Wednesday, November 8, 2017

SUP AYAM PENCEN ALA MAMAK





          Sup Ayam berempah memang sedap dihirup di musim sejuk. Maklumlah Malaysia kan sekarang sudah ala-ala Winter. Hehehe. Panaskanlah badan dengan sup yang lebih dikenali sebagai sup Mamak.

          Ini kali kedua Kjee buat dalam masa tak sampai sebulan. Masa buat kali pertama hari itu, Kjee tak berapa puas hati. Makan sikit lepas tu simpan dalam freezer. Dua hari kemudian UnclePali keluar dan panaskan. Ehhh tiba-tiba rasanya sangat sedap. Ohh sup Mamak kena 'perap' dulu baru sedap. Macam Mamak buat jugak kot. Sekali buat satu periuk besar. Tak habis dipanaskan. Itu yang sedap agaknya.

          Anyway, sup yang Kjee dapat resipi selepas google ni, tidaklah 100% sedap macam kat Restoran Mamak. Kjee yakin mereka ada secret recipe. Tetapi bukan semua restoran Mamak punya sup sedap. Maka, bolehlah Kjee kata sup yang terhasil hari ini, antara yang sedap jika dibanding dengan sup Mamak yang tak sedap. Hehehe.

          Terima kasih kepada Kak Ida's Kitchen. Kjee ada tambah satu dua bahan lagi nak bagi lebih sedap. Air rebusan Barli dan juga satu chicken kiub. Arwah bapak dulu pernah beritahu, dia tanya resipi kat Mamak. Tapi mamak tu tak bagi. Cuma kata dia orang letak air Barli. Dan untuk pekatkan kuah sup, Kjee tak letak tepung tapi Kjee blend halus satu sudu besar barli yang telah kembang direbus dan masukkan di peringkat akhir memasak.

          Jom kita intai resipi.

SUP AYAM MAMAK
resipi asal Kak Ida's Kitchen.

BAHAN2:

1 ekor ayam pencen
2 peket rempah Kurma (25 gms satu peket) *
1 peket rempah sup (25 gms) *
1 sudu besar serbuk kunyit *
1 sudu besar lada hitam kisar *
2 labu bawang besar (dihiris) *
4 ulas bawang putih (dihiris) *
2 inci halia (ditumbuk halus. Kjee sagat) *
1 peket Barli (direbus hingga kembang)
1 kiub ayam
5 biji cili padi
Daun Ketumbar
Daun sup


CARA:

Barli direbus guna 1 liter air hingga kembang. Potong ayam ikut suka. Kali pertama dulu Kjee guna ayam kampung. Kali ini guna ayam pencen. Ini kali pertama guna dan tak tahu ayam pencen tersangat liat. Mujur ada Pressure Cooker. Masuk dalam PC selama 30 minit. Kalau tidak, rebus ayam hingga lembut.

Tumis bahan-bahan bertanda *. Mula dengan bawang besar dan bawang putih serta halia. Apabila sudah naik bau, masukkan dua peket rempah kurma dan satu peket rempah sup. Tumis hingga garing kemudian masukkan ayam yang telah direbus. Kalau guna ayam kampung atau ayam daging biasa, tak perlu rebus. Masukkan sedikit air dan biarkan ayam kecut dan sebati dengan rempah. Masak guna api perlahan.

Kemudian masukkan kiub ayam dan air Barli. Kiub Ayam sudah tersedia garam jadi hati-hati apabila tambah garam. Juga masukkan cili padi yang telah diketuk-ketuk. Apabila ayam sudah cantik empuk, blend satu sudu besar barli yang sudah kembang bersama sedikit air sehingga halus. Masukkan ke dalam periuk. Kaca rata. Barli itu akan memekatkan kuah menggantikan tepung.

Rasa garam. Padam api. Masukkan segenggam kecik daun Ketumbar yang telah dipotong kasar-kasar.

Ketika hendak hidang, taburkan daun sup dan bawang goreng. Sedap cicah dengan roti Benggali ataupun nasi.

UnclePali kata rasa rempah Kurma terlalu kuat. Kesemuanya Kjee letak 50gms (dari dua peket kecik. Lain kali mungkin letak 1 peket sahaja atau 35gms). Tapi kalau letak 2 pekat pun okay jugak. Tidak menjadi hal.  Pandai-pandailah nak adjust. Ikut tekak masing-masing.








0 comments:

Post a Comment