Pages

Wednesday, May 7, 2014

AKU DAN ABANG AJIS SATTAR







Abang Ajis bersama Mak Nani. Itu pertemuan terakhir Kjee dengan Allahyarham




Kjee mengenalinya sejak dilahirkan ke dunia ini dan faham apa itu wayang Melayu. Kjee akan diheret sama tengok wayang-wayang hitam putih walaupun berusia setahun jagung. Tak kesahlah wayang Melayu apa, kerana itulah sahaja bentuk hiburan yang ada ketika itu. Kena ikut sebab tiada siapa yang nak jaga kat rumah kalau mak dan bapak nak pergi tengok wayang!

Kjee tak tahu berapa ratus kali Kjee tengok filem-filem komedi Melayu hitam putih dari panggung hingga ke TV. Tak pernah putus dengan tawa hilai berbanding tengok filem-filem komedi dewasa ini!

Siapa sangka apabila sudah tamat sekolah, Kjee jadi wartawan. Wartawan hiburan pulak tu. Lantas makin dekat Kjee dengan seniman dan seniwati veteran Studio Jalan Ampas yang Kjee kagumi sejak dulu.

Kjee tak sempat kenal dekat dengan Allahyarham P Ramlee kerana sebaik sahaja Kjee jadi wartawan, tahun itu jugaklah beliau meninggal dunia. Tetapi banyak cerita kisah hidup Allahyarham P Ramlee yang Kjee dapat apabila mengenali Abang Ajis Satar. Yang boleh siar dan yang kena censored!

"Eh kok kau panggil aku Abang? Agaknya umur aku dah sama dengan bapak kau!" Masih terngiang-ngiang ditelinga Kjee dia 'mengherdik' Kjee ketika kami mula-mula kenal dulu. Kalau tidak silap Kjee masa Kjee pergi buat tugasan cover filem lakonan beliau.




Kjee telah 'dilatih' untuk memanggil artis veteran sebagai abang atau kakak supaya mudah nak dapat story. Kalau panggil makcik/pakcik haram boleh didekati... pesan beberapa wartawan senior Kjee ketika itu. Tapi, Kjee peduli apa. Masih panggil dia Abang hingga last jumpa beliau September lalu. Hehehe.

Anyway, Abang Aziz memang mudah didekati. Orangnya kecil molek dan sentiasa kemas walaupun ketika mengarah filem di tengah-tengah panas terik. Fesyen pilihannya adalah kemeja lengan panjang yang berbutang di lengan, seluar tempah ber'side' tajam yang sentiasa bertali pinggang, bersetokin dan kasut yang kilat.

Orang kata malang tak berbau, rezeki pun kita tak boleh jangka. Satu hari budak Abang Ajis call Kjee dan tanya samada berminat tak berlakon satu drama swasta. Masa itu RTM baru sahaja swastakan drama mereka. Judulnya JALAN SERIBU LIKU yang bakal diarahkan Aziz Satar! Kjee berlakon di sisi Harun Hashim. Dia jadi abang dan Kjee jadi adik yang terencat akal.

Masa berlakon drama inilah Kjee baru kenal rapat dengan Abang Ajis. Mungkin sebab Kjee wartawan, Abang Ajis banyak bercerita mengenai zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas. Dan airmatanya bergenang setiap kali bercerita mengenai P Ramlee dan juga S Shamsuddin.

Baru Kjee tahu yang Abang Ajis ini seorang yang mudah mengalirkan airmata. Justru selepas itu, Kjee elak tanya pasal P Ramlee kalau berbicara dengan Abang Ajis.

Banyak Kjee belajar dari Abang Ajis. Satu mengenai amalan hidupnya. Dia tidak pernah minum air berais dan tidak pernah tidur di siang hari.

"Kau jangan tidur siang tau. Nanti cepat gemuk dan jadi pelupa."  Hmmmm.



Selain insan yang mudah mengalirkan airmata, Abang Ajis jugak boleh tahan penakut orangnya. Setelah berlakon Jalan Seribu Liku arahan Abang Ajis, Kjee hanya bertemu sekali sekala dengan beliau ketika menjalankan tugas sebagai wartawan hiburan.

Kalau jumpa, mesti perbualan kami diselangseli dengan tawa hilai. Memang Arwah gemar berbual sambil selitkan kata-kata lucu.

Kjee kemudian dipelawa lagi berlakon dalam drama Mertua arahan Abang Ajis. Oleh kerana skrip itu Kjee yang hasilkan, maka Abang Ajis kata eloklah Kjee berlakon sama. Pelakonnya masih Harun Hashim dan juga Sofia Jane serta Sophia Ibrahim. Lokasi penggambaran rumah utama di sebuah villa indah di Janda Baik, Pahang.

Malam itu, malam Rabu. Kjee ingat lagi sebab setiap malam Rabu ada tayangan slot filem P Ramlee. KJee bawak sekali Nadia masa shooting sebab umurnya dalam lingkungan tiga tahun. Belum bersekolah.

Ketika kami tonton filem P Ramlee kat TV malam itu, audio TV dimatikan kerana tidak mahu ganggu shooting berhampiran sudut lain. Tetiba kilat berdentum dan karan padam. Blackout. Seram jugak sebab villa itu ditengah-tengah hutan.

Kemudian ada karan balik. Kami sambung tengok TV (audio masih dimatikan) dan Abang Ajis sambung shooting. Tetiba Abang Ajis jerit.

"Hey korang tak reti-reti ker kitaorang tengah shooting! Kenapa pasang audio TV?"

Nadia terus peluk Kjee. Tak pernah tengok Atuk Ajis marah. Kami berpandangan. Mana ada bunyi audio. Sejak mula shooting tadi kami tak pasang audio TV, kata Kjee.

Abang Ajis rampas headfon dari soundman. Dia dengar. Kemudian wajah dia berubah. Dia pass kat Penolong Pengarah. Kjee pergi ke Abang Ajis. Dia pass headfon. Ada bunyi... bunyi pompuan mengilai!!! Ewah ini sah-sah bukan dari TV!

Kemudian salah seorang crew yang ada bisik perlahan. "Mungkin datang dengan kilat tadi!" Muka Abang Ajis pucat. Kemudian sambung shooting sampai tengah malam. Lepas tu wrap.

Sejak beberapa hari yang lalu, Kjee serta semua perempuan baik artis mahupun crew tidur dalam villa utama. Abang Ajis jugak tidur dalam rumah ini seorang diri di ruang tamu. Yang perempuan tidur bersusun ala Jepun dalam satu bilik yang sangat luas. Budak crew pulak tidur di satu rumah lain tidak jauh di belakang villa utama.

Tapi apabila budak crew hendak bersiap balik ke rumah mereka, Abang Ajis tahan mereka.

"Malam ni korang tidur sini sajalah. Esok pagi-pagi aku nak shoot scene subuh luar rumah ni." Semua budak crew terpinga-pinga. Hari lain boleh kenapa pulak malam ni tak boleh?

Kami yang perempuan masuk ke bilik sambil senyum. Baru kami tahu abang Ajis penakut. Takut nak tidur sorang-sorang kat ruang tamu villa 3 tingkat itu. Hehehe.








Abang Ajis menghabiskan sisa-sisa usia dengan berlakon. Mungkin sudah tidak larat lagi untuk mengarah. Beliau pernah juga memberi tips kepada Kjee cara menulis skrip mengikut format yang betul.

Apabila Kjee jugak sudah memasuki era warga emas, Kjee seringkali bertemu Abang Ajis di pertemuan artis-artis veteran. Apabila Dato Ismail Hudson meninggal, Abang Ajis diangkat sebagai Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia.

Ketika last jumpa Abang Ajis di Majlis Hari Raya persatuan itu di Kelab Sultan Sulaiman, September tahun lepas, Abang Ajis hadir seorang diri. Nampak agak uzur dan tidak pasti samada beliau gagahkan jugak diri untuk hadir semata-mata tidak mahu mengecewakan anak-anak seni yang diundang. Kjee kata demikian sebab di siang hari yang tidak sejuk, beliau mengenakan baju sebanyak 3 lapis. Seperti biasa, Kjee mengucup tangannya. Pandang tepat wajahnya dan senyum.


Abang Ajis sampaikan sumbangan kepada aktor Karim Latiff yang uzur

"Eh tadi aku nampak kau masuk dewan naik kerusi roda. Ini dah boleh jalan." Kjee senyum. "Saya bangun dan jalan perlahan-lahan sebab nampak Abang Ajis." Wajahnya berubah. "Eh jaga-jaga langkah. Nanti jatuh susah."

Kjee amat-amat bangga beliau pergi di usia 89 tahun. Bangga kerana pandai beliau menjaga kesihatan sehingga mampu mencapai usia itu.

Semalam, Kjee hanya tunggu di perkarangan surau di Bandar Hussein Onn, Cheras. Ada dua sebab. Satu kerana Kjee tak sihat dan datang menaiki kerusi roda. Dan dua, kerana Kjee tak sanggup untuk menatap wajah beliau ketika sudah tidak bernafas lagi.

Kalau boleh mahu kenang Allahyarham hingga ke nafas akhirku tidak ubah seperti wajahnya di kali terakhir Kjee bertemu dan mengucup tangannya 9 bulan lalu.

Al Fateha.



Nadia bersama Atuk Ajis ketika menziarah jenazah Arwah Latiff Ibrahim


Keletihan ketika arah drama Mertua

Satu function di Finas

Sampul duit raya sumbangan persatuan




9 comments:

haszrul mohamed said...

al-fatihah... buat Uncle Aziz Sattar....

mami said...

Al-Fatihah...

Anonymous said...

Alfatihah utk arwah.....auranya tetap subur disepanjang jln kenangan saya dan keluarga.... utk kjee...semoga kjee bahagia selalu dan sejahtera hendaknya......amin...... awabakingwithlove....

MPP said...

Terima Kasih Kjee kerana berkongsi pengalaman dengan Arwah untuk semua pembaca.. Terharu campur happy baca pengalaman Kjee.. Semoga roh arwah diredhai hendaknya.. Al-Fatihah...

Kjee said...

Tq sudi baca Che Wan MPP.

nurjihan bidin said...

alfatihah... semoga aman disana..
indahnya kenangan akk dengan arwah...

Shiela said...

Al Fatihah..

Fieda Zan said...

saya baca cerita kak jee ni berderai air mata.. saya memang meminati beliau..semoga rohnya dicucuri rahmatNya dan ditempatkan golongan yg beramal soleh..

pilot512 said...

Jutaan terima kasih Kak Jee..kerana kongsi pengalaman..Alfatihah khususan Allahyarham Pak Aziz Satar...semoga mendapat rahmat Allah,InsyaAllah..

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...