Pages

Tuesday, November 22, 2016

SITI FATIMAH YANG TAK PERNAH KULIHAT





Assalammualaikum. Dah lama tak singgah dan update. Kjee sibuk sangat sejak Ogos lalu. Dan kemungkinan akan terus sibuk sehingga entah bila. Ada beberapa buku sedang menanti untuk Kjee terjemah. Satu buku ambil masa lebih kurang tiga bulan.

Tetapi isu terbaru mengenai sepasang suami isteri yang dikatakan 'menculik seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan' di sebuah hospital di Kelantan, begitu menyentuh perasaan. Ada kaitan cerita itu dengan Kjee. Eh taklah...Kjee tak bersekongkol dengan pasangan itu tetapi kisah mereka kehilangan anak dan bertindak diluar jangkaan itu, cukup Kjee fahami.

Kjee pernah kehilangan seorang seorang anak lebih kurang 30 tahun lalu. Baby yang tidak sempat Kjee tengok kerana dia tidak dilahirkan hidup. Meninggal dalam perut ketika usianya lebih kurang 8½ bulan. Sudah cukup sifat dan seorang anak perempuan.

Ketika mengandungkannya, Kjee langsung tidak mengalami sebarang komplikasi. Tidak seperti abangnya. Pergerakannya lembut justeru Kjee syak dia anak perempuan.

Satu petang, nak dijadikan cerita, Kjee telah ke Hotel KL Hilton untuk tugasan pelancaran album Sudirman. Ketika hendak pulang, Sudir bergurau dengan Kjee sambil mengusap perut Kjee.

"Jee, kalau anak lelaki, boleh tak namakan dia Sudirman?"

Kjee ketawa. Susah hendak sempurnakan hajat beliau. Besar dan berat nama tu nak dipikul kata Kjee kepada Sudir. Kemudian, Kjee pun turun ke bawah sebab suami Kjee sudah sedia menunggu.

Sampai di kereta, tetiba sahaja Kjee bukak mulut kepada suami minta pergi ke klinik. Kenapa, tanya dia? Saja nak scan baby sebab hari tu, dia baik sangat.

Sementara suami park kereta, Kjee masuk ke klinik Dr Idris Ahmad, gynae Kjee sejak baby pertama. Beliau buat pemeriksaan dan Kjee minta dia scan tengok jantina baby. Dr Idris ambil stethoscope, letak pada perut Kjee dan angkat kening. Dia buat dua tiga kali. Kemudian dia tanya mana suami Kjee. Ketika itu, suami masuk dan duduk.

"I can't find the baby's heartbeat (saya tak dapat kesan degup jantung baby)..."

Kjee pucat. Pandang suami. Dan setelah scan, Dr Idris confirm baby Kjee sudah tidak bernyawa! Sudah dua hari, rasanya kata Dr Idris! Beliau merasakan baby Kjee mungkin ada masalah jantung... jantung berlubang. Tak perlulah cerita apa terjadi pada kami suami isteri selepas dengar berita itu.







Kami pulang sebab Dr Idris beritahu, bayi itu hanya akan dikeluarkan esok hari.

Dan semalaman Kjee tak tidur. Menangis mengenang nasib yang menimpa. Menangis memikirkan baby sudah tidak bernyawa...

Esoknya kami ke klinik Dr Idris di Taman Tun Dr Ismail. Kjee diberi ubat untuk membuat baby itu keluar. Seharian tiada apa-apa tanda dan apabila Kjee kesakitan, nurse beri pelbagai ubat dan dadah untuk menahan sakit tetapi baby tetapi tidak menunjukkan tanda hendak luar. Kalau baby sudah tidak bernyawa, ibu memang tidak akan terangsang secara natural untuk keluarkan baby. Kjee tak tahu apa plan Dr Idris tetapi rasanya Kjee kena tunggu lagi.

Esoknya, selepas Subuh, Kjee terasa seperti baby hendak keluar. Kjee panik dan panggil nurse. Doktor belum sampai. Nurse kata baby sudah hampir nampak kepalanya tetapi tersangkut tidak boleh keluar! Doktor datang sejak kemudian dan baby ditarik keluar.

Suami Kjee nak bawa baby balik untuk dimandi, kapan dan kebumi. Dia membawa baby kepada Kjee dan suruh tengok. Mak pesan suruh tengok, katanya. Tetapi Kjee terlalu sedih dan menyuruh dia keluar tanpa melihat baby! Melihat Kjee hanpir hilang akal dan menangis, dia terus keluar.

Mak cerita, baby cukup kecil tetapi sudah cukup sifat. Apabila dikapankan, seperti lepat pisang! Kami menamakan dia Siti Fatimah mengikut nama anak Rasullullah SAW.

Kjee pulang esoknya dan berpantang seperti biasa. Mak kata Kjee berubah dari seorang periang menjadi pendiam. Apa yang Kjee ingat hanya Kjee mahu cepat mengandung kembali. Nak cepat dapat pengganti Siti Fatimah.

Setiap kali keluar dengan suami ke shopping complex atau supermarket, mata Kjee liar tengok babies. Ada satu hari Kjee nampak seorang baby dalam pram. Ibunya leka tidak jauh dari situ memilih barangan. Kjee terus jalan berhampiran baby dan menolak pram tersebut. Suami Kjee mengejar Kjee. Pada Kjee semua baby yang lalu depan mata adalah Siti Fatimah!

Bonda bawa Kjee berubat secara tradisional dan Kjee kembali pulih tetapi Kjee tak ingat berapa lama proses pemulihan itu. Tetapi rasanya dua tahun kemudian setelah Kjee mendapati Kjee mengandung sekali lagi!






Kehamilan kali ini Kjee jaga bagai menatang minyak yang penuh! Nadia jugak tidak banyak meragam dalam proses Kjee mengandung. Itu yang buat Kjee selalu panik dan seringkali ke klinik untuk cek degupan jantungnya. Tiap kali doktor ketawa dan kata mungkin dia sedang tidur!

Tiada apa yang aneh berlaku ketika sedang membawa Nadia sepanjang kehamilan. Cuma doktor scan dan kata baby itu boy! Dan bidan jugak kata Kjee bakal dapat Hero!

Begitulah pengalaman yang Kjee lalui. Dan Kjee faham sangat perasaan pasangan yang menculik bayi tersebut. Kemurungan yang dilalui wanita muda itu lebih dasyat lagi sehingga suaminya sanggup melakukan sesuatu yang berbahaya.

Kjee mendoakan agar pasangan itu tidak dikenakan hukuman menculik kerana ia sangat berat. Kjee rasa dalam lingkungan 20 tahun dan sebatan. Mereka lebih memerlukan pemantauan dan kaunseling dari seorang pakar psikologi. Kemurungan wanita itu harus dirawat segera sebelum kejadian yang lebih berat, menimpa.

Setiap kali solat, Kjee tidak putus-putus doa buat Siti Fatimah. Kjee sangat-sangat menyesal kerana tidak menatap buat kali terakhir wajahnya. Kalau dapat bertemu dalam mimpi pun, Kjee sangat-sangat mengharap...

Al Fatihah.

TERKINI:

PASANGAN MUDA YANG TERBABIT DALAM KES CULIK ANAK DI HOSP KELANTAN, TELAH DIDAKWA SEMALAM. MEREKA TIDAK MENGAKU BERSALAH DAN DIKENAKAN IKAT JAMIN RM10,000 SEORANG. HUKUMAN 7 TAHUN PENJARA ATAU DENDA ATAU KEDUA-DUANYA SEKALI MENANTI SEKIRANYA SABIT KESALAHAN,








LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...