Pages

Wednesday, November 22, 2017

PULUT SERI MUKA NYONYA






          My second attempt buat Kuih Seri Muka Nyonya. Kjee dah biasa buat kuih Seri Muka tetapi apabila terjumpa resipi cara Nyonya ni, Kjee rasa teruja nak cuba, Ini adalah kerana lapisan hijau dijerang atas api sehingga sedikit pekat baru dituang atas pulut.

          Maka terjadilah Kuih Seri Muka Nyonya ini buat kali kedua minggu ini. Yang pertama hari itu, sebaik sejuk, ada tamu datang dan UnclePali terus hidang untuk mereka. Tinggalkan sepotong aje untuk Kjee. Mereka makan tak hengat dunia. Isyhhh tak baik kita kan. Mesti sedap ler tu kan! Hehehe.

          Kjee ini jenis tak suka letak pewarna sekiranya boleh menggunakan pewarna asli. Misalnya untuk resipi ini, Kjee ikut sebiji resipi yang diberi. Cuma Kjee taklah guna 30 helai daun pandan untuk buat jus. Kjee guna 15 helai. Warnanya cantik juga kan!

          Bahan-bahan untuk resipi ini yang Kjee campur aduk dari dua tiga blog di internet ialah 300 gms beras pulut. Kena rendam 4 jam. Kali pertama Kjee buat, Kjee rendam 4 jam tetapi kali kedua tadi Kjee rendam 1 jam aje.

           Sediakan kukusan. Didihkan air. Kemudian pulut itu ditos dan dimasukkan ke dalam loyang. Campurkan 200ml santan cair bersama secubit garam. Kukus selama 20 minit. Kemudia keluar dan kuis dengan garfu.

           Masa menunggu pulut itu masak, Kjee lapikkan loyang empat segi. Rasanya tadi 7"x7" dengan plastik. Lebihkan plastik itu dibahagian tepi supaya senang nak angkat keluar apabila sudah sejuk. Resipi asal guna loyang bulat 8". Tuangkan pulut yang sudah masak ke dalam bekas yang digunakan. Guna daun pisang atau plastik untuk mampankan pulut tadi. Kemudian masuk balik ke dalam kukusan, guna api paling perlahan.

          Untuk lapisan atas, ricik halus 15 helai daun pandan. Kisar dengan menggunakan air sebanyak 200ml. Tapis dan tambah air jika perlu untuk jadikan 260ml jus santan.

          Dalam satu mangkuk, masukkan 200 gms gula putih. Kjee guna 140gms sahaja sebab tak suka manis. Itu pun dah terlebih manis bagi tekak Kjee. Masukkan 260ml jus pandan bersama 220ml santan pekat, 3 biji telor, 7 sudu besar tepung ubi dan 4 sudu besar tepung gandum. Juga secubit garam. Guna whisk dan kacau perlahan-lahan sehingga semua bahan bersatu. Kemudian tapis ke dalam periuk.

          Jerang adunan hijau tadi dalam periuk atas dapur guna api perlahan. Kacau manja-manja guna whisk sehingga ia menjadi sedikit pekat tetapi bukan kental. Pekat setakat boleh tuang atas pulut tadi. Padam api.

          Sementara itu tengok pulut yang didalam kukusan. Pulut itu harus panas supaya adunan hijau terus melekat apabila dituang keatasnya. Tuang perlahan-lahan adunan hijau hingga menutupi pulut. Guna api sederhana walaupun resipi asal suruh guna api besar.

          Masak selama 25-30 minit. Tudung kukusan hendaklah dilapik dengan kain supaya wap tidak menitis. Sejukkan betul-betul baru potong guna pisau plastik.

          Resipi Nyonya yang ori, guna titisan air bunga telang berwarna biru pada pulut. Kjee tak ada, jadi Kjee biarkan putih,

          Sudi-sudilah cuba. Kalau buat kali ketiga, Kjee harap dapat guna air bunga telang untuk pulut.



       

         

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...