkannya, Kjee langsung tidak mengalami sebarang komplikasi. Tidak seperti abangnya. Pergerakannya lembut justeru Kjee syak dia anak perempuan.

Satu petang, nak dijadikan cerita, Kjee telah ke Hotel KL Hilton untuk tugasan pelancaran album Sudirman. Ketika hendak pulang, Sudir bergurau dengan Kjee sambil mengusap perut Kjee.

"Jee, kalau anak lelaki, boleh tak namakan dia Sudirman?"

Kjee ketawa. Susah hendak sempurnakan hajat beliau. Besar dan berat nama tu nak dipikul kata Kjee kepada Sudir. Kemudian, Kjee pun turun ke bawah sebab suami Kjee sudah sedia menunggu.

Sampai di kereta, tetiba sahaja Kjee bukak mulut kepada suami minta pergi ke klinik. Kenapa, tanya dia? Saja nak scan baby sebab hari tu, dia baik sangat.

Sementara suami park kereta, Kjee masuk ke klinik Dr Idris Ahmad, gynae Kjee sejak baby pertama. Beliau buat pemeriksaan dan Kjee minta dia scan tengok jantina baby. Dr Idris ambil stethoscope, letak pada perut Kjee dan angkat kening. Dia buat dua tiga kali. Kemudian dia tanya mana suami Kjee. Ketika itu, suami masuk dan duduk.

"I can't find the baby's heartbeat (saya tak dapat kesan degup jantung baby)..."

Kjee pucat. Pandang suami. Dan setelah scan, Dr Idris confirm baby Kjee sudah tidak bernyawa! Sudah dua hari, rasanya kata Dr Idris! Beliau merasakan baby Kjee mungkin ada masalah jantung... jantung berlubang. Tak perlulah cerita apa terjadi pada kami suami isteri selepas dengar berita itu.







Kami pulang sebab Dr Idris beritahu, bayi itu hanya akan dikeluarkan esok hari.

Dan semalaman Kjee tak tidur. Menangis mengenang nasib yang menimpa. Menangis memikirkan baby sudah tidak bernyawa...

Esoknya kami ke klinik Dr Idris di Taman Tun Dr Ismail. Kjee diberi ubat untuk membuat baby itu keluar. Seharian tiada apa-apa tanda dan apabila Kjee kesakitan, nurse beri pelbagai ubat dan dadah untuk menahan sakit tetapi baby tetapi tidak menunjukkan tanda hendak luar. Kalau baby sudah tidak bernyawa, ibu memang tidak akan terangsang secara natural untuk keluarkan baby. Kjee tak tahu apa plan Dr Idris tetapi rasanya Kjee kena tunggu lagi.

Esoknya, selepas Subuh, Kjee terasa seperti baby hendak keluar. Kjee panik dan panggil nurse. Doktor belum sampai. Nurse kata baby sudah hampir nampak kepalanya tetapi tersangkut tidak boleh keluar! Doktor datang sejak kemudian dan baby ditarik keluar.

Suami Kjee nak bawa baby balik untuk dimandi, kapan dan kebumi. Dia membawa baby kepada Kjee dan suruh tengok. Mak pesan suruh tengok, katanya. Tetapi Kjee terlalu sedih dan menyuruh dia keluar tanpa melihat baby! Melihat Kjee hanpir hilang akal dan menangis, dia terus keluar.

Mak cerita, baby cukup kecil tetapi sudah cukup sifat. Apabila dikapankan, seperti lepat pisang! Kami menamakan dia Siti Fatimah mengikut nama anak Rasullullah SAW.

Kjee pulang esoknya dan berpantang seperti biasa. Mak kata Kjee berubah dari seorang periang menjadi pendiam. Apa yang Kjee ingat hanya Kjee mahu cepat mengandung kembali. Nak cepat dapat pengganti Siti Fatimah.

Setiap kali keluar dengan suami ke shopping complex atau supermarket, mata Kjee liar tengok babies. Ada satu hari Kjee nampak seorang baby dalam pram. Ibunya leka tidak jauh dari situ memilih barangan. Kjee terus jalan berhampiran baby dan menolak pram tersebut. Suami Kjee mengejar Kjee. Pada Kjee semua baby yang lalu depan mata adalah Siti Fatimah!

Bonda bawa Kjee berubat secara tradisional dan Kjee kembali pulih tetapi Kjee tak ingat berapa lama proses pemulihan itu. Tetapi rasanya dua tahun kemudian setelah Kjee mendapati Kjee mengandung sekali lagi!






Kehamilan kali ini Kjee jaga bagai menatang minyak yang penuh! Nadia jugak tidak banyak meragam dalam proses Kjee mengandung. Itu yang buat Kjee selalu panik dan seringkali ke klinik untuk cek degupan jantungnya. Tiap kali doktor ketawa dan kata mungkin dia sedang tidur!

Tiada apa yang aneh berlaku ketika sedang membawa Nadia sepanjang kehamilan. Cuma doktor scan dan kata baby itu boy! Dan bidan jugak kata Kjee bakal dapat Hero!

Begitulah pengalaman yang Kjee lalui. Dan Kjee faham sangat perasaan pasangan yang menculik bayi tersebut. Kemurungan yang dilalui wanita muda itu lebih dasyat lagi sehingga suaminya sanggup melakukan sesuatu yang berbahaya.

Kjee mendoakan agar pasangan itu tidak dikenakan hukuman menculik kerana ia sangat berat. Kjee rasa dalam lingkungan 20 tahun dan sebatan. Mereka lebih memerlukan pemantauan dan kaunseling dari seorang pakar psikologi. Kemurungan wanita itu harus dirawat segera sebelum kejadian yang lebih berat, menimpa.

Setiap kali solat, Kjee tidak putus-putus doa buat Siti Fatimah. Kjee sangat-sangat menyesal kerana tidak menatap buat kali terakhir wajahnya. Kalau dapat bertemu dalam mimpi pun, Kjee sangat-sangat mengharap...

Al Fatihah.

TERKINI:

PASANGAN MUDA YANG TERBABIT DALAM KES CULIK ANAK DI HOSP KELANTAN, TELAH DIDAKWA SEMALAM. MEREKA TIDAK MENGAKU BERSALAH DAN DIKENAKAN IKAT JAMIN RM10,000 SEORANG. HUKUMAN 7 TAHUN PENJARA ATAU DENDA ATAU KEDUA-DUANYA SEKALI MENANTI SEKIRANYA SABIT KESALAHAN,








Monday, September 12, 2016

TAHNIAH TAHNIAH TAHNIAH



SALAM AIDIL ADHA


Wednesday, September 7, 2016

KJEE MASIH DI SINI



Dalam Kjee sibuk dengan kerja yang Kjee sedang lakukan sekarang, baru Kjee perasan sudah lama Kjee tak update blog Kjee ni. Subhanallah, bukan sesuatu yang disengajakan tetapi sesungguhnya Kjee juga tiada masa untuk diri sendiri!

Dengan kesihatan yang tidak menentu (semuanya berkisar di sekitar sakit kaki dan lutut), Kjee gagahkan diri untuk meneruskan kerja yang telah diamanahkan. Sebenarnya bukanlah kerja lain daripada apa yang Kjee pernah lakukan sebelum ini. Tetapi kerja ini adalah antara kerja-kerja yang sangat Kjee minat sejak dari Kjee remaja.

Kjee telah dapat job terjemahan buku. Buku seorang Tokoh terkemuka negara. Kjee pernah berdamping rapat dengan beliau semasa Kjee mula-mula menjadi wartawan dulu. Kemudian setelah beralih angin menjadi wartawan hiburan, silaturrahim antara kami terputus. Tetapi Kjee seringkali mengikuti perkembangan beliau di dalam negara dan peringkat Antabangsa.

Apabila beliau muncul dengan buku pertama beliau baru-baru ini, Kjee telah dipertanggungjawabkan untuk mengalih bahasa. Mulanya Kjee tidak berani menerima cabaran tersebut. Tetapi setelah diyakinkan suami, anak dan juga sahabat-sahabat yang rapat dengan tokoh tersebut, maka bermulalah kembali episod Kjee menjadi Penterjemah.

Buku setebal 410 mukasurat itu telah Kjee janjikan untuk siap dalam tempoh dua bulan. Seorang sahabat Kjee yang juga pakar dalam bidang editing, membantu Kjee membuat kerja-kerja suntingan. Kjee berharap dapat menyiapkan semuanya dalam masa kurang dari 60 hari walaupun pihak penerbit memberi Kjee tempoh 90 hari.








Dalam pada Kjee sibuk dengan kerja tersebut, rezeki lain datang mengolek apabila pihak Super Spontan Superstars, memilih Kjee antara anak seni veteran (warga emas) untuk menerima sumbangan kebajikan. Alhamdullilah syukur. Dan pada Jumaat, 9 September yang lalu, Kjee telah menerima sumbangan tersebut.

Kjee tidak boleh menjanjikan bila entri terbaru akan Kjee tampal di sini. Tetapi percayalah, setiap hari Kjee singgah 'untuk buang sawang-sawang' di blog ini. Mohon doa semua kerja yang Kjee lakukan itu dapat dilaksanakan dengan sempurna. Buat masa ini, Kjee belum bersedia untuk mendedahkan buku atau nama Tokoh tersebut.

Jadi, hingga kita bertemu lagi setelah hidup Kjee kembali 'normal' Kjee sekeluarga ingin mengucapkan Salam Aidil Adha kepada semua pembaca setia blog ini.



Bersama Dhabita, penerjun muda kita ke Olimpik

Wednesday, August 3, 2016

AYAM MENTEGA SUSU





Selama ini Kjee ingatkan Butter Chicken ni Chinese Food tetapi apabila terjumpa satu resipi yang memerlukan ayam diperap dengan rempah dan ada pengunaan daun kari, rasa-rasanya ia Indian food.

Dah banyak kali Kjee makan tapi tak pernah buat. Jadi semalam, nak melayan Nadia yang berpuasa, Kjee pun beritahu dia nak buat Butter Chicken dan lauk fav dia Terung Berlada.

Kjee intai buku resipi yan ditinggalkan arwah adik. Resipi itu menggunakan Chicken Breasts atau daging putih pada dada ayam. Tapi Kjee tak berapa suka makan white chicken tu (kecuali dikukus dan dicarik buat Kway Teow Soup). Jadi, Kjee tukar ke kepak ayam.

Kjee guna 6 ketul kepak ayam yang dipotong dua ikut sendinya. Kemudian Kjee perap lebih kurang sejam setelah dilumur sedikit rempah kari. Letak sekali garam.

Apabila sudah siap diperap, Kjee campur lebih kurang dua sudu tepung beras dan satu sudu tepung jagung. Lumurkan kepada ayam tadi dan goreng separuh masak. Tepikan.

Ketuk dua ulas bawang putih dan dadu satu ulas bawang besar. Kemudian letak setengah ketul butter (Kjee guna Emborg) dalam sauce pan dan buka api kecil hingga butter cair. Masukkan bawang putih dan bawang besar yang telah didadu. Tumis hingga wangi. Kemudian masukkan ¾ tin susu cair atau evaporated milk.

Masak susu serta bahan tumisan tadi guna api slow sehingga ia mendidih. Ketika ini, Kjee masukkan ½ kuib pati ayam Knorrs. Kemudian masukkan ayam dan daun kari. Rendidih hingga ayam kecut. Kalau terlalu pekat, letak sedikit air panas. Kemudian Kjee campakkan 5 biji cili padi yang telah dipotong-potong. Kalau nak pedas, tambah lagi. Kalau nak bagi makan anak-anak, tak perlu letak cili padi.

Apabila dirasakan ayam sudah cukup empuk dan rasa sudah ngam, padamlah api. Hidang dengan Nasi Putih.

Kjee ada terbaca satu resipi sama yang letak Cheddar Cheese. Diletak dalam ketika kuah sedang mendidih. Nanti nak terai lah.





Friday, July 29, 2016

IT'S MY BIRTHDAY!!!



Entering my 61st year. Mokcik dah melangkah ke tahun 61. Apapun, masih merasakan diri ini Sweet 16. Hahaha.

I hope to see more birthdays. Doakan ya.


Monday, July 11, 2016

RISAU? MASALAH KE NI?






Kalau dah ada yang terlajak makan sejak 1 Syawal yang lalu, usahlah gundah gulana. L'arome Warm Serum kan ada! Sapu aja dua kali sehari. Insya Allah, lemak yang terlebih bertakung tu boleh dihapuskan. Jangan bagi dia peluang membeku. Lol.

Korang nak terai beli sebotol atau beli empat sekali gus (lebih murah gitu), bolehlah contact mokcik. Oleh kerana kalau beli empat botol lagi murah, jual atau share dengan kengkawan yang se kapal.

WA 01131771389. Beli empat botol, pos percuma di Semenanjung.

Baca testimoni mokcik dan Nadia di SINI.




Saturday, July 9, 2016

KALAU NAK BUAT OPEN HOUSE, OPEN OFFICE...




Mulai minggu depan, ramai dah mula bersiap sedia untuk buat Open House ataupun Open office. Sekarang ni ramai yang suka buat rumah terbuka ala Hawkers Stalls. Masakan semua panas-panas.

Kjee pun dah dapat offer buat Penang Fried Kway Teow. Goreng panas-panas depan tetamu. UnclePali kerut dahi apabila Kjee beritahu dia. Tapi Nadia suka lah pulak. Weekends jer, katanya. Orite I follow.

Apapun, Kjee nak cadangkan korang kalau ada rancangan nak buat Kambing Tergolek oppps typo..Kambing Golek, bolehlah contact Jaja. Kambing Golek Jaja memang tersangat awesome! Kjee berani jaminlah.

Kalau berminat, kena cepat-cepat contact Jaja di 011-1894 4179. Seeekor ikut harga diatas tu. Tapi kalau dua ekor atau lebih, Jaja kata dia boleh kasi diskaun sikit.

Selain Kambing Golek, keluarga Jaja yang buat bisnes katering dibawah payung Mazia Catering, jugak menyediakan pakej makanan mengikut kehendak customer.

Thursday, June 30, 2016

PES MI KARI NYONYA











Ingin hidang Mi Kari Nyonya di pagi Raya? Atau hendak sediakan sesuatu yang pantas sekiranya tetamu beritahu akan tiba dalam masa sejam dua? Kjee syorkan korang guna Pes Mi Kari Nyonya yang Kjee sediakan ini.

Tak perlu tumis. Cuma didihkan air, masuk pes. Bila dah mendidih, masuk santan dan letak ayam serta chicken balls. Kalau ada taupok dan kerang, lebih kebahboom.

Hanya RM15 satu pek untuk dijamu 5 hingga 6 orang.

Amik di pam minyak Bhp Taman Melawati pada hari Sabtu 2 Julai, dari jam 12 hingga 12.30 tengah hari. Jugak di Bandar Hussein Onn/Cheras Perdana/Taman Bukit Cheras hari yang sama, pada jam 3 petang.

Tiada servis penghantaran melalui pos atau dari rumah ke rumah.

Jika minat Whatsapp 01131771389 untuk keterangan lebih lanjut.

Orders jugak diterima selepas Raya untuk Open House dan jamuan makan.




Tuesday, June 28, 2016

SIBUK? TAK ADA MASA NAK MERENDANG?





Well, kalau sibuk atau tak nak menyibuk kat dapur, tak reti-reti ke nak meng'order'?

Dah banyak tahun Kjee buat Rendang Campur-Campur untuk jualan. Tapi tahun ni tak sihat. Mujur sifu Kjee open orders tahun ini. So, kalau korang teringin nak rasa air tangan sifu Kjee, bolehlah order ya.

My regular customers untuk Rendang Campur-Campur dulu, jangan risau, sebab resipinya sama dengan Mak Marzy. Resipi dia pun diturunkan kepada Kjee. Hehehe.

Cepat order sebab closing date 3/7/16. Whatsapp 01131771389.

Wednesday, June 22, 2016

RENDANG AYAM KELANTAN TANPA KERISIK










Kalau ada ayam dalam peti ais, nak merendang tapi masa tak banyak, cubalah buat Rendang Ayam Kelantan. Membuatnya bukan sahaja pantas tetapi bahan-bahan pun tak banyak. Tak perlu buat kerisik sebab rendang ini tak pakai kerisik.

Kalau ada yang kata, bukan namanya Rendang kalau tak pakai kerisik, itu bukan masalah mokcik tapi masalah dia. Hehehe. Serius ni. Ramai yang tanya Kjee samada Kjee tertinggal kerisik dan lengkuas dalam resipi masa Kjee mula-mula buat dulu.

Well, kalau korang nak letak, letaklah. Polis tak tangkap punyalah. Anyway, itulah resipi yang Kjee dapat dari arwah Bonda yang dapat resipi itu dari majalan MAS Inflight Magazine.

Sedap ke kalau tak letak kerisik? Sedaplah! Kalau tak sedap korang ingat Rendang Ayam Kelantan ni menu tetap mokcik di pagi hari Lebaran?

Sedap sekiranya dibuat pedas dari biasa. Nak pedas, tambah ler lagi cli padi.

Okay tak mo cerita panjang lebarlah. Korang intai resipinya kat bawah ni.

RENDANG AYAM KELANTAN

BAHAN-BAHAN

1 ekor ayam (lebih kurang 1½ kg)
15 biji bawang merah kecik atau 5 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
halia sebesar ibu jari
10 biji cili merah (tapi kjee tambah 5 biji cili api dan 5 biji cili kering utk pedas)
2 helai daun kunyit diracik cam bunga rampai.
3 helai daun limau purut
2 batang serai
2 cawan pati santan
garam
sedikit gula

CARANYA:

Potong ayam ikut suka. Kisar semua bahan tumis kecuali serai, daun limau purut dan daun kunyit. Tumis sampai garing. Masukkan serai yang telah diketuk-ketuk. Apabila sudah terbit minyak, masukkan ayam. Gaul sampai sebati dengan rempah. Masak guna api sederhana sehingga ayam tu kecut.
Kemudian masukkan santan, daun limau purut, garam dan sedikit gula. Masak lagi sehingga kauhnya pekat. Jika inginkan ia berkuah atau suka yang kering, adjust sendiri masa memasak.

Apabila sudah masak, padam api dan taburkan daun kunyit.

Walaupun resipi ori tidak letak asam keping, kadang-kadang Kjee letak jugak. 







BUBUR KACANG MERAH SUSU CAIR










Ini antara bubur yang Kjee suka. Mudah sangat menyediakannya. Rasanya cukup nyaman terutama sekali kalau disejukkan dalam peti ais,  sebelum menghidangnya.

Kjee pernah buat guna kacang merah yang kecil (macam kacang hijau) dengan yang agak lebar sedikit atau broad red beans. Pilihan Kjee ialah jenis yang kecil. Kacang merah yang sama yang digunakan mereka untuk membuat inti kuih pau atau diletak dalam ais kacang.

Walaupun menggunakan Pressure Cooker (Periuk Tekanan), namun Kjee tetap merendamnya sejam dua sebelum merebusnya. Kalau tidak menggunakan periuk tekanan, mungkin mengambil masa dua atau tiga jam untuk merebus. Air sentiasa ditambah sekiranya kering. Tetapi dengan periuk tekanan hanya mengambil masa kurang dari setengah jam.

Kacang itu dianggap sudah boleh dijadikan bubur sekiranya dilenyek dan ia didapati halus. Ketika itulah boleh ditambah gula dan sedikit garam, mengikut citarasa.

Sejukkan di suhu bilik. Kemudian masukkan dalam peti ais. Ketika hendak menghidang, curahkan susu cair (evaporated milk).








Tuesday, June 21, 2016

BUBUR NASI - MENU RINGAN TAPI MENGENYANGKAN








Kalau sudah dua minggu dihidangkan makanan yang berat-berat di bulan Puasa ini, sesekali bolehlah terai makan bubur kosong. Nak katakan kosong, taklah kosong sangat sebab ada lauk pauk sampingan mengikut citarasa kita.

Bubur ini Kjee letak santan sedikit sahaja masa memasaknya. Kemudian bila dah masak, pecahkan telor asin ke dalamnya.

Pastu buatlah lauk apa yang suka. Kangkung goreng belacan pun sedap banget. Tapi kalau buat bubur macam ni, Kjee mesti buat bilis goreng sama bawang putih dan cili padi. Sangat-sangat sedang digandingkan bersama.

Mula-mula hiris bawang putih. Goreng garing, tepikan. Kemudian goreng cili padi. Hati-hati sebab ia akan meletup-letup. Asingkan. Kemudian goreng ikan bilis sampai garing. Tepikan. Bila ikan bilis dah sejuk, gaulkan bersama bawang putih dan cili padi. Nak tahu sedap ke tidak makan dengan bubur nasi, cubalah.

Jugak boleh cuba macam Teo Chew porridge. Resipi klik SINI.




Monday, June 20, 2016

BUKU MASAK TERBARU DARI CHEF SELEBRITI NORZAILINA





Kjee hairan anak-anak gadis sekarang. Dah nak kahwin pun ada yang masih tak reti nak masak. Seorang dua yang Kjee tanya, pandai masak apa... dengan bangga dia kata masak air, goreng telor dan masak nasi. Itu pun guna rice cooker.

Amboiii dia ingat jawapan tu kelakor bebenor!

Zaman Kjee dulu, kalau tak reti masak, jangan gatal nak kahwin. Masa Kjee nak kahwin dengan abah Nadia dulu (sekarang dah arwah), kakak dia siap suruh Kjee masak. Dia nak datang rumah makan! Masa tu Kjee tinggal bujang di Flet Kampung Baru.

Jenuh jugaklah Kjee masak lauk satu meja, siap dengan kuih muih. Konon nak bagi bakal kakak ipar terai test. Mungkin Kjee lulus cemerlang maka dapatlah Kjee kahwin dengan adik dia. Hahaha.

Kenapa tetiba Kjee buat entri ini? Sebab Kjee baharu dapat memiliki buku masakan Chef Selebriti Norzailina yang terbaru. Lihat foto atas.

Ada 12 buah kesemuanya. Beliau yang Kjee sapa Chef Lina, ajar step by step lagi. Dwi bahasa pulak tu! Kalau tak faham bahasa Malaysia tengok yang bahasa Inggeris!










Kalau dah ikut panduan yang diajar Chef Lina, dan masih kata tak pandai lagi memasak, Kjee rasa elok korang jangan mengaku jadi orang pompuan. Maaf gurau kasar. Hehehe.

Masa jumpa Chef Lina Sabtu lepas, buku yang diberinya tertinggal dalam kereta. Sampai rumah dan turunkan Kjee, Nadia terus keluar servis kereta dia. Tak lama lepas tu dia Whatsapp Kjee.

"Mama suka makan kuih Kulit Popia Manis?" Eh kenapa pulak dia tanya.
"Kalau ada orang jual, beli ajelah," jawab Kjee malas nak layan.

Balik rumah dia bercerita lah sebab dia bertaya. Rupa-rupanya masa servis kereta, dia intai-intai buku masak Chef Lina.

"Nadia nak buatlah. Macam senang aje. Kalau dah ajar step by step, masih tak dapat buat, tak tau nak katalah."










Apapun, kalau orang malas memang seribu satu alasan yang diberi. Alasan tak masuk akal. Tapi, Kjee memang teruja dengan buku masakan yang dihasilkan Chef Norzailina.

Tak mau lah citer panjang-panjang lagi. Baik korang pergi dapatkan buku Chef Norzailina ni. Murah aje. Siapkan budget RM60 untuk 12 buah buku tu. RM5 jer satu tapi kalau tak beli semua 12, memang rugi!!!

Macam-macam lauk pauk ada. Kalau korang dah terai setiap satu masakan tu, bukan aje korang senang dapat laki (yang belum kahwin lah), yang dah kahwin tu boleh tambat laki korang kat rumah. Insya Allah, suami tu tak cari makan kat luar lagi. Oppppssss kena susun bahasa ni. Hehehe.

Kalau ada yang confirm tak nak kahwin tapi nak belajar masak supaya boleh jadi Chef ataupun buat bisnes dari rumah, bolehlah dapatkan buku-buku Chef Norzailina ini.








Buku 100 Resipi Biskut, Kek, Manisan dan Kudapan bulan, kalau tak silap Kjee dah tiga bulan di pasaran. Harganya RM27 dan RM30 kat Sabah/Sarawak. Kalau dah judul dia 100 resipi maka tak payahlah nak cerita ada berapa banyak resipi dalam buku tu ya.

Cepat beli sebelum habis. Kenapa mesti beli buku Chef selebriti ini? Sebab gambar-gambar sangat menarik, resipinya mudah diikuti sebab ada sediakan panduan Langkah Demi Langkah.

Buku-buku ini sangat elok dijadikan hadiah buat bakal pengantin atau hadiah hari jadi buat anak perempuan dan juga lelaki. Anak lelaki sekarang pun harus diajar masuk ke dapur supaya senang nanti bila dah kahwin. Manalah tau isteri nanti setiap tahun beranak. Bolehlah si suami bantu isteri masak bagi makan anak-anak masa si ibu dalam pantang.





Friday, June 17, 2016

MI KARI NYONYA YANG ENAK







Ini hidangan untuk esok. Kjee terliur tengok fren FB Norazimah Ahmad, buat semalam. Katanya guna resipi Kjee. Alhamdullilah ramai yang dah cuba buat, kata ia menepati selera mereka. Ada yang kata rasa macam kat Pappa Rich.

Kalau kita masak sendiri, kita boleh adjust santan. Mi Kari Nyonya resipi ori, biasanya terlalu lemak. Sangat tidak sihat bagi orang tua macam Kjee. Jadi kalau buat, Kjee lebihkan rempahnya dan kurangkan santan. Makan pun tak muak sangat.

Mi Kari Nyonya tak letak telor rebus macam mi kari Melayu. Tapi ianya dianggap tidak lengkap kalau tiada taupok (tahu goreng), ayam, fish balls (Kjee guna chicken balls) serta kerang. Tetapi ramai tak gemar letak kerang sebab alahan atau alergik. Tak ada pun tak apa bagi Kjee. Kekadang Kjee letak jugak kacang panjang yang telah dicelur.

Esok, mungkin Kjee nak campur mi dengan mihun. Harap-harap jadilah buat esok. Kekadang lain yang dirancang, lain pulak menjadi. Hehehe.










Kalau nak resipi, sila klik SINI.

Boleh makan dengan cili jeruk atau sambal. Kalau nak tahu, sambal tu sebenarnya, rempah mi kari yang telah ditumis. Kalau ada yang request nak sambal, Kjee masak rempah itu lebih-lebih sikit pastu tepikan. Bila nak hidang letak sekali dalam mangkuk.

Tetapi kalau kuah kita sudah cukup rasa rempahnya, tak perlu sambal berasingan. Makan dengan cili jeruk pun sedap sangat.

Resipi untuk cili jeruk, sila klik SINI.

Biasanya kalau buat Mi Kari, Kjee akan buat rempahnya banyak-banyak. Tumis dan simpan dalam freezer. Bila teringin nak makan, mudahlah kan? Hanya tambah santan dan bahan-bahan lain. Selamat mencuba.





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...