Showing posts with label Snek. Show all posts
Showing posts with label Snek. Show all posts

Saturday, February 25, 2023

SAMOSA INTI KENTANG


        Kejadian pagi tadi. Kekok betul membentuknya sebab dah lama tak buat. Benda macam ini kena banyak kali practise. Tetapi pelik jugak masa Kjee buat dulu, elok pulak kejadiannya. Mungkin faktor usia. 😅
        Kjee pernah amik order kengkawan dulu. Dan juga buat yang frozen. Jadi, pagi tadi macam konfiden aje. Tetapi hasilnya Kjee hampir2 give up. Pandai UnclePali pujuk kata dah cantik lah tu.
        Kjee buat inti kentang ala2 Potato Masala. Tetapi dimasak sampai kering. Kjee guna dua biji kentang yang agak besar, dibuang kulit, didadu supaya cepat masak dan rebus sehingga lembut.     Kemudian Kjee lenyek guna potato masher. Kalau tiada, guna garfu pun ok.


 Kjee hiris satu labu bawang besar dan 3 ulas bawang putih. Tumis guna sedikit minyak sehingga layu. Letak setengah sudu makan serbuk kunyit. Selepas itu, masukkan kentang lenyek bersama setengah cawan air. Masak sehingga hampir kering. Kjee juga letak satu kiub ayam dan taburkan cili flakes. Dah kering, padamkan api dan sejukkan. 

        Kjee ada tunjuk cara melipat dan mengisi inti kentang dalam satu entri dulu. Klik SINI. 


        Kemudian digoreng guna api sederhana besar. Itu aje. Harap2 panduan melipat Samosa dalam entri sebelum dapat menghasilkan kejadian yang molek. Selamat Mencuba. 








        

Sunday, January 29, 2023

POTATO CHEESE FINGERS


        Ketika Kjee singgah kat page SEMBANGRESIPI kelmarin, tetiba ternampak posting Jejari Kentang Keju. Wah lama betul tak buat. 
        Kemudian scroll lag. Banyak rupa2nya makanan yang Kjee post kat situ. Tapi malangnya dah lama Kjee tak update. Begitulah kalau mood merundum. Blog ini pun apabila rajin baru update. 😱
        Kalau rajin, korang intailah page Sembangresipi. Walaupun tak ada posting baru tetapi seronok juga tengok foto makanan kat situ. 
 
        Okay berbalik kepada story Potato Cheese Fingers atau Cheese Sticks yang Kjee buat untuk sarapan pagi ini. Kelakar apabila UP masuk dapur dan intai apa yang Kjee tengah goreng.  "Wah Churros ke?" Isyhh mana sempat nak buat Churros pepagi. 
        Senang aje buat Potato Cheese Fingers ni. Kentang dibuang kulit, dipotong kecik dan rebus. Cepat masak kalau potong kecik2. 
        Resipi penuh korang klik SINI. 
        Resipi ini hanya guna kentang, keju Cheddar dan tepung Jagung. Kjee berhajat nak letak tepung beras. Tak adalah pulak. Letak sikit tepung beras, garing sikit. 



        Kali ini Kjee guna 4 biji kentang yang sederhana. Letak 4 slice cheddar cheese. Jadi banyak lah pulak. Kenyang kami makan berdua. Cicah dengan sos cili dan Mayonaise, sedap gua cakap! 
        

        Lepas 20 minit mengadap, tinggal 3 ketoi aje. Mujur UP tolong habiskan. 😆





        

Saturday, January 28, 2023

MINI CORNBEEF MURTABAKS


        Kali pertama Kjee menikmati Murtabak CornBeef di Kuching, Sarawak kira-kira 35 tahun lalu. Masa tu Kjee on assignment kat sana. Adik2 angkat Kjee bawa Kjee makan kat satu gerai. Opkos lah kena dengan tekak Kjee yang gemar sangat cornbeef.
        Balik KL, Kjee sanggup beli doh basah roti canai kat rest Mamak. Cuba buat sendiri. Nampak sama tapi tak serupa. Kat sana Murtabak CornBeef dia cegini 👍.
       Tadi Kjee buat ler untuk Sarapan. Buat empat keping aje sebab first time buat guna kulit popia. Hasilnya, menyesal buat sikit. 🤭
        Tak susah mana pun nak buat. Cincang sebiji bawang besar dan pecahkan sebiji telor. Pukul. CornBeef yang baru keluar dari fridge, dihiris-hiris dan campur dengan telor dan bawang tadi. Jadilah macam foto bawah ni. Kjee letak cili flakes sikit. Garam jangan letak sebab cornbeef agak masin.


       Kemudian keluarkan kulit popia. Kjee guna jenama Kawan yang saiz M. Saiz ini sesuai untuk buat mini murtabak. 
        Letak sehelai atas piring. Dan letaklah satu sudu besar atau lebih cornbeef tadi.  Kemudian lipat.  Buat sampai habis. 




        Panaskan kuali leper. Kjee letak sedikit marjerin dan minyak. Hati2 angkat murtabak. Api jangan besar. Letak dulu side yang dilipat. Kemudian setelah garing, terbalikkan. 


        Siap! Hidang bersama sos cili atau mayo. Tapi tadi terlupa nak keluarkan sos cili dan mayo sebab terja sangat nak makan. 





        



       


Sunday, January 22, 2023

EGG MAYO SANDWICH


        Sandwich telor tadi untuk breakfast. Ala ala malas gitu. Nampak ada 3 biji telor rebus dalam fridge. Pucuk dicita ulam mendatang. Memang dah lama teringin nak makan Egg Mayo Sandwich. Terus buang kulit. 
        First time makan sandwich seperti ini kalau bermalam di hotel. Pagi ada breakfast free kat cafe hotel. Egg Mayo sandwich antara makanan yang disediakan for hotel guests. 
        Kjee guna garfu untuk lenyek telor rebus. Ada orang guna box grater. Apa2 ajelah asal hancur telor tu. Lepas itu letak Mayonaise dan juga lada hitam. Kjee guna Ajishio Black pepper. Kalau tak ada, letak lada hitam kisar dan sedikit garam. 




        Kacau sampai rata macam ☝️. Kemudian sapu atas roti. Nak letak butter di sekeping roti kosong pun boleh. Tekap dan potong. 

       Maka jadilah sandwich Egg Mayonaise. Suruh anak2 buat masa cuti ni. 

       

Tuesday, March 16, 2021

GARLIC POTATOES WITH CHEESE DIP


     Garlic Potatoes bukan sahaja sesuai untuk bekfes tapi bila-bila masa aje lah. Punya lah sedap, Kjee boleh makan tiga kali sehari. 😁
     Kjee pernah buat bersama Lamb Chops. Perghhh teringat nak buat lagi tapi tak berani, sebab my country everyday so hot! So, lamb lamb, go away. 😂
     UnclePali beli 4 biji Russet Potato kat Hero Market dua hari lepas. Nak buat Garlic Potatoes semalam, tertangguh. Pagi ini lepas Subuh macam tak berapa rajin.
     Tetapi apabila ke dapur sediakan bekfes my babies, ternampak Russet Potatoes. Hmmmm rajinlah juga diri. Then terpandang Cheese Powder kat dalam peti ais. Yezzzaaa buat Cheese Dip!

      Kembanglah balik bodi yang baru nak kecut. 🤭
     Resipi untuk Garlic Potatoes, korang klik SINI ya. Tapi kali ini Kjee sagat bawang putih dan gaul sekali dalam adunan tepung sebelum digoreng. 
     Cheese Powder tu Kjee beli kat kedai jual bahan-bahan bakeri. Kat Shopee pun ada. Cuma curah air suam aje dalam mangkuk bersama satu dua sudu serbuk tu. Letak air sedikit demi sedikit sambil kacau.
      Pastu curah atas Garlic Potatoes yang siap goreng. Atau buat celup or dip. Sedap gua cakap lu.
     Kalau tak ada Russet Potatoes, kentang apapun boleh lah. Ala kita yang buat dia. 

Friday, February 26, 2021

CHINESE SCALLION PANCAKES

   
     Scallion pancakes ini cukup popular di kalangan Chinese food bloggers. Justeru Kjee pun excited nak cuba setelah intai beberapa resipi. Ia ala-ala roti canai. 
     Kejadiannya lebih sihat daripada Roti Canai sebab tidak menggunakan minyak semasa proses pembikinan. Goreng nanti guna sedikit sahaja minyak. Roti canai kita, mula dengan minyak, berakhir dengan minyak! Patutlah doktor selalu marah kalau tahu Kjee bekfes roti canai! 
     Mula-mula dulu Kjee fikirkan ia lempeng yang diletak hirisan daun bawang. Rupa2nya cara membuatnya macam roti canai.

      Kjee cuba resipi yang hanya guna satu cawan setengah tepung gandum . Air panas mendidih setengah cawan. Kalau perlu ditambah sedikit lagi.
     Tepung dicampur dengan satu kiub ayam. Ini optional. Boleh ditiadakan. Mungkin boleh diganti dengan sedikit garam sahaja. Ramas2 kiub itu sampai bercampur. Kemudian masukkan hirisan daun bawang. Gaul rata. Banyak mana, ikut suka. 



     Buat lubang di tengah-tengah tepung dan curahkan air panas. Gaul guna garfu. Kalau rasa kering sangat, tambah satu dua sudu lagi air panas. Apabila sudah sejuk sikit, uli lebih kurang 10 minit sampai jadi doh yang licin. Kemudian direhatkan 10 minit.
     Oleh kerana Kjee nak buat pancakes yang comel-comel, Kjee bahagi dua doh itu. Satu Kjee gelek sampai nipis kemudian gulung. Dari gulungan itu, Kjee potong tiga ketul. 


      Kemudian ambil satu, ditekan dan gelek sehingga jadi bulat. Boleh letak sedikit tepung kepada kayu pengelek dan pada papan pencanai. Buat sampai habis.
      Kemudian digoreng guna minyak atau marjerin. Balik-balikkan sehingga cantik garingnya. 
     Kjee hidangkan dengan lauk Kentang Masala. Resipi asal dimakan begitu sahaja. Sebab itu mereka letak kiub ayam kot. 


   
     

Wednesday, January 27, 2021

CUCUR BILIS BULAT


     Dah lama tak buat. Malam tadi sebelum tidur dah plan nak suruh UP beli Laksam kat foodcourt AU5. Sedap sangat. But bangun Subuh tadi, anak-anak bulus buat hal. UP kena uruskan
So kerana tak nak nyusahkan dia beli food, Kjee decide buat cucur ni.
     Masa kita semua kena kurung ekoran PKP, cucur ni boleh disediakan untuk breakfast atau minum petang. Atau bila-bila aje anak-anak lapar. Mudah dan sedap. 
    Tadi Kjee buat dua cawan tepung, sebiji bawang dihiris, ikan bilis ditumbuk-tumbuk dan dua cawan air panas. Kjee tak letak garam sebab bilis dah masin.
     Campur tepung dengan bawang dan bilis dalam mangkuk. Gaul rata. Air harus mendidih. Tuang ke dalam mangkuk sedikit demi sedikit dan kacau guna garfu. Jadikan doh. Apabila dah suam sikit, bentuk2 jadi bebola dan goreng guna api sederhana sampai cantik keperang-perangan. Angkat. Tos atas tisu dapur. Hidang dengan sos cili.
      Ia garing di luar dan lembut didalam. Boleh pelbagai letak udang atau jagung. 

Monday, January 25, 2021

GARLIC POTATOES


     I love anything that's potatoes. Maklumlah Kjee kureng sikit bab nasi. So Kjee seringkali cari resipi yang babitkan kentang sebagai ganti karbo. 
     Then minggu lepas Kjee ternampak resipi Garlic Potatoes. Menarik. Cuma Kjee nak adjust sana sini. Kjee letak bawang putih hiris goreng garing! Tabur atas kentang apabila tiba masa nak hidang.
     Oleh kerana resipi seperti ini perlukan Russet Potatoes, maka itu yang Kjee guna. Ia lebih empuk dan gebu.





     Kjee ikut resipi dengan menggunakan dua biji kentang Russet. Buang kulit kulit dan potong wedges. Rendam 30 minit. Kemudian rebus selama 5-7 minit. Separuh masak lah tu. 
     Sementara tunggu kentang tu direbus, siapkan adunan tepung. Untuk 2 biji kentang, Kjee guna lebih kurang setengah cawan tepung gandum. Letak garam secukup rasa, satu sudu kecil serbuk kunyit, satu sudu besar cili flakes dan pak aji, kalau guna. Kemudian dicampur air sedikit demi sedikit. Lupa nak sukat air tadi tetapi rasanya dalam setengah cawan. Kacau sehingga rata. 


     Apabila kentang sudah cukup masa masaknya, keluarkan dan sejukkan seketika. Kemudian dicampurkan kentang ke dalam adunan tepung. Kjee telah letak sedikit hirisan daun bawang ke dalam adunan tepung tadi. 
     Panaskan minyak dalam kuali dan masukkan kentang satu persatu. Goreng sehingga warna keperang-perangan. Toskan sebaik dikeluarkan dari kuali. 


     Guna minyak sama untuk goreng bawang putih. Goreng sehingga garing dan ranggup. Toskan seketika. Kemudian dicampur kepada kentang goreng tadi. Gaul rata dan taburkan hirisan daun bawang. Sedap sangat dimakan panas2. 
     Kjee hidangkan bersama Grilled Lamb Chops untuk lunch tadi. Actually sedap makan untuk sarapan atau minum petang. First time makan kentang goreng seperti ini. Ala2 kentang celup tepung gitu. 😁



     

Friday, January 22, 2021

SENGKUANG CALIT


      Tiga hari lepas masa ikut UP keluar, Kjee ternampak ada gerai baru sepelaung jer dari rumah. Kat poster tertera 'Best Sengkuang Calit in KL'. Oleh kerana kereta kami dah terlajak agak jauh, masa balik Kjee suruh UP singgah. Nak support anak muda niaga. 
      Sampai depan gerai tu, Kjee turunkan cermin tingkap kereta. Camner jual? "Tiga ringgit sekeping acik". Kjee pandang UP. Kita terai satu jer lah. Dalam hati, mahalnya! Tetapi sampai rumah, sekejap aje licin. Mujur sedap. 
      Then Kjee terfikir nak buat sos sendiri. Kjee ada resipi Tahu Bakar yang sangat awesome masa niaga dulu. KLIK SINI. 
Bahan2 semua ada di rumah kecuali Sengkuang. Boleh guna sos tu untuk calit atas Sengkuang. 

       Tetapi apabila Kjee sembang-sembang dengan UP, dia kata : "Alahai buat apa nyusahkan badan. Beli aje kuah rojak Mak Bee." Fuyooo UP ni sejak dua menjak ni terer fikir. 
      So tolak tepi plan nak sos sendiri. Maaf frens yang nak tumpang suruh buatkan. Insya Allah nanti kalau buat, boleh pass kat korang. 

      So tadi, Kjee keluarkan dua biji Sengkuang yang UP beli. Tak besar sangat. Besar penumbuk orang Jantan. 😁
Tetapi dua biji rm2. Tadi Kjee potong2 sebiji pun kenyang kami makan berdua. 
      Kacang tanah Kjee sangai atau goreng tanpa minyak. Dah elok masak, dibuang kulit kemudian tumbuk. Jangan halus sangat. 
      Calitkan kuah rojak Mak Bee atas sengkuang yang telah dibuang kulit dan hiris. Tabur kacang. Hmmmm sedap gua cakap lu. 😋🤭




Friday, November 20, 2020

JEJARI KENTANG KEJU


SEJAK bemula PKP Mac lepas, dah banyak rasanya Kjee terai resipi yang dikongsi warga FB. Ada yang Kjee hanya tatap sambil terliur.
     Tetapi paling top dalam list percubaan Kjee, adalah membuat roti. Dulu selalu buat guna breadmaker. Sejak BM demam, Kjee pun tak berani cuba kaedah manual.
     Beberapa hari lalu, Kjee ada terserempak beberapa resipi yang bakal dicuba kelak. Dan pagi ini untk Sarapan, Kjee buat Cheese Sticks yang Kjee rebranding Jejari Kentang Keju.
     Thnx Johor Foodie, kongsi video. Tetapi Kjee buat stail Kjee. Alhamdulillah menjadi. Sedap sangat. My husband makan tak henti-henti. Mujur buat sikit. Otherwise there goes our diet. 🤭

     Kjee mula dengan mendadu dua biji kentang. Dadu kecik-kecik supaya cepat proses merebusnya. Letak sedikit garam masa rebus.
     Kjee guna tiga slice cheddar cheese. Carik-carik dan letak dalam besen atau mangkuk besar. Setelah kentang empuk, Kjee tos dan letak semuanya dalam tapisan besi dan lenyek atas cheese tersebut. Mesti dilakukan panas-panas supaya cheese cair. 

     Gaul sampai cheese dan kentang sebati. Kemudian letaklah tepung jagung sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang lembut. Agak-agak ler tetapi Kjee guna dalam tiga suku cawan. Simpan dalam peti ais lebih kurang 20 minit.
     Kemudian ambil sebesar bola ping pong dan digelek dengan jari jemari sehingga jadi sepanjang jari hantu. Letak atas dulang atau pinggan yang telah ditabur tepung untuk elak ianya melekat.

     Panaskan minyak, kemudian perlahankan api dan masukkan jejari kentang tadi ke dalam minyak. Kjee hanya goreng 6-7 keping sekali. Balik-balikkan perlahan-lahan hingga cantik brown. Toskan. Buat sampai habis.
     Makan dengan sos cili atau begitu sahaja. Mungkin kalau doh itu dicampur juga dengan sedikit tepung beras, hasilnya akan menjadi lebih ranggup atau garing. Tapi UnclePali kata dah okaylah tu.
     Cubalah buat dengan anak-anak yang kini stay at home dan ibu-ibu work from home.


Buat kali kedua. Kjee campur tepung beras dan sedikit tepung jagung. Lebih sedap dan ranggup.