Pages

Monday, February 27, 2017

TERUNG GORENG TEMPURA DISAMBAL GARINGKAN







      Ini hasil yang diperolehi semalam dari Sambal Ikan Bilis Garing yang berbaki. Kjee goreng Terung celup tepung stail Tempura dan gaulkan sambal bilis tu. Hidup ni kena kreatif kan?

      Kalau hari tu Kjee buat letak sambal tumis (KLIK SINI) yang dimasak lama, ini cara untuk memudahkan hidup. Hehehe.

      Banyak lagi sayur-sayuran yang boleh digunakan. Biasanya kalau ke restoran Jepun, Kjee lihat mereka guna labu, bendi dan juga cendawan kalau kita order Tempura. Selain itu, mereka juga guna udang. Jadi, korang nampak idea untuk sesuaikan dengan citarasa kita?

      Selamat mencuba dan tayangkan kreativiti. Hehehe.

   

Sunday, February 26, 2017

NASI GORENG CINA 'BEST IN THE WORLD'







       Semalam kami pergi sebuah cafe di Danau Kota sebab Nadia nak makan nasi goreng. Tetapi apabila dia makan, Kjee perasan ada yang tak kena pada wajahnya.

       "Sedap ker?" tanya Kjee. Nadia hanya senyum. Senyum yang Kjee kenal sangat. Jadi Kjee kata, esok Mama buatkan Nasi Goreng Cina. Punyalah dia suka!

       Pagi-pagi tadi selepas sarapan, dia dah bersiap-siap untuk ke Hero Market untuk beli bahan-bahan yang diperlukan. Perlu ada udang, Kjee pesan. Letak ayam kureng sikit rasanya. Tapi mesti udang putih yang halus-halus.

       Apabila Nadia balik, semua bahan-bahan dah ada di depan mata. Sebelum dia ke pasaraya, dia masak nasi dulu. Kurangkan air ke dia tanya. Kjee hanya angguk. Nasi Goreng mesti guna nasi yang keras sikit daripada biasa. Ada orang kata elok guna nasi semalam atau orang Jawa panggil Nasi Sejuk. Tetapi Kjee lebih suka nasi yang baru dimasak. Tetapi disejukkan sejam dua. Itu stail Kjee walaupun Chef bertaraf antarabangsa kata lebih sedap nasi semalam.

       Kjee tolong Nadia siang udang yang halus tu. Orang muda mana ada kesabaran nak menyiangnya. Lepas itu, Kjee bangun hendak ke depan. Biarkan dia masak. Nadia toleh.

       "Eh Mama nak kemana? Nadia kena masak ke?" Muka dia seperti panik. "Mama kan dah janji semalam nak masakkan! Nasi Goreng Cina airtangan Mama best in the world!" Pandai dia membodek. Kjee terus pusing masuk balik dapur. Hmmm ingatkan dia nak masak! Bukan dia tak reti!

       Sambil Kjee masak, Nadia nyanyi-nyanyi keriangan. Opppss jangan menyanyi nanti dapat laki tua! "Tak kesah. Kalau dapat yang muda tapi banyak songeh, buat apa!" Hehehe pandai dia menjawab.

       Sepuluh minit kemudian, siap. Kalau semua bahan-bahan dah siap, memanglah senang kan untuk memasak. Kjee turut goreng ikan bilis halus garing-garing untuk ditaburkan ketika makan. Tetapi kalau hendak dimakan dengan ikan bilis, hati-hati nasi goreng jangan terlalu masin!

       Kalau nak resipi lengkap, sila ke SINI.

       Masa nak makan, tabur dulu bawang goreng dan makanlah dengan cili padi potong yang telah diletak sedikit kicap cair. Sedap you!






LABU MASAK LEMAK PUTIH







      Kalau makan kat kedai, nampak sahaja lauk Labu Masak lemak ini, pasti ia menjadi pilihan. Tarikannya cukup kuat.  Kjee, UnclePali dan Nadia suka sangat. Tak kesahlah kalau ada kata ia sayur sejuklah, angin ker. Kalau nak makan, tak pedulilah semua tu. Hehehe.

      Ini lauk hari tu. Lauk ini memang sedap kalau digandingkan dengan lauk sambal. Pastu goreng pulak ikan kering. Tetapi stok tak ada. Jadi dua lauk sahaja lah.

      Ini antara lauk agak mudah nak buat. Kalau nak tahu caranya, KLIK SINI ya.



   

Saturday, February 25, 2017

SAMBAL BILIS GARING DAN RANGUP





      Kjee suka sangat Sambal Bilis Garing ni. Dulu selalu Kjee beli. Selain sedap makan dengan bubur nasi, Kjee jugak letak masa nak makan dalam  mihun sup dan juga Mi Segera. Tetapi paling suka kalau diratah begitu sahaja!

     Kelmarin, Kjee ternampak resipi ini di newsfeed facebook. Tak ingat page siapa. Terus Kjee amati resipinya! Dan bila dah tahu betapa mudah hendak membuatnya, Kjee pun mulalah projek mengerjakannya!

     Cili kering tak ada. So Kjee suruh Nadia pergi kedai runcit berhampiran. Alang-alang dia pergi, suruh jugak beli bawang kecik atau bawang Ros. Mulanya Kjee nak buat guna bawang besar. Apa-apa pun boleh.

      Bahan-bahannya hanya Cili Kering, Bawang Merah, Bawang Putih dan Ikan Bilis. Tersangatlah mudah. Hari tu Kjee terjumpa ikan bilis jenis halus pemberian seorang sahabat ketika beliau ke Sabah, Ogos tahun lepas. Mujur letak dalam peti ais. Jadi masih elok. Ikan Bilis jenis halus ini memang mahal tetapi kalau nak guna yang biasa pun okay jer. Tapi yang halus lagi sedap!

      Kjee buat sikit sahaja arini sebab takut tak menjadi. So Kjee ambil segenggam cili kering, gunting serong halus-halus, cuci. Asingkan bijinya dan keringkan. Kena keringkan betul-betul sebab nanti nak goreng.




Setelah digoreng dulu


Setelah ditumbuk

Ikan Bilis Halus


      Kemudian Kjee kupas lebih kurang 10 biji bawang merah dan 6 ulas bawang putih. Panaskan minyak dan goreng kedua-dua bawang ini. Goreng bawang merah dulu lebih kurang 7 minit dan keluarkan. Kemudian goreng bawang putih hingga garing. Bawang putih diketuk-ketuk sementara bawang merah itu biar sebiji-sebiji. Toskan atas tisu dapur.

      Selepas itu, perlahankan api dan goreng cili kering. Hati-hati jangan bagi hangus. Biarkan sedikit garing. Kalau hangus nanti sambal pahit. Toskan.

      Siap kerja itu, tumbuk bawang merah dan bawang putih. Jangan sampai terlalu halus. Keluarkan ke dalam mangkuk. Kemudian tumbuk cili kering. Jugak jangan terlalu halus. Satukan.

     Ketika ini baru goreng ikan bilis sampai garing. Kalau nak bilis itu betul-betul ranggup, minyak haruslah cukup panas. Sama macam goreng keropok. Balik-balikkan bilis. Bila dah puas hati ia garing, toskan.

      Jangan diletak garam pada sambal tumbuk tadi sebab Bilis sudah masin. Kalau guna pak aji, bolehlah letak sikit pada sambal.

      Apabila ikan Bilis sudah betul-betul sejuk, baru digaul ke dalam sambal. Simpan dalam bekas kedap udara ya.

      Semasa Kjee tulis entri ini, Nadia sudah habiskan hampir separuh dari dalam botol tu. Dia ratah aje. Siap kau Nadia. Esok kena buat lagi banyak-banyak untuk Mama!

      Terima kasih fren yang share resipi ini. Insya Allah Kjee panjangkan pahala buat awak.

      Tak perlu nak masak macam buat sambal biasa. Gaul sahaja rupa-rupanya! I like!!! Buat banyak-banyak untuk bulan Puasa nanti babe!

 






Friday, February 24, 2017

SAMBAL TENGGIRI PETAI








      Apabila musim petai kembali melanda, setiap hari ada sahaja orang tayang resipi menggunakan petai di Facebook. Asyik terliur ajer, mana boleh kan? Kalau nak makan kat kedai, petainya, alahai punyalah ciput.

      Mujur apabila sebut pasal petai, UnclePali selalunya no problem sebab dia memang hantu petai. Jadi, tersangatlah mudah nak pujuk dia pergi cari. Tak payah guna ayat power. Hehehe.

      Tadi dia pergi ke Pasar Keramat. Kjee dah pesan supaya cari petai yang mata besar-besar. Dan mujurlah dapat. Tiga papan RM5. Bolehlah tu. Sebelum pergi dia tanya kalau tak ada petai kat pasar, yang dah kopek bolehlah tak? No no no! Itu petai Siam. Tak sedap kata Kjee.

      Pagi tadi UnclePali selongkar freezer dan jumpa Ikan Tenggiri. Ikan Kembung pun ada tapi Kjee lebih suka buat sambal guna Ikan Tenggiri. Mahal Ikan Tenggiri sekarang. Dekat RM40 sekilo. Mujur dah ada stok tak payah beli.

      Kami gotong royong masak tadi maklumlah Kjee bukannya sihat. Dan tinggal tak sampai sejam UnclePali nak mandi dan pergi mesjid.

      Tanpa disuruh, first thing dia capai dulu rice cooker dan masak nasi. Kjee dah cuci ikan dan letak garam kunyit. Kemudian panaskan minyak dalam kuali. Lepas masak nasi, UnclePali terus goreng ikan. Tak banyak. Lima keping sahaja. Cukuplah untuk dinner sekali.

      Kjee ambil petai dan buang kulit. Kemudian selepas goreng ikan, UnclePali goreng petai tu separuh masak. Petai digoreng seperti itu untuk hilangkan rasa mentahnya.

      Kemudian Kjee keluarkan stok sambal tumis dari dalam peti ais. Stok sambal memang sentiasa ada. Apabila kelapangan, Kjee akan buat banyak-banyak dan simpan. Senang kalau nak buat mi goreng, Penang Fried Kway Teow dan yang sewaktu. Sambal Tumis Kjee tak letak belacan.

      Kjee potong bulat-bulat satu labu bawang besar, tumis dalam sedikit minyak. Apabila sudah layu, Kjee masukkanlah ke dalam kuali sambal mengikut keperluan. Apabila sambal sudah panas, masukkan petai, golek-golek seketika dan masukkan ikan goreng.

      Itu jer. Mudah kan!

      So korang yang kerja opis dan selalu kata balik rumah tak sempat nak masak, boleh sediakan sambal tumis macam Kjee. Setelah sambal dipanaskan bolehlah letak udang ke, ayam goreng ke atau sotong. Ala-ala sambal instant gitu. Hehehe

       Selamat Mencuba.

   

Tuesday, February 14, 2017

TELOR DADAR KACANG PANJANG






      Kjee buat Omelete Kacang panjang ini Ahad lepas. First time makan dulu di sebuah restoran Nyonya kat Setiawangsa. Restoran itu dibawah opis kami (Mingguan Utara). Owner dia wanita Nyonya yang berkahwin dengan orang Melayu. Baik sangat kakak tu.

      Anyway, seperti biasa kalau suka sesuatu makanan, Kjee akan cuba terai test buat kat rumah. Alhamdullliah menjadi walaupun resipi pepandai sendiri.

      Buat telor dadar tu macam biasa. Kjee dadu bawang besar dan sebiji dua cili padi. Kemudian letak sedikit garam dan dipukul manja hingga bawang, cili dan telor bersatu.

      Kjee potong kacang panjang kecik-kecik (nipis-nipis?). Kemudian Kjee tumis dua ulas bawang putih yang telah di ketuk-ketuk. Apabila sudah keperang-keperangan, masukkan kacang dan goreng pantas. Perasa dengan sedikit garam. Hati-hati tau sebab adunan telor pun dan ada garam. Apabila kacang separuh masak, keluarkan ke dalam pinggan.

      Letak sedikit minyak dalam kuali dan curahkan telor tadi. Apabila hujung-hujungnya sudah nampak sedikit garing, taburkan kacang tadi diatas telor dadar. Perlahankan api. Apabila bahagian atasnya sudah sedikit kering, terbalikkan perlahan-lahan. Dah puas hati kedua-dua belah dah masak, padam api dan letak perlahan-lahan dalam pinggan.

      Sukatan? Hmmm agak-agak ler. Kjee guna empat biji telor dan lebih kurang segenggam kacang panjang yang telah dipotong-potong.

      Sedap makan dengan nasi atau ratah begitu sahaja.



   

Monday, February 13, 2017

ROTI GRILL UNTUK SARAPAN



Ini guna roti bijirin



       Sejak kesihatan Kjee tidak begitu elok sejak akhir-akhir ini, Kjee dah jarang-jarang dibawa UnclePali ke my favorite kedai untuk sarapan. Kalau tidak, setiap pagi, dia akan membawa Kjee ke merata kedai di Taman Melawati untuk menikmati roti canai, lontong, nasi lemak dan semua yang sewaktu.

       Tetapi, Kjee macam sudah seronok pulak makan roti grill dengan telor separuh masak ataupun apa sahaja yang dijadi breakfast, daripada roti. Kekadang UnclePali buatkan French Toast dan kekadang Sandwich,

       Walaupun di rumah ada dua Bread Toasters, namun Kjee lebih suka kalau roti itu dipanggang atau grill atas grill pan. Entahlah... pada Kjee, rasanya lebih enak daripada dimasukkan kedalam toaster. Kalau tak ada grill pan, kat kuali pun boleh.




Ini roti paun atau roti benggali




       Ramai puji cara UnclePali buat telor separuh masak tu. Perfect kejadiannya, kata mereka. Walaupun dah berpuluh kali UnclePali buat guna teknik sama, namun semuanya terpulang kepada kesegaran telor. Kalau telornya masih fresh, maka cantiklah kejadiannya. Begitu juga sebaliknya.

       Kelmarin Kjee ternampak satu blog yang mengajar cara buat telor separuh masak yang perfect. Menurutnya (maaf Kjee tak pasti blog yang mana satu), jerang air sampai mendidih. Kemudian padam api. Masukkan telor perlahan-lahan ke dalam air panas tadi. Set masa antara dua hingga tiga minit. Kemudian keluarkan. Kjee belum kesempatan mencuba kaedah ini.




Egg Boiler




       UnclePali guna bekas untuk rendam telor setengah masak. Banyak jual di pasaran termasuk dari jenama Cosway. Kjee dapat hadiah dari seorang teman. Dah banyak tahun.

       Menurut UnclePali, walaupun dia guna bekas itu, namun masih kena pastikan samada telor itu baru dikeluarkan dari peti ais atau sebaliknya. Kalau duduk dalam peti ais, katanya direndam dalam 10 minit. Cuba klik SINI.

       Selain itu, Kjee juga suka French Toasts versi orang kita yang tidak letak susu segar. Kjee letak secubit garam sahaja. Kemudian makan dengan Maple Syrup atau apa sahaja jem.





French Toast

     


Sunday, February 12, 2017

JUS EPAL CAMPUR SERAI... UBAT SEDAP!






   
      Beberapa minggu lalu, Kjee ternampak satu post pada page seorang kawan mengenai tips untuk mendapat kelegaan dari sakit sendi dan lutut. Kjee tengok sepintas lalu sahaja. Kemudian beberapa hari lalu, seorang kawan menyarankan Kjee amalkan minuman Jus Epal dan Serai. Manalah tahu dengan izinNya, kesakitan yang Kjee alami boleh berkurangan.

       Well, no harm trying. Bahan-bahan yang senang diperolehi. UnclePali ada tanam serai dalam pasu. Bukan dia yang tanam tetapi dia hangkut balik sini dari kampung. Epal pun banyak dalam peti ais sebab Nadia jadikannya kudapan.

       Maka semalam Kjee pun ke dapur untuk cuba membuat jus epal dan serai ini. Bahan diperlukan hanya dua biji epal hijau dan empat batang serai. Epal dipotong kecil-kecil, serai diketuk-ketuk dan masukkan dalam periuk bersama 1 litre air.

       Rebus guna api sederhana lebih kurang 30 minit atau sehingga dirasakan airnya sudah tinggal dua mug. Lenyek-lenyekkan epal dan tapis airnya. Sejukkan. Boleh juga simpan dalam peti ais. Itu arahan yang diberi.

       Kjee pun ikutlah. Tapi gelas pertama Kjee minum ketika suam. Kjee memang kurang minum air sejuk dalam peti ais. Tetapi satu gelas lagi Kjee suruh UnclePali simpan dalam peti ais seperti mana diarahkan. Kjee ikut sebab takut airnya basi.

       Malam tadi, sebelum tidur Kjee teringat pasal jus epal yang letak dalam peti ais. UnclePai ambil dan beri Kjee minum. Terkejut Kjee!! Sedap sangat-sangat! Patutlah disarankan minum ketika sejuk!

       Insya Allah Kjee akan buat jus Epa Serai ini minuman setiap hari. Selain daripada sedap, mana tahu memang boleh sembuh sakit sendi dan lutut kan?

        Korang tak percaya, sila cuba. Tak payah letak gula. So bila tak ada gula, pepaham ajelah kan. Tentu ia juga elok untuk kesihatan!

       Tapi kalau nak letak ais mungkin boleh adjust letak gula ataupun madu. Selamat menerai.



   


     

Saturday, February 11, 2017

SAMOSA INTI KENTANG





     

      Kejadian untuk minum petang hari ini. Dah lama tak buat. Dulu Kjee buat untuk jual. Tetapi Kjee letak inti kentang dan daging atau ayam. Kali ini Kjee ubah selera dan buat inti kentang ala Kilangu yang biasa dihidangkan dengan Poori.

      Tiba-tiba sahaja terfikir kalau buat inti ala Kilangu mesti sedap. Dan sesungguhnya sedap sangat. Lain kali kalau buat Samosa, pasti Kjee guna inti Kilangu kerana bukan sahaja sedap tetapi mudah untuk disediakan.

       Kjee guna empat biji kentang sederhana besar (rasanya lebih kurang ½ kilo). Buang kulit dan rebus letak sedikit garam hingga lembut. Kemudian dilenyek. Oleh kerana tidak dapat mencari potato masher tadi, Kjee lenyek sahaja guna my jari jemari. Tetapi pastikan kentang rebus tu dan sejuk tau.

      Kemudian Kjee hiris dua biji bawang besar dan 6 biji cili padi hijau. Kalau tak ada cili padi hijau, cili hijau pun ok.









      Panaskan minyak dan masukkan lebih kurang ½ sudu kecil biji sawi. Apabila sudah meletup-letup, masukkan bawang dan cili padi hijau tadi.  Goreng hingga layu, kemudian masukkan lebih kurang ½ camca serbuk kunyit dan sedikit garam. Jangan terlalu banyak sebab masa rebus kentang tadi dah letak garam.

      Masukkan kentang lenyek dan gaul hingga semua bahan-bahan bersatu. Rasa dan padam api. Sejukkan.

      Setelah sejuk, susun kulit popia letak sedikit inti dan bentuk jadi samosa. Lihat SINI.

      Panaskan minyak dan perlahan-lahan masukkan satu demi satu samosa. Goreng lebih kurang 3 minit on one side. Kemudian angkat dan toskan atas kertas Tisu Dapur untuk serap minyak.

      Enak dimakan ketika panas.







Wednesday, February 8, 2017

SAMBAL TERUNG ALA TEMPURA








      Akhirnya setelah asyik duduk memikirkannya, Kjee berjaya membuat resipi Sambal Terung Tempura. Pernah tiga empat kali makan di sebuah restoran. Menu itu digelarnya Crispy Brinjal Sambal. Harganya boleh tahan mahal. Satu piring RM15 walhal sambal terung aje.

      Kjee google cari resipi tapi gagal. Tidak ada satu pun yang menepati kriteria yang Kjee cari. Kjee nak jugak hasilkan seperti yang Kjee makan kat restoran tu.

      Hari ini, Kjee godek-godek kat dapur. Kjee adjust dari Sambal Terung udang Kering yang Kjee buat dulu. Tetapi masa itu, terungnya digoreng begitu sahaja. Kjee fikir kalau terung itu dibuat ala Tempura, kemudian disambalkan, mesti enak.

      Kjee mula dengan buat sambal dulu. Maklumlah kalau goreng terung dulu, ada dua risiko. Satu ia akan menjadi benyek sebab masak sambal akan ambil masa. Kjee nak buat sambal yang betul-betul kering. Risiko kedua, ia akan habis ditelan kucing kepala hitam. Kebetulan UnclePali cuti hari ini. Dan memang betul dia keluar masuk dapur intai dan ngap bila Kjee nampak dan  tak nampak. Hehehe.

      Kjee blend cili kering (lebih kurang 20 biji yang telah direbus terlebih dahulu) bersama sebiji bawang besar, dua ulas bawang putih dan segenggam udang kering yang telah direndam seketika. Blend semua sampai halus dan tumis hingga kering dan garing.









      Apabila sudah hampir kering, masukkan lebih kurang dua camca besar air asam jawa. Masak lagi dan letak satu kiub bilis. Kacau rata dan letak juga satu camca besar gula. Kjee memang sudah plan nak buat sambal ini ada rasa masam, manis dan pedas. Sebelum padam api, Kjee hiris halus beberapa helai daun limau purut dan taburkan ke dalam sambal. Kacau rata. Kjee tak letak garam tau sebab udang kering dan juga kiub bilis dah masin.

      Kemudian Kjee sediakan tepung tempura. Kjee ambil lebih kurang satu cawan tepung gandum dan perasakan dengan sedikit garam. Kemudian Kjee curahkan air yang telah dicampurkan dengan ais. Kacau guna garfu. Jangan sampai adunan terlalu halus. Cukuplah sampai sebati. Adunan tidak boleh terlalu pekat atau cair. Sedang-sedang gitu. Asal boleh salut terung, kira oklah.

      Kemudian panaskan kuali. Guna api sederhana tetapi minyaknya harus panas ketika hendak menggoreng.

      Kjee hiris terung (lihat gambar) dan terus celup ke dalam batter tempura. Guna penyepit dan masukkan ke dalam kuali satu persatu. Jangan terlalu banyak di satu masa. Goreng dan terbalikkan apabila sudah nampak warna keemas-emasan. Buat sampai habis. Kjee guna dua  biji terung. Jumlah sambal yang Kjee buat tadi cukup untuk 4 biji terung saiz sederhana.

      Apabila gorengan sudah siap, toskan diatas kertas tisu dapur.

      Sekiranya minyak sambal terlalu banyak, keluarkan. Kemudian masukkan terung tempura ke dalam kuali sambal dan gaul perlahan-lahan.

      Makan ketika masih panas. Ala dah sejuk pun masih ranggup dan sedap. Hehehe.

      Insya Allah Kjee akan selalu masak Sambal Terung Tempura ini. Modal tak berapa sen. Penyediaan aje renyah sikit. Tetapi lain kali buat sambalnya banyak-banyak dan bekukan. Bila nak makan, panaskan dan goreng terung.

       Selamat mencuba.













Monday, February 6, 2017

KARI AYAM BERSAMA KENTANG







      Tak ada plan pun nak masak Kari Ayam hari ini. Cuma teringin nak masak Asam Pedas Ayam. Tetapi apabila ke kedai dan tak jumpa daun kesom, balik rumah tukarlah pulak rancangan. Buat apa yang mudah.

      Resipi hari ini sama macam selalu. Cuma hari ini Kjee tambah serbuk cili Babas selain rempah kari Daging jenama sama. Cuma nak bagi pedas aje.

      Nak resipi, sila klik SINI. Nak amik gambar pun macam tak ada mood aje kan?

      Anyway, kalau masak kari ayam, Kjee akan gandingkan dengan ulam-ulam serta sambal belacan dan Ikan kering ataupun Telor Asin. Barulah ngam.

   

Friday, February 3, 2017

BERGEDIL CORN BEEF






      Plan siang tadi nak buat Croquette (disebut kro-ket), sejenis makanan dari bunyinya kita tahu berasal dari Perancis. Tetapi apabila ada sahaja bahan yang tak lengkap, makan Kjee buat sahaja Bergedil letak Corn Beef.

      Corn Beef adalah daging yang telah dimasak terlebih dahulu dan dimasuk ke dalam tin. Ia sangat lembut dan sedap dimakan begitu sahaja atau diletak dalam sandwich. Kena hati-hati apabila meletakkannya dalam masakan kerana ia agak masin.

      Selalunya Kjee beli corn beef jenama SW kerana kandungan daging yang agak banyak. Langsung tidak dicampur dengan tepung seperti jenama lain. Setelah mengeluarkannya dari dalam tin, Kjee akan masukkan ke dalam peti ais selama dua atau tiga jam. Kemudian Kjee keluarkan dan kikis buang minyak (lelemak) yang sudah beku sekeliling corn beef tersebut.

      Corn Beef tadi Kjee biarkan dalam suhu bilik (room temperature) sementara menyiapkan bahan-bahan lain. Kjee kupas empat biji kentang yang sederhana besar, hiris sama saiz dan goreng hingga masak. Kemudian Kjee tumbuk kentang tersebut hingga lumat.






      Kjee guna ½ tin Corn Beef yang telah dilenyek. Oleh kerana Corn Beef sudah cukup masin, Kjee tak letak garam. Kjee cuma letak lebih kurang ½ sudu besar lada hitam yang telah ditumbuk. Selain itu, Kjee hiris daun bawang dan daun sup dan masukkan ke dalam adunan kentang dan corn beef. Boleh juga letak bawang goreng ke daam adunan. Tetapi stok bawang goreng dah habis.

      Setelah digaul mesra, gentel bulat-bulat sebesar bola ping pong dan leperkan sebelum dicelup dalam telor (yang telah dipukul manja) dan digoreng.

      Biarkan ia garing sedikit baru diterbalikkan. Lakukannya perlahan-lahan supaya bergedil tidak pecah. Toskan minyak atas kertas tisu dan dihidang dengan sos cili.

      Bergedil biasanya dihidang bersama Soto tetapi Kjee suka makan begitu sahaja. Boleh juga direbus dulu kentang dan proses seterusnya seperti biasa.







AYAM MASAK KENTANG SAMA WEDGES






      Lauk ini kalau dimasak, mesti disediakan ikan kering goreng, sambal belacan dan juga ulam. Gerenti Nadia dan UnclePali makan bertambah. Cuma Kjee sahaja yang tak makan banyak. Kita bukan perlu banyak carbo pun. Tak buat kerja berat langsung kan! Hehehe.

      Lauk ini Kjee masak dua hari lepas. Sekarang ini Kjee banyak masak lauk berasaskan ayam. Maklumlah tahun ini kan orang Cina sambut Tahun Ayam. Ewah... ya lah tu. Sebenarnya, harga ikan melambung naik sekarang. Jadi kena jimat cermat.

      Hari itu masa Kjee releks depan TV, UnclePali bangun ke dapur. Dia baru sahaja lepaskan penat setelah tebas pokok-pokok pisang hutan belakang rumah. Dia nak rebus jantung pisang cicah nanti dengan sambal beacan dan goreng ayam.

      Mendengarkan dia nak goreng ayam, Kjee suruh dia goreng separuh masak sahaja sebab Kjee nak buat lauk Ayam Masak Kicap. Kjee terus follow UnclePali ke dapur untuk siapkan bahan-bahannya.

      Oleh kerana Kjee nak ikut stail arwah Bonda, Kjee kupas kentang dan hiris wedges dan goreng. Tepikan. Kemudian goreng ayam separuh masak. Ayam telah diletak kunyit dan garam.

      Bahan lain mudah sahaja. Hiris sebiji bawang besar bulat-bulat, tiga ulas bawang putih dan satu inci halia. Mulanya Kjee nak buat masa ayam kicap tumis cili kering kisar. Intai dalam freezer, tak ada cili kisar. Jadi, Kjee ketuk-ketuk lima biji cili padi Bangla (yang merah dan pedas menyengat). Jadilah asalkan pedas kan! Kalau guna cili kisar, cili itu ditumis hingga garing baru masukkan bahan-bahan hiris.

      Kjee tumis bawang besar, halia, bawang putih dan cili padi ketuk hingga naik bau. Kemudian masukkan air (secukupnya untuk kuah). Apabila sudah mendidih, masukkan kicap. Adjust sendirilah banyak mana ya. Campakkan jugak 1 kulit kayu manis dan dua bunga lawang.

      Apabila sudah mendidih, masukkan ayam dan biarkan ia rendidih lebih kurang 10 minit. Rasa. Ada orang suka letak cuka tetapi Kjee tak letak sebab ada gastrik. Sebelum padam api, masukkan kentang dan gaul rata.

      Itu sahaja. Tetapi memang sedap dimakan dengan nasi panas-panas, sambal belacan dan ulam. Kalau ada ikan kering goreng, lagi kebahboom!

      Kalau ada sambal tumbuk Jawa, lagi ngam lah. Resipi KLIK SINI.



sambal tumbuk Jawa

Wednesday, February 1, 2017

NADIA MASAK MI HAILAM LAGI!







      Apabila badan tidak sihat, tekak mula meragam. Tadi Nadia tanya nak makan apa. Kjee geleng kepala. Tak selera. Kemudian dia tanya, nak makan Mi Hailam? Terus angguk. Happy sangat!

      Sambil baring depan TV, Kjee dengar Nadia siapkan lunch Kjee. Semerbak bau harum daging ditumis. Kalau bab buat Mi Hailam, Nadia memang terer.

       Apabila siap masak, terbeliak Kjee tengok ada Chicken Balls. Sebelum ini tidak pernah letak. Nak ganti udang, katanya. Tak ada stok dalam fridge.

       Mi Hailam antara menu yang sangat disukai customer Kjee dulu. Senang sahaja nak buat. Guna kicap manis dan kicap Siam. Itu jer.

        Nak resipi penuh, tengok SINI.

   

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...