Pages

Tuesday, July 25, 2017

UDANG TUMIS CILI PADI, BAWANG PUTIH DAN KUNING TELOR ASIN






            Ya memang betul. Lauk ini akan meningkat tahap kolestrol jahat kita tetapi bukan makan hari-hari kan? Itu kata-kata untuk memujuk hati. Hehehe. Ini lauk yang Kjee buat semalam. Udang dah duduk dalam peti ais empat hari. Rasanya kalau masak terus setelah beli lagi sedap.

            Kjee sebenarnya tak ada plan nak masak lauk ini semalam. Kjee telah pun masak separuh ekor Rendang Ayam Kelantan sebelum itu. Tetapi apabila sudah siap. tiba-tiba teringat ada 15 ekor udang dalam peti ais. Agak kasar-kasar juga.

            So, Kjee keluarkan, rendam seketika dalam air dan buang hujung muncung serta janggut. Belakangnya Kjee toreh sedikit dan tarik keluar urat hitam. Selepas cuci dan toskan airnya, Kjee letak serbuk kunyit dan garam. Perap seketika dan goreng separuh masak. Tepikan.

            Kjee tumbuk cili padi kampung (20 biji. Kalau nak lagi pedas tambahlah) bersama satu labu bawang putih (lebih kurang 10 biji). Kemudian Kjee tumis bersama dua batang serai yang telah diketuk. Apabila sudah hampir garing, masukkan sejemput daun limau purut yang telah dimayang halus. Kemudian masukkan udang dan gaul sehingga mesra dengan rempah tumis tadi. Letak garam dan serbuk perasa jika guna.

            Sebelum padam api, taburkan kuning telor asin yang telah dihancur-hancurkan.  Kjee letak yang kuning sahaja sebab putihnya, Kjee buat sendiri hari itu, terlalu masin. Kalau korang nak letak sekali yang putih, jangan diperisakan udang itu dengan garam ya.

            Hidang panas-panas dengan nasi putih.

            Sedap ke? Well, Kjee tak sukalah canang kata sedap tapi cubalah sendiri. Apapun, Kjee happy sangat apabila UnclePali kata sedap. Okay lah kan kalau suami kita suka. Selamat menerai.

           

   

           

Thursday, July 20, 2017

RENDANG AYAM CILI API VERSI ORANG KOLUMPO









            Walaupun tak berapa sihat tetapi apabila tengok foto Rendang Cili Api lalu di newsfeed facebook, tiba-tiba teringin pulak nak makan. Last makan dua minggu sebelum Ramadhan di Zaini Salai House, Ulu Bendul, Negeri Sembilan. Rendang dia orang diletak jugak ulam pegaga. Sedap sangat.

            Jadi kerana keinginan yang tidak dapat dibendung itu, Kjee ajak UnclePali beli ayam kampung. Tapi yang dihajat tak ada jadi beli sahaja ayam yang baru disembelih. Biasanya Kjee beli di Ayam Mas tapi ayamnya terlalu lembut. Macam anak ayam.

            Dan untuk resipinya, Kjee pun google. Beberapa hari lepas ada satu hamba Allah telah post resipi di FB. Dinamakannya Rendang Ayam Cili Padi. Teruk juga dia kena hentam. Rata-rata marah sebab resipi itu kononnya bukan Rendang Cili Padi Nismilan yang ori. Kelakar sangat sebab orang tu tak letakkan pun resipi itu sebagai Rendang Nismilan so kenapa orang Nismilan nak emo.

            Justru Kjee letak lauk ini sebagai Rendang Ayam Cili Api. Nak tengok ada tidak yang menghoyan nanti. Hehehe.

            Dalam banyak-banyak resipi yang Kjee google, bahan asas sama iaitu ayam, cili api, bawang merah, bawang putih, serai, kunyit hidup, halia dan lengkuas. Ada yang letak kerisik dan ada juga yang letak ketumbar dan jintan manis. Hmmm kalau letak ketumbar dan jintan manis, macam Gulai Pahang.

            So Kjee letak semua yang asas seperti diatas dan juga kerisik. Ada satu orang dulu pernah sindir kononnya kalau tak letak kerisik bukan rendang katanya. Itu masa Kjee buat Rendang Kelantan lah. Ehh suka ati kitalah nak letak apa. Yang nak makan kita kan?




kerisik




            Kjee kisar semua bahan yang diatas tadi tanpa ketumbar dan jintan manis. Oleh kerana Kjee guna ½ ekor sahaja ayam, maka  Kjee letak lebih kurang 40 biji cili padi kampung yang warna hijau. Tak pedas sangat macam yang Kjee makan di Zaini Salai House dulu. Kjee trrrrr juga 5 biji bawang merah, 3 ulas bawang, putih, sedikit halia, kunyit hidup dan sedikit lengkuas. Tiga batang serai diketuk-ketuk.

            Kemudian Kjee tumis bahan-bahan tadi bersama serai, sehingga naik minyak baru masuk ayam dan kecutkan. Pastu letak sedikit air dari perahanan kedua kelapa. Lebih kurang setengah cawan. Setelah air itu hampir kering, Kjee masukkan satu mangkuk santan pekat dari sebiji kelapa. Rendidih sehingga hampir kering. Jangan lupa letak satu asam keping dan garam serta sedikit gula serta dua helai daun limau purut yang telah diramas-ramas.

            Apabila sudah hampir kering, masukkan satu sudu kerisik. Kalau tak letak kerisik pun okay. Kita yang buat dia. Tetapi kerana Kjee rajin semalam, Kjee buat ler kerisik. Sebelum padam api, masukkan sehelai daun kunyit yang telah dimayang halus. Gaul hingga rata.

            Hajat hati nak makan dengan lemang tapi masa tu UnclePali dah pergi kerja. Jadi Kjee tanak pulut dan makan lah dengan Rendang Ayam Cili Api tu. Punyalah seronok apabila UnclePali makan malam tadi dan puji sedap.

            Lain kali kalau buat, Kjee nak letak ulam pegaga macam di Zaini Salai House. Dan letak lebih banyak cili padi. Kalau tak cukup pedasnya, tak gunalah menggelarnya rendang cili padi kan? Hehehe.



       



Sunday, July 9, 2017

SAYUR ASPARAGUS GORENG BELACAN




               Ini untuk buktikan yang Kjee ada masak untuk Berbuka Puasa sepanjang Ramadhan yang lalu. Cuma Kjee malas jer nak jadikan entri.

               Daripada sebulan kita berpuasa, Kjee hanya berbuka di luar sebanyak dua kali dan dua kali lagi, lauk tunjuk. Hehehe.

               Asparagus ini Kjee beli di NSK Sri Rampai. Harga RM5 untuk satu ikat. Kjee rembat dua ikat sebab bab sayur Kjee memang tamak. Hehehe. Aritu kami pergi Cameron Highlands, Kjee beli juga Asparagus. Dua ikat RM12. Apabila Kjee tanya kenapa mahal sedangkan di KL boleh dapat lebih murah, Ah Soh tu kata sebab fresh. Tanam sendiri. Ya lah tu. Kjee simpan dalam peti ais. Dua hari kemudian terpaksa buang sebab dah kuning dan layu!!! Grrrrrrrr!

              Sayur ini memang mahal kalau makan di restoran baik restoran Cina Muslim atau Thai. Sepiring kenit berbelas ringgit. Itu sebabnya kalau jumpa di supermarket, Kjee mesti beli.

              Cara memasak favorit Kjee ialah Goreng Belacan letak udang.  Cara masak yang mudah. Tumbuk cili padi (ikut kepedasan masing-masing). Kemudian tumbuk juga bawang putih dan akhir sekali tumbuk sekali dengan sedikit belacan.

              Sayur ini bahagian batangnya agak keras. Jadi pengalaman Kjee selalu tengok chef omputih di TV ialah dengan mengambil satu batang dan patahkan hujung asparagus. Kalau mudah dipatah, maknanya guna setakat itu jer. Yang hujung itu pastu liat. Alahai faham ker? Cubalah buat sendiri dan korang akan faham apa maksud Kjee. Hehehe.

              Setelah dipatah-patahkan sepanjang lebih kurang dua inci, cuci dan toskan. Tumis bahan tumbuk hingga garing dan naik bau. Kemudian masukkan udang. Kalau tak letak pun ok. Selepas itu, masukkan sayur asparagus dan sedikit air. Goreng sehingga sayur itu lembut. Perasakan dengan kicap cair atau fish sauce.

              Hidang panas-panas.





Friday, July 7, 2017

BUBUR LAMBUK 'BERLAUK'






              Semalam Kjee dapat rezeki Bubur Lambuk Kampung Baru dari seorang rakan, Sharif Sauji. Bubur lambuk ini resipi turun temurun ayahnya, Allahyarham Haji Sauji. Kalau orang Kampung Baru yang jual bubur lambuk ini, pasti rasanya sama seperti yang diagih-agihkan oleh Mesjid Jamek Kampung Baru setiap Ramadhan. Ini adalah kerana, orang lama seperti Haji Sauji yang sama-sama tungkus lumus bantu memasak bubur itu dulu. Dan resipinya tidak kemana.

              Tetapi Kjee rasa mesti korang pelik tengok Bubur Lambuk dalam foto diatas. Tak sama macam beli. Memanglah tak sama sebab Kjee dah tokok tambah. Apabila ditokok tambah, laju sajalah makan kan? Hehehe. (Actually kalau tak tambah lauk pun tak apa sebab dalam bubur lambuk tu dah ada pelbagai rempah dan juga daging).

               Oleh kerana dalam peti ais ada telor asin yang telah siap direbus, maka Kjee keluarkan kuningnya dan carik-carik, susun atas bubur yang telah diletak dalam mangkuk. Kjee tak guna yang bahagian putihnya sebab kali ini buat terjadi tersangat masin.

               Tak cukup dengan itu, Kjee tambah pulak dengan ikan bilis goreng garing sama hirisan bawang putih yang juga digorang garing. Enak banget!

               Lauk ikan bilis itu memang wajib Kjee buat kalau makan dengan bubur nasi. Kali ini Kjee guna ikan bilis halus mata biru. Goreng garing-garing macam keropok dan tepikan. Sebelum itu digoreng garing dulu hirisan bawang putih. Bila dah kruk-kruk, tepikan. Dan untuk extra umphhh, goreng pulak cili padi dan apabila semua sudah sejuk baru dicampur. Boleh simpan dalam bekas kudap udara. Buat ratah pun sedap!

               Maka itulah kejadian semalam. Satu mangkuk Kjee makan untuk lunch dan satu lagi untuk dinner.

               Terima kasih Sharif Sahoji. Dia ini meniaga sepanjang masa di depan mesjid Kampung Baru. Yang ada kanopi hijau tu. Kalau nak tempah boleh jer call dia seperti nombor tertera di bawah ni. Sharif juga terima tempahan untuk sebarang majlis sekitar Lembah Kelang.



             



Kalau nak Bubur Lambuk Special versi Kjee, sila klik SINI.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...