Saturday, April 16, 2016

IZA AZMI... ANTARA AYAH DAN CITA-CITA







Izzah Azmi akan hanya menyambut hari jadinya yang ke 23 pada November ini. Tetapi anak gadis yang pemalu dan manis senyuman ini, adalah pemilik sebuah Boutique Cafe di pinggir Kuala Lumpur. Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seorang semuda dia! Wataknya lemah lembut tetapi tegas dalam mencorak masa depannya.

Kjee seronok berbual dengan Iza. Sangat low profile dan bercita-cita tinggi dalam bidang yang diminatinya sejak bangku sekolah. Walaupun nampak pemalu dan agak timid, tetapi bagi Kjee Iza cukup tegas apabila terpaksa berhadapan dengan ayah yang mahukan dia mengejar karier dalam bidang perakaunan. Mungkin mahu melihat anaknya menjadi seorang Akauntan.

Iza adalah anak kedua dari empat beradik. Kedua ibu bapanya memiliki Ijazah dari sebuah Universiti di Amerika. Justru mungkin Ayahnya mahu Iza mengikuti jejak langkah mereka.

"Puas Iza pujuk Aunty. Ayah tetap tegas. Hanya Mak sahaja yang memahami apa yang Iza citakan. She's my pillar of strength! Dalam diam, kami memujuk Ayah. Pun demikian, masih belum berjaya. Satu hari Iza nekad beritahu Ayah yang Iza boleh ikut kehendak Ayah dapatkan ijazah dalam bidang yang beliau hajati. Tetapi selepas dapat puaskan hati Ayah, beliau kena ikut pulak impian Iza mahu jadi Fashion Designer."

Itu sebab Kjee kata, Iza seorang anak gadis yang tegas. Dia mengambil Diploma dalam jurusan Fashion and Retail Design di Universiti Lim Kok Wing. Hanya setelah semester ketiga pengajiannya, barulah Iza dapat merasakan restu Ayahnya.



Diploma dari Universiti Lim Kok Wing





Bersama ibu tersayang, Latifah Omar



Sudah setahun Iza membuka sebuah Boutique Cafe di Taman Bukit Cheras. Ketika mula-mula butik itu dibuka, Iza mengambil upah menjahit pakaian teman-teman terdekat serta saudara mara sahaja. Tetapi kini dia mampu menggaji tiga pekerja iaitu dua tukang jahit berpengalaman dan seorang pembantu di butiknya. Bab mencorak design pelanggan terletak di bahunya.

Dengan pemantauan ibunya, Puan Latifah Omar, pemilik Warung Bistro berhampiran, Iza kemudian membuka butiknya ala Vendor Butik, sebaik sahaja tamat belajar di universiti. Ini bermakna, Iza membuka peluang bagi mereka yang ingin berniaga secara kecil-kecilan barangan berkaitan fesyen (pakaian dan aksesori), menyewa sudut-sudut dalam butiknya.

Cara ini akan membolehlah Iza memberi perhatian sepenuhnya kepada minatnya iaitu membuat design pakaian. Iza juga memiliki koleksi kecil pakaian pengantin untuk disewakan. Bagaimanapun, dia turut menerima tempahan untuk pakaian pengantin. Semuanya direka dan dijahit sendiri.








Sudut yang disewakan dalam butik Iza


Iza kata dia tidak minat membuat design mengikut trend semasa. Dia lebih suka membuat pemerhatian kepada fesyen-fesyen yang menjadi ikutan dari zaman ke zaman dan dia mencantumkannya menjadi fesyen terkini. Buku-buku fesyen dan internet menjadi rujukkannya.

Apa impian yang ingin dicapainya?

"Iza nak bukak Fashion Gallery... tak tahu bila tetapi itu adalah matlamat Iza," katanya penuh harapan.

Di usia sebegitu muda, tika rakan-rakan persekolahan seusianya (mungkin) masih bingung memikirkan masa depan, Iza sudah berdikari. Punya pendapatan yang boleh menyara butik dan tiga pekerjanya dengan selesa.

Pada mereka yang ingin menempah pakaian di Izzah Boutique and Cafe ini, cepat-cepatlah buat tempahan sebelum dia tutup amik order menjelang bulan Ramadhan. Iza kini juga sedang sibuk dengan projek tempahan Telekung yang diperolehinya baru-baru ini.

Sebelum Kjee pulang, Kjee dapat merasakan kegembiraan di hati gadis manis ini setelah dapat mengapai apa yang dicita. Masih terngiang-ngiang di telinga Kjee, kata-katanya... "Iza boleh ikut kehendak Ayah kejar ijazah dalam bidang Akaun, tapi selepas itu izinkan Iza penuhi pulak cita-cita Iza.."

Izzah Azmi Boutique Cafe dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Selain menjamu mata di butik Iza, pelanggan juga berpeluang minum teh/kopi di Cafe yang dikendalikan adiknya Ain. Pelbagai jenis kek dan cookies yang disediakan sendiri oleh Ain dijual di mini cafe tersebut.







0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...