Showing posts with label ikan. Show all posts
Showing posts with label ikan. Show all posts

Tuesday, August 6, 2024

TALAPIA MIANG PLA PAO


        First time Kjee buat sendiri setelah dicabar UnclePali. Dia tengok harga Miang Pla Pao di warung Thai, dan merasakan harganya tak masuk akal. 
        Rm35 untuk satu set seperti yang Kjee sediakan dalam foto diatas. Ikan Talapia bukanlah mahal sangat berbandingkan ikan lain. Belas hengget aje sekilo. Tadi UnclePali beli dekat Rm21 untuk dua ekor!!
 

        Dua ekor Rm70 kalau makan luar!! Isyhh memang tak masuk akal kalau hanya dihidangkan bersama salad, sedikit bihun dan sos cili.
        Bukan susah mana nak membuatnya. Goreng ikan Talapia garing2. Kalau nak dapatkan ikan itu benar2 garing, guna minyak yang banyak. Minyak mesti cukup panas sebelum ikan dimasukkan ke dalam minyak sehingga tenggelam. Hati2 percikan minyak ya.

        Cara makan ikut sukalah. Tetapi orang Thai cubit sikit ikan yang garing tu dan susun pada salad bersama sedikit bihun. Kemudian gulung dan cicah sos cili Thai.

        Kjee buat sos sendiri sebab nak kurangkan manis. Beli sos Thai yang dalam botol itu pun ok kalau korang tak ada penyakit macam mokcik ni. 🫣
        Cara Kjee buat, cili merah dan cili padi diblend bersama seulas bawang putih serta sedikit air. Pastu dituang ke dalam periuk. Letak gula. Kjee letak gula batu dan sedikit gula melaka. Dah mendidih, masukkan sedikit cuka. Oleh kerana Kjee gastrik, makan letak jus limau kasturi sikit. Rasa. Kalau nak masin, letak kicap cair Thai atau nampla.

        UnclePali tak gemor Talapia so tadi mokcik makan sorang2. Cegini 👍. Ada seekor lagi dalam freezer. Nanti boleh buat lagi. 😁


        Nama jer gempak tetapi hanya Ikan Talapia goreng sama bihun dan salad cicah sos cili. 😁






Sunday, October 2, 2022

SAMBAL IKAN CARA THAI


       Setiap kali singgah di restoran/gerai yang jual Tomyam, UnclePali pasti order sambal Ikan Kembung Pedas. Bukan yang tiga rasa. Dia hanya suka yang pedas.
       Kjee pernah dua tiga kali buat. Rasanya UP tak berapa berkenan. Dia diam sahaja bila makan. Kalau kena dengan citarasa dia, baru nampak dia happy.
       Hari itu Kjee cuba google resipi sambal ala Thai. Ohhh dia orang letak sos tiram dan sos tomato! Dulu Kjee letak sos cili. Itu yang UP kureng sikit sebab ada rasa manis sikit.

        Bahan-bahan mudah aje. Tumbuk cili merah, cili padi, bawang besar dan bawang putih. Tumbuk kasar-kasar. Tepikan.
       Goreng ikan sehingga garing. UP suka ikan kembung. Kalau Kjee, tentu ikan Talapia jadi pilihan.
       Tumis bahan tumbuk dan sebatang dua serai yang telah diketuk sehingga garing. Masukkan sos tomato dan sos tiram. Juga sedikit air. Masak sehingga hampir kering. Kemudian masukkan hirisan daun limau purut. Buang tangkai tengah2 daun itu sebelum dimayang.

    
       Rasa. Kalau tak cukup masin, letak sikit sos nampla/kicap cair. Kjee tak letak sebabsos tiram dah masin. Boleh guna apa jua ikan. Rasanya ayam pun ok jer. 
        Curah kuah atas ikan goreng. Senangnya! UP tunjuk dua ibu jari. Suka sangat tengok dia makan sambil bertambah nasi.


Saturday, March 26, 2022

TENGGIRI GORENG GARING


       Kami suami isteri kalau makan Sahur mesti selera lauk pauk yang kering. Yang berkuah memang tak laku langsung. 
       So apabila Kjee goreng Ikan Tenggiri letak bawang, cili padi dan daun kari tadi, UnclePali kata nanti masak untuk Sahur di bulan Puasa. Curah kicap kat nasi, perghhhh. Boleh bertambah-tambah nasi ni. 😬
       Lauk ini tak perlu resipi kan? Lumur ikan dengan serbuk kunyit dan garam. Perap seketika. Kemudian goreng garing-garing. Sementara tunggu ikan itu siap, potong bulat2 sebiji bawang besar, hiris tiga empat biji cili padi dan lurut dua tangkai daun kari. 
       Ikan dah siap, ditepikan. Kemudian masukkan bawang ke dalam minyak dan goreng hingga keperang-perangan. Masukkan terus cili padi dan daun kari. Dah elok garing semuanya, top up atas ikan goreng. 
      Guna ikan apa pun boleh. Sukatilah
Kita yang nak makan. 

      

Sunday, June 6, 2021

GULAI TEMPOYAK ORANG PAHANG


      Kalau masak Gulai Tempoyak, Kjee buat stail orang Pahang. Bukan kerana my asben orang Pahang (asal Kedah lahir di Pahang). Tetapi tiap kali dalam perjalanan pulang ke kampung UnclePali di Pahang, mesti singgah Temerloh makan Patin Tempoyak.
      Dan Kjee buat pemerhatian, cara orang Pahang lagi mudah. Tak cerewet bahan. Tak perlu bawang bagai. Cuma tempoyak, cili, daun kesom, asam keping dan bunga kantan kalau ada. Isyhhh mudah kan!

       Mujur ada tempoyak yang Kjee buat musim lalu. Simpan dalam fridge jer. Alhamdulillah masih okay. ☝️
       Sahabat Kjee orang Pahang kata tempoyak itu mesti ditumbuk. Agaknya supaya kuahnya halus dan tidak bergentel. 
        I have a solution to that. Kjee blend dua sudu besar tempoyak, kunyit hidup, cili kering (dah blend guna lebih kurang 2 sudu makan) dan cili padi. Tahap kepedasan ikut suka. Letak air cukup2 untuk kuah. Trrrrrr. Siap.
       Tuang semua bahan kisar ke dalam periuk. Jerang. Kjee letak dua batang serai. 
       Sebelum itu Kjee dah bersihkan dua ekor ikan kembung (Mabung). Petik2 daun kesom. Bunga kantan ditoreh hujungnya. 
       Apabila sudah mendidih, masukkan ikan, bunga kantan, daun kesom dan tiga keping asam gelugor. Rendidih sehingga ikan masak. Rasa. Letak sedikit garam dan secubit gula. Itu aje. 
       Ada orang letak bendi atau timun tua. Kjee tak ada stok dua-dua tu hari ini. 

       

Saturday, May 29, 2021

KENGSOM AKA ASAM REBUS

      Bagi Kjee, lauk ini hanya perlu diiringi ikan tenggiri jeruk goreng sahaja. Ia ada nanas dan kangkung selain ikan. Kalau masak pedas sikit, ngamlah makan dengan nasi putih.
      Walaupun namanya agak eksotik, sebenarnya ia hanya masak Asam Rebus. Ala2 singgang warna oren. Sangat sihat sebab tak guna minyak.
      Kjee suka sangat hirup kuahnya. Ada rasa pedas, masam dan manis dari nanas. Lauk orang Thai mesti ada tiga rasa tersebut.
     Biasanya kita dengar Kengsom guna ikan Siakap. Tetapi ikan lain bukan tersangatlah okay termasuk ikan Kembung yang debab2 sikit. 
      Janganlah terkejut tengok foto dengan cili merah yang ditumbuk kasar tu. Kerja orang lanang aka lelaki. Kjee suruh my husband tolong tumbuk. Tak perasan tak lumat. Dah siap amik foto baru perasan. Actually tumbuk cili tu lagi sedap daripada dikisar halus.
      Resipi penuh klik SINI.

Saturday, February 13, 2021

IKAN PARI ASAM PEDAS


     Ikan Pari antara ikan paling sedap buat lauk Asam Pedas. Isi banyak, tulang tak ada. Ehh adalah tapi tulangnya sedap jugak dikunyah. Kenyal-kenyal gitu. 
     Tetapi agaknya ada yang kurang gemar ikan ini mungkin terkena species ikan pari yang 'hancing'!
     Pelik tetapi sebenarnya memang ada ikan Pari yang berbau sedemikian walaupun sebelum masak sudah dicuci berbelas kali.
     Kerana itu tiap kali UP ke pasar untuk beli ikan Pari, jenuh Kjee nasihatkan dia supaya cium dulu ikan tu. Kalau tak bau hancing baru beli. Jangan ketawa. Ikan Pari agak mahal. Kalau terkena yang hancing, alamatnya jadi rezeki cik Tong.
     Sebelum mula memasak, Kjee keluarkan ikan tu dan kikis kulitnya guna belakang pisau. Kikis sampai lendir pada kulit tu hilang baru dipotong-potong. Kemudian direndam dalam air Asam Jawa lebih kurang 20 minit. Lepas itu baru dicuci dan ditoskan.
     After that dah boleh buat persiapan nak masak. Resipi KLIK SINI.

Thursday, December 24, 2020

PAN FRIED SALMON


     Yes I know, ramai tak tertelan ikan Salmon. Bau hanyir kuat. Tapi I like! Kalau ke restoran Jepun, mesti order Sashimi atau ikan Salmon mentah. 👍
    Kjee sebenarnya plan nak grill aje. Tapi apabila dah siap mashed potato dan rebus carrot dan Cauliflower, jadi malas lah pulak. Pan fried lebih mudah.

    

     So guna kuali non stick kenit dan pan fry atau guna minyak sikit sangat. Boleh guna butter tapi Kjee guna minyak Zaiton. Terbalikkan slowly slowly dan tunggu garing sikit. Siap. 
     Perah satu hiris lemon masa makan. Cili sos dan mayonaise, pelengkap. 

Wednesday, December 2, 2020

ASAM REBUS IKAN SIAKAP


     Kjee punyalah plan nak masak Kengsom Ikan Siakap hari ini kerana konfiden bahan-bahan semua ada. Termasuk Nanas. Kangkung petik aje kat laman.
     Seminggu dua kali UnclePali akan singgah beli Nanas di gerai Anuar kat Keramat AU5. Rasa-rasanya semalam Nanas tu ada lagi baki. Rupa2nya UP dah bedal petang semalam. 🤦‍♀️
     So tak jadi buat Kengsom, Kjee buat ler Asam Rebus. Sama aje cara masak dan bahan-bahannya. Cuma kalau buat Kengsom kena letak Nanas dan Kangkung.
     Asam Rebus ini lauk sihat. Adik beradik Singgang tetapi letak cili. Tak payah tumis. Lebur aje semua bahan blend. Api mesti slow. Pelan-pelan didih supaya hilang rasa pedar cili.
     Kjee guna seekor Ikan Siakap yang dipotong 3. Ikan apa pun boleh. Kemudian blend dua biji cili merah, tiga biji cili padi merah (yang pedas giler tu), dua ulas bawang merah, dua ulas bawang putih, seinci kunyit hidup, seinci halia dan seinci belacan. Selain itu Kjee juga letak 2 sudu makan cili kisar. Kalau takut pedas, tak perlu letak.
     Curah semua bahan2 kisar itu ke dalam periuk. Letaklah air, cukup2 untuk kuah. Masukkan 1 atau 2 serai ketuk dan 3 keping Asam Gelugor. Didihkan. Rasa. Kalau sudah hilang rasa pedar cili (dalam 15-20 minit), masukkan ikan dan juga daun Kesom. Letak sedikit garam dan gula, ikut rasa. 
     Apabila ikan sudah elok masak, padam api. Fuyoooo sedap hirup tau. 
     Kalau nak resipi Kengsom, KLIK SINI. 


Sunday, November 29, 2020

KARI KEPALA IKAN


     ALHAMDULILLAH syukur. Semalam Kjee dapat rezeki banyak ikan segar yang Insya Allah cukup untuk dua minggu. Sarat barat freezer. Antaranya Ikan Jenahak, Siakap, Cencaru. Terima kasih Cikgu Noor Farhana Musa. 
     Kalau Ikan Jenahak in da house, Kjee seringkali buat Kari. Itu yang dilakukan arwah Mak dulu. Memang sedap Ikan Jenahak masak kari. Memasak lauk ini cukup nostalgik. Teringat arwah Mak dan bapak. 
     Since Kjee tak berapa sihat, Kjee start masak awal tadi. Sebaik lepas breakfast. Masa itu masih ada tenaga walaupun tak banyak mana. 


     Kerana itu, Kjee hanya masak Kari Ikan+ekor Ikan Jenahak. Lauk lain UnclePali suruh keep it to the minimum. Dia petik pucuk betik belakang rumah. Kjee terus cuci dan rebus. Letak garam lebih sikit bagi hilang pahit. 
     UP masak nasi dan letak dalam rice cooker dua biji homemade telor asin. Itu cara kami merebus telor asin. Cuci telor asin bersih-bersih. Letak atas beras dalam rice cooker. Nasi siap masak, telor asin pun cantik kejadian.  Selain itu dia  juga goreng Papadom. 
     Sekarang Kjee lunch tersangat awal. Kul 12 tengah hari sudah mengadap hidangan. Perut Kjee terlalu sensitif sekarang. Lambat makan kena, serang gastrik. 
     Okay kalau nak tahu cara Kjee masak kari ini, KLIK SINI. 

     
      

Tuesday, November 24, 2020

PINDANG SERANI


LAUK ini macam legend dalam famili Kjee. Sejak kecik bonda selalu masak. Macam-macam ikan dia guna untuk masak. Antaranya, Tenggiri, Parang, Cencaru dan jugak Ikan Gelama.
     Arini Kjee masak guna Ikan Cencaru. Sambil masak, sebak sebab teringat arwah bonda. Kjee memang jarang-jarang masak lauk ini. Entah camner tetiba teringat bak buat. 
     Bahan-bahannya bawang merah, bawang  putih, sedikit halia, cili merah atau cili padi, asam Jawa dan serbuk kunyit. Ikan digoreng jangan terlalu garing.
     Ada dua cara masak lauk ini. Boleh ditumis bahan-bahan sehingga wangi, letak air asam jawa, serai dan serbuk kunyit. Didihkan. Dah mendidih, masukkan ikan yang digoreng tadi. Letak garam dan secubit gula.
     Cara satu lagi, masukkan semua bahan hiris, serai dan serbuk kunyit dalam air asam jawa dan didihkan. Masuk ikan goreng. Didihkan guna api perlahan. 
     Cara Kjee buat ini yang ori resipi arwah bonda. Tak letak halba atau sayur. 
     

Sunday, November 1, 2020

SIAKAP KUKUS


     Ingatkan hari ini Kjee kena makan Bubur Nasi kosong aje. Setelah diamati balik surat arahan Hospital, rupa2nya boleh makan Ikan Kukus atau Ayam tanpa kulit. Daging tak boleh. 
     Esok Kjee ada appointment di hospital untuk menjalani satu prosedur kesihatan. Perut mesti kosong pagi esok sebab akan dilakukan skop. Masukkan kamera dalam perut.
     Anyway, seronoknya Kjee apabila dapat tahu boleh makan steamed fish. UnclePali terus keluar dalam hujan lebat ke Pasar Tani Danau Kota. Cari Ikan Siakap, fav isteri dia untuk dikukus.

     So apabila UP balik dengan ikan Siakap yang dah siap dibuang sisik dan perut, Kjee buat persiapan untuk perap. Fresh sangat ikan tu.  Cuci bersih dan letak dalam bekas untuk dikukus dan apabila sudah masak terus dihidang dalam bekas sama. 
     Kjee sagat dua inci halia dan dua ulas bawang putih. Kemudian dilumur pada ikan termasuk dalam ruang perutnya, Kjee taburkan sikit lada hitam dan perap selama sejam dalam peti ais. Sekiranya suka, letak hirisan cendawan. Kjee guna cendawan Shitake. 

     Siapkan pengukus. Apabila air sudah mendidih, letak ikan. Titiskan sedikit kicap cair (Kjee guna Nampla) dan minyak bijan. Kukus selama 10 hingga 15 minit. Cucuk sedikit dihujung pisau. Apabila sudah masak, keluarkan.
     Taburkan hirisan daun bawang dan daun ketumbar. Siapkan cili padi hiris yang telah diletak kicap cair. 
     Kjee juga buat bubur nasi guna beras yang telah Kjee bekukan semalam. Masak tak sampai 20 minit dah halus. Klik SINI
     Harus dimakan Siakap Kukus itu sebaik masak.  Ini cara mudah Kjee masak Ikan kukus. 

Saturday, September 26, 2020

GULAI TEMPOYAK TEMENUNG



    Ini antara penyebab Kjee kena gastrik sejak dua tiga hari lepas. Sedapnya tetapi terlajak pedas. Alahai ubat kan ada. Berani makan berani lah tanggung kan! 😁
    Dah lama sangat tempoyak duk diam dalam peti ais. Tempoyak buat sendiri tau. Kjee tak yakin Tempoyak beli. Satu kerana curiga kebersihan mereka yang membuatnya. Dua kerana pernah beberapa kali terbeli Tempoyak yang dicampur pisang masak ranum. 
    Kjee masak gulai ini ikut resipi orang Pahang. Lina, kawan kita asal Raub, beritahu orang Pahang masak gulai Tempoyak tak letak bawang. Rosak rasa. Dan tempoyak mesti banyak supaya kuahnya pekat. Orite! 
    So Kjee selongkar freezer jumpa ikan Temenung aka ikan Kembung. Tapi UnclePali kata masa dia beli kat situ tulis ikan Mabung. Whatever lah. 


    
   Kjee pun mula dengan siap sedia semua bahan. Ikan disiang, bersihkan dan masuk sekejap dalam peti ais. Cili padi ditumbuk dengan kunyit hidup. Dah halus, masukkan lebih kurang 4 sudu makan tempoyak ke dalam lesung dan tumbuk sekali. Tak tahu kenapa tempoyak mesti ditumbuk sekali tetapi itulah cara keluarga dia buat kata Lina. 
    Masukkan semua bahan tumbuk ke dalam periuk. Letak juga air. Jangan banyak sangat. Tapi no problem kalau tercair, tambah tempoyak. Kacau hingga bahan sekata pastu guna api sederhana, didihkan. Kjee juga letak dua batang serai yang telah diketuk dan dua helai daun kunyit. 
    Kjee cuma letak gula dulu. Garam kena tunggu di akhir masa memasak sebab takut tempoyak itu terlebih masin. Masukkan juga sekeping dua asam gelugur. 
    Apabila gulai sudah mendidih, kacau perlahan dan masukkan ikan. Tunggu sekejap sebelum balik-balikkan ikan. Apabila ikan dah cukup masak, bolehlah rasa. Kalau tak cukup garam, bolehlah tambah. 
    Itu aje. Ada tanya sama ada Kjee letak santan. Tak perlu! Yang nampak pekat itu kuahnya semata-mata tempoyak. 
    Oh ya lupa nak cakap, masak gulai Tempoyak ni sedap kalau dibuat pedas sikit. Hehehe Kjee buat terlajak pedas kot sebab itulah kena gastrik. Tetapi masa tu, fuyooo sedapnya hirup kuahnya. 


Wednesday, November 15, 2017

ASAM REBUS SIHAT





           Ini pembuka selera kalau tekak rasa tak sedap. Badan rasa macam nak demam. Ia adik beradik Singgang tetapi letak cili. Masam kuahnya sikit lebih kurang macam Singgang. Kjee kata adik beradik sebab tak payah tumis. Main campak semua ke dalam periuk.

           Kjee buat lauk ini sebab tengok ada baki Sambal Belacan yang banyak dibuat UnclePali. Dia tumbuk banyak-banyak kemudian simpan dalam bekas kedap udara dalam peti ais. Apabila nak makan, tak payah tumbuk lagi.

           Dan isterinya pulak, tengok Sambal Belacan dah sedia ada, apa lagi. Terus terfikir nak buat Asam Rebus. Mengamuk UnclePali esoknya apabila tengok Sambal Belacan dia dah kena kidnap. Hehehe.

           Kalau tak ada baki sambal belacan, tumbuk aje cili merah (nak pedas tambah cili padi merah), bawang merah dan bawang putih serta belacan. Kuantinya sendiri adjust. Masukkan semua ke dalam periuk. Letak air cukup-cukup untuk kuah, masukkan juga empat keping asam gelugor, dua batang serai yang telah diketuk dan jangan lupa daun kesom. Kalau ada Bunga Kantan, masukkan sekali.

           Didihkan. Apabila sudah mendidih, perlahankan api. Masukkan ikan Mabung atau Ikan Kembung. Kemudian letak garam dan pak aji kalau guna. Rasa. Didih sekali lagi guna api perlahan. Last sekali 5 minit sebelum padam api, masukkan Bendi.

           Rasanya mestilah masam-masam sedikit. Macam rasa kuah tomyam. Hirup aje pun sedap. Ianya lauk sihat sebab tak payah tumis guna minyak.
         

Saturday, May 20, 2017

KARI IKAN MACKEREL JEPUN






         Dah lama Kjee tak masuk Hero Market, baik yang lama di Section 6 Wangsa Maju atau yang baru di Taman Melawati. Selalunya, Kjee bagi list samada kat UnclePali atau Nadia. Apa yang dalam list, mereka beli.

         Semalam, Kjee insist nak masuk Hero. Mulanya UnclePali tak benarkan tetapi apabila Kjee pujuk, akhirnya dia mengalah dan bawa Kjee masuk. Siap dia standby tongkat takut isteri dia rebah. Nak bawak kerusi roda, leceh lah pulak. Hehehe.

         Kjee teringin nak makan kari. Ikan yang jadi pilihan ialah Jenahak. Kjee tau UnclePali tak kenal ikan tu sebab itu Kjee nak masuk sendiri ke Hero Market. Kami ke Hero baru di Taman Melawati. Kat situ, pilihan tak sebanyak di Hero lama tetapi sana susah pulak parking.

         Memang ikan Jenahak yang diingini, tidak ada. Kjee pun angkat dua ekor ikan Bawal Hitam. Itu fav Nadia kalau masak kari. Kemudian ternampak Ikan macam rupa ikan Tongkol tetapi bukan. Kjee pergi dekat-dekat dan nampak tertera Mackerel. Ohhh inilah Mackerel yang selalu Kjee tengok chef kat AFC guna bila masak! Kjee terus rembat tiga ekor. Tersangatlah murah. Rasanya RM8.99 sekilo. Ikan import dari Jepun.

         Kawan-kawan kat FB kata ikan ini sedap dibakar. Ada kata buat kari pun sedap. So Kjee terai ajelah. Murah jer so no problem. Kalau tak sedap boleh bagi anak-anak bulus makan.

         Setelah dipotong-potong dan dicuci dalam air asam Jawa, Kjee pun masak kari. Half way through memasak, Kjee baru perasan isi ikan ini agak pejal! Tapi taklah sepejal ikan Tongkol. Tapi kalau masak lama mana pun, rasanya isinya tak pecah berderai.


  1.          Ada kata dia pernah bakar ikan itu dan baunya sangat hanyir. Kjee rasa semua ikan bukan dari perairan sebelah sini kuat hanyirnya termasuk Salmon. Ada yang boleh uwekkk dengan bau Salmon yang telah dimasak. Justeru kita kena pandai-pandailah cuba kurangkn sikit bau itu. Tetapi heran pulak apbila macam Sushi atau Sashimi, Salmon yang dihidang mentah tidak pulak hanyir!


         Kjee tidak ada masalah semalam. UnclePali yang paling sensitif dengan bau hanyir ikan pun tak komplen.

         Tapi lain kali kalau beli Mackerel ini, Kjee akan cuba bakar pula. Cicah dengan air asam atau budu pasti sedap. Lemak rasanya dan banyak isi.

         Kakak angkat Kjee, Kak Hawa yang sudah berpuluh tahun tinggal di Australia beritahu,  ini Ikan Mackerel Jepun. Ikan Mackerel Spanyol (Spanish Mackerel) lagi besar. Indian Mackerel pula seperti Ikan Kembung atau Temenung.

         Kalau buat kuah Laksa Johor sedap ini. Banyak isi dan lemak.

         Anyway Kjee gandingkan Lauk Kari semalam dengan Kerabu Mangga (resipi  SINI), sambal belacan, jeruk petai (lihat SINI) dan jugak bendi celur. Untuk resipi kari ikan, klik SINI.




Japanese mackerel


     

Friday, March 10, 2017

KARI IKAN JENAHAK... MALU NAK KATA SEDAP. HEHEHE







       Walaupun Kjee sebenarnya tak sihat untuk ke dapur setiap hari, tetapi kerana memikirkan perihal suami dan anak, Kjee paksa juga gagahkan diri. Kjee tahu mudah sangat bagi UnclePali beli nasi campur dan semua yang sewaktu. Tetapi, jauh di sudut hatinya pasti mahu makanan disediakan isteri. Itu anggapan Kjee walaupun Kjee tahu UnclePali bukan seorang suami yang cerewet. Boleh hidup dengan nasi putih dan telor dadar sahaja.

       Justeru, semalam Kjee ke dapur apatah lagi beberapa hari lepas, Kjee ternampak seekor ikan Siakap dalam freezer. Mulanya fikirkan nak goreng sahaja. Ikan Siakap sebenarnya enak jugak kalau dikukus tetapi UnclePali kureng sikit bab itu.

       Kjee whatsapp UnclePali beritahu dia nak buat Kari Ikan Siakap. Tetapi bersyarat. Kjee tak pasti samada ada rempah kari ikan dalam pantri. Yang ada selalunya rempah kaki daging. Kjee gemar jenama Babas. Alhamdullilah, ada satu peket. Rezeki UnclePali. Or is it my rezeki sebab Kjee yang teringin sangat nak makan kari ikan air tangan sendiri.

       Maka terjadilah Kari Ikan Jehanak walaupun pasti ada kata nampak macam tak cukup bahan. Tak ada tomato, bagai. Tetapi inilah cara Kjee selalu buat Kari Ikan. I believe, Less Is More. Banyak 'sampah sarap' contohnya beras goreng... hehehe tak sedap mana pun. Tak penting buat selera kami.

       Kemudian Kjee goreng ikan kering jeruk Gelama. UnclePali buat sambal belacan dan petik pucuk daun Belalai Gajah yang ditanam di lama. Timun Jepun pun ada. So very the sedap.

       Okay nak resipi, klik SINI.

       Sedap ker? Isyhhh malulah nak kata sedap. Terai lah buat. Hehehe






Pembuka selera

Friday, February 24, 2017

SAMBAL TENGGIRI PETAI








      Apabila musim petai kembali melanda, setiap hari ada sahaja orang tayang resipi menggunakan petai di Facebook. Asyik terliur ajer, mana boleh kan? Kalau nak makan kat kedai, petainya, alahai punyalah ciput.

      Mujur apabila sebut pasal petai, UnclePali selalunya no problem sebab dia memang hantu petai. Jadi, tersangatlah mudah nak pujuk dia pergi cari. Tak payah guna ayat power. Hehehe.

      Tadi dia pergi ke Pasar Keramat. Kjee dah pesan supaya cari petai yang mata besar-besar. Dan mujurlah dapat. Tiga papan RM5. Bolehlah tu. Sebelum pergi dia tanya kalau tak ada petai kat pasar, yang dah kopek bolehlah tak? No no no! Itu petai Siam. Tak sedap kata Kjee.

      Pagi tadi UnclePali selongkar freezer dan jumpa Ikan Tenggiri. Ikan Kembung pun ada tapi Kjee lebih suka buat sambal guna Ikan Tenggiri. Mahal Ikan Tenggiri sekarang. Dekat RM40 sekilo. Mujur dah ada stok tak payah beli.

      Kami gotong royong masak tadi maklumlah Kjee bukannya sihat. Dan tinggal tak sampai sejam UnclePali nak mandi dan pergi mesjid.

      Tanpa disuruh, first thing dia capai dulu rice cooker dan masak nasi. Kjee dah cuci ikan dan letak garam kunyit. Kemudian panaskan minyak dalam kuali. Lepas masak nasi, UnclePali terus goreng ikan. Tak banyak. Lima keping sahaja. Cukuplah untuk dinner sekali.

      Kjee ambil petai dan buang kulit. Kemudian selepas goreng ikan, UnclePali goreng petai tu separuh masak. Petai digoreng seperti itu untuk hilangkan rasa mentahnya.

      Kemudian Kjee keluarkan stok sambal tumis dari dalam peti ais. Stok sambal memang sentiasa ada. Apabila kelapangan, Kjee akan buat banyak-banyak dan simpan. Senang kalau nak buat mi goreng, Penang Fried Kway Teow dan yang sewaktu. Sambal Tumis Kjee tak letak belacan.

      Kjee potong bulat-bulat satu labu bawang besar, tumis dalam sedikit minyak. Apabila sudah layu, Kjee masukkanlah ke dalam kuali sambal mengikut keperluan. Apabila sambal sudah panas, masukkan petai, golek-golek seketika dan masukkan ikan goreng.

      Itu jer. Mudah kan!

      So korang yang kerja opis dan selalu kata balik rumah tak sempat nak masak, boleh sediakan sambal tumis macam Kjee. Setelah sambal dipanaskan bolehlah letak udang ke, ayam goreng ke atau sotong. Ala-ala sambal instant gitu. Hehehe

       Selamat Mencuba.

   

Wednesday, June 8, 2016

ALAHAI BULAN PUASA MAKAN SAMBAL IJO IKAN DENGAN PETAI?







Hari ni Kjee buat Sambal Ijo (Hijau) untuk dijadikan stok bulan Puasa. Sepatutnya buat sebelum puasa aritu tapi bila tak sihat, maka tertangguh-tangguh. Kjee gemar buat sambal ijo ni banyak-banyak sebab ia versatile atau serba guna.

Boleh dimakan dengan nasi begitu sahaja,. Kjee simpan dalam bekas kecik-kecik untuk sekali makan. Kemudian dipanaskan dalam kuali dan diletak ikan goreng bersama petai, atau dipecahkan telor dan letak ikan bilis goreng garing.

Kalau nak letak sayur, selalunya Kjee guna Terung Kontot yang Kjee dah bakar atau goreng. Susun dalam pinggan dan curahkan sambal ijo di atas. Bendi pun boleh dibuat sama. Hiris kasar-kasar bendi tu dan goreng. Kemudian susun atas pinggan dan curahkan sambal ijo ini.

Hari ini Kjee buat extra pedas. Kjee tambah cili padi hijau. Bukan cili padi kampung tapi yang dia orang kata dari Siam. Kjee buat banyak hari ni sebab nak bagi my jiran se kampung. Kjee guna 1½ kilo Cili Hijau, ½ kilo cili padi dan 1½ bawang besar. Jadilah satu kuali besar. Esok baru nak bagi my jiran sebab masa buka nanti baru nak rasa samada cukup garam serta asam keping.

Foto ini semua yang lama. Kjee hanya baru siapkan sambal ijo. Tapi dalam peti ais ada Ikan Siakap. Yayyyy boleh buat Ikan Siakap Goreng letak petai dan Sambal Ijo. Hehehe.

Resipi Sambal Ijo, korang INTAI SINI.










Monday, May 30, 2016

OTAK-OTAK NYONYA PILIHANKU









Made these, Saturday. Teringin sangat nak makan. Jarang ada orang jual melainkan pergi ke restoran yang hidangkan masakan Nyonya. Apapun, buat sikit jer sebab dah lewat pergi Hero Market. Nak beli isi ikan Tenggiri tapi yang ada hanya tinggal dua keping ikan Merah.

Nadia tolong petik Daun Kaduk kat tepi jalan berhampiran rumah kami. Bahan-bahan lain seperti serai, lengkuas dan buah keras dah ada. So sampai sahaja rumah, terus projek. Kat belakang rumah, pokok pisang baru sahaja naik balik selepas ditebas UnclePali sebulan lalu. Jadi daunnya lembut tak payah nak layur.

Otak-Otak Nyonya ni adalah makanan Nyonya Peranakan Pulau Pinang dan Melaka. Nak resipi, INTAI sini.