Showing posts with label spaghetti /pasta. Show all posts
Showing posts with label spaghetti /pasta. Show all posts

Monday, July 10, 2023

spaghetti /pasta

LAKSA JOHOR LAGI


         Kjee last buat Laksa Johor 10 bulan lalu. Patutlah teringin banget. So walaupun tak berapa nak larat, terpaksa buat sebab tekak ni hanya boleh terima LJ airtangan sendiri.
         So lepas Subuh semalam. Kjee turun ke dapur. Bahan2 yang diperlukan dah dibeli hari sebelumnya. Dah sekerat jalan, UP masuk dapur tolong Kjee. 
         Tak berat mana pun. Tiga jam siaplah. Tetapi seperti biasa, kalau dah penat, memang tertutup selera untuk makan. Tadi baru Kjee lunch Laksa Johor. Dah simpan kuahnya overnite, memanglah lebih sedap. 
         Laksa Johor airtangan Kjee ni tak lah ori sangat. Tetapi ramai pulak onJoho yang makan, kata sedap. (Malah mereka tak tahu bahan2nya tak cukup korum.) Hehehe. Malah masih ramai yang cuba order hingga ke hari ini. Maaf Kjee dah tak buat dah untuk jualan. 
         Kalau nak tahu cara Kjee buat, klik SINI. 

Friday, January 27, 2023

spaghetti /pasta

SOS BOLOGNESE BEEFBALL

        Ini satu lagi menu yang Kjee suka tokok tambah bahan untuk menepati selera Kjee. Tak kesahlah, asal sedap kan!
        Kjee dah banyak kali buat sos ala Bolognese ini menggunakan sup tomato yang dalam tin. Tak kesahlah apa jenama pun. Kali pertama dulu terai, sedap pulak. So tiap kali buat sos ini, pasti guna sup tomato.
       Biasanya kalau letak beefball, Kjee beli yang ready made. Tetapi masa intai2 kat freezer pagi, ternampak satu peket daging burger Ramly. Hmmm tiada rotan akar pun jadilah. Maka beefballs terjadi dari burger daging Ramly. 

        Cara Kjee buat, keluarkan kepingan burger itu dan biarkan ia lembut di suhu bilik. Kemudian dikepal-kepal menjadi bebola. Mesti kepal padat2 supaya tidak pecah. Goreng manja2. Masukkan ke dalam sos Bolognese lebih kurang 20 minit. Kacau perlahan-lahan. 
        Resipi penuh sos Bolognese, klik SINI. 
        Kekadang Kjee letak Baked Beans ke dalam sos ini sebab suami kita suka. Kjee bekukan sos ini. Panaskan dan cicah dengan roti biasa atau garlic bread. UnclePali kurang gemar makan Spaghetti Bolognese. Jadi dia pelbagaikan ikut tekak dia. 
        Tapi tadi dia makan senyap aje. Habis sepinggan dia kata "Sedap buat sendiri. Kuah pekat. Kat kedai kedekut kuah dan beefballs! Pastu boleh makan ulang2. " 😬
        Kalau makan Spaghetti Bolognese, Kjee suka tabur banyak2 Parmesan Cheese. Oh ya jangan lupa Chilly Flakes. Tekak Melayu. 🤭
        Ini sos versi Kjee tau. Airtangan orang Jawa.


Tuesday, January 17, 2023

spaghetti /pasta

SPAG FRESH MUSHROOM SOUP


        Setiap hari Kjee tak pernah miss tengok rancangan masak omputih di TV. Saja nak cari idea. Kjee paling suka kalau chef sana masak spageti atau pasta. Cukup kreatif. Macam2 cara spag/pasta dihidangkan. 
       Kjee ada lah ceduk sana sini. Kemudian masak ikut selera kita. Selera Malaysia. Salah satu yang Kjee pernah buat ialah Spageti Seafood Sambal Ijo. Alamak tak lah selera Malaysia sangat sebab ia dicipta seorang chef dari Indonesia. 


        Spag Sambal Ijo ☝️ yang Kjee buat dulu, tersangatlah sedap. Memang selera orang kita lah. Apatah lagi kalau sambal ijo yang kita hasilkan tu pedas. Perghhhh. Klik SINI
        Beberapa hari lalu Kjee teringin nak makan Spaghetti Carbonara. Tiap kali singgah restoran yang menghidangkan makan ala Itali, Kjee mesti order. Kjee gemar sangat makan Spageti berkuah. 
       Tetapi kerana Kjee dah banyak hari tak sihat dan kerana cuaca panas, pendam keinginan itu. UP cadang fusionkan aje. Dia kata ada Fresh Mushroom Soup dalam freezer. Boleh kot dicurah atas spag. Fulamak orang ngantuk disorong bantal.  Aritu terus buat.
        Tetapi tak boleh lah bagi nama Spag Carbonara sebab Kjee guna Mushroom soup. Tetapi jadi lah kan daripada tiada! Bahan asas Carbonara hanya campuran white sauce dengan kuning telor. Tetapi letak Mushroom Soup lagi sedap. 👇


        Tadi Kjee buat lagi. Kali ini makan sorang2 sebab Pasta ni, UP gitu2 jer. Tapi masa buat tiga hari lepas, banyak betul dia makan. Ikut mood lah tu. 
        Resipi Fresh Mushroom Soup, korang klik SINI.  Kjee memang sentiasa ada stok simpan dalam freezer untuk hari2 malas. Cicah dengan Garlic Bread atau hirup begitu saja, hmmm nyaman. 
        Pagi tadi Kjee buat satu periuk besar. UP suka sangat sebab dia rajin buat garlic bread. Resipi klik SINI. 


        Untuk mushroom soup tadi, Kjee guna Oyster Mushrooms (cendawan tiram) dan Enoki Mushrooms. Ini cendawan Jepun. Murah kalau in season. 


      Itu aje lah nak story. Cubalah kalau teringin. 





    

Tuesday, August 30, 2022

spaghetti /pasta

SPICY GARLIC PRAWNS SPAGHETTI


       Kjee jarang-jarang buat Spageti ala2 Aglio Olio sebab tak konfiden. Dunno why. Walhal senang sangat. So apabila nampak resipi ini yang dikongsi Chef Marion Grasby of Marion's Kitchen, Kjee pun cubalah tadi.
       Senang aje resipinya cuma Marion letak Spring Onion Pesto atau Pesto Daun Bawang. Kjee pernah buat Pesto ini dulu. Ntah sapa yg ajar, lupa pulak. Oh ya masa itu, dia kata kalau ada banyak daun bawang dan takut rosak, buatlah pesto. Simpan dlm peti ais. Boleh letak dalam spageti.

       Cara buat pesto ni, hiris daun bawang. Kemudian sagat bawang putih dan campur. Pastu panaskan minyak Zaitun (olive oil). Minyak tu dah panas, curahkan atas daun bawang + bawang putih tadi.
 Marion ajar letak halia sagat sikit. Tapi Kjee terlupa dan letak bawang putih aje. Ok lah tu. Dah siap, tepikan.



       Next step rebus Spageti. Letak banyak garam dalam air rebusan itu. Sepatah kata Marion.. the water must taste like the ocean. Maknanya air yang hendak dididihkan itu mesti masin seperti air laut. Maklumlah spageti kan tawar. Dah mendidih air itu baru masukkan spageti. Masa merebus ikut arahan tertera pada kotak/peket.    
       Sementara menunggu spag kenyal atau al dente, sediakan udang. 'Bogelkan' terus. Tak nak kulit atau kepalanya. 😁
       Sekiranya spageti sudah elok kenyal, tepikan sedikit air rebus untuk guna jika merasa hidangan terlalu kering. 


       Panaskan kuali dengan lebih kurang 3 sudu makan olive oil. Actually kalo tak ada, minyak masak pun boleh. Ketuk hingga hancur 3 ulas bawang putih. Masukkan ke dalam kuali. Bawang putih sudah berubah warna, terus masukkan udang. Balik2 sampai udang bertukar warna. 

       Letak cili flakes ikut kepedasan yang korang suka. Kalau tak ada, boleh ketuk-ketuk 3-4 biji cili padi dan masukkan. Bagi Kjee, pedas sikit pun sedap. Cili flakes boleh dibeli di mana2 pasaraya. 
       Toskan spageti dan masukkan ke dalam kuali. Gaul bagi mesra. Letak tiga atau empat sudu Pesto. Ketika ini Marion suruh letak kicap cair dan sos tiram. Kjee hanya letak sos tiram sebab takut termasin jika letak air rebusan spageti. Air itu diletak kalau dirasakan hidangan terlalu kering. Kjee letak sebab suka makan Spageti yang basah2 sikit. 
       Itu jer. Terus hidang. 


 


Wednesday, March 23, 2022

spaghetti /pasta

SPAG SOS DAGING

      

        Dalam freezer Kjee memang sentiasa ada sos daging ala bolognese. Selalu buat banyak2 dan bekukan dalam bekas kecik2, satu portion. Standy untuk hari tak sihat atau malas.
       Malam tadi UnclePali keluarkan satu bekas dan panaskan. Makan sama roti. Tarrraaa pagi ini Kjee tengok ada satu bekas kecik baki semalam. Tak perlu defrost sebab tak beku.
       Kjee pun keluarkan spag. Rebus satu portion jer sebab UP x minat. But this morning Kjee ada goreng Bihun. Ada baki. UP kata itu lunch dia. Canteq!  👇


       Kjee gelar sos daging bukan bolognese sauce sebab kali ini masak, Kjee buat ikut selera sendiri. Since ada juga satu tin baked beans, masukkan. Selalu kalau ada mushrooms pun Kjee letak sekali. 
       By the way, tadi Kjee jumpa empat lima biji Shitake mushrooms dalam fridge. Beli entah bila tapi masih elok. So masa panaskan sos daging tadi, Kjee bubuh sekali. 
       Masa hidang tabur Parmesan Cheese. Letak banyak2. 😂😂😂
       Ini spag ala Bolognese versi orang Jowo. Jangan ada yang kecam pulak. Aku yang buat dia, sukati aku lah. 
       Sos bolognese punya resipi korang klik SINI


      

Wednesday, April 14, 2021

spaghetti /pasta

SPAGETI SAMBAL IJO UNTUK BUKA


     Kemalasan sudah melanda. Actually lebih kepada keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Selalunya di bulan Puasa, Kjee orang pertama yang excited nak sediakan juadah for my family. 
     Semalam panaskan lauk leftovers dalam freezer. Hanya beli dua keping roti Murtabak. Satu makan masa buka dan sekeping lagi lepas solat Terawih. 
     Dan hari ini, Kjee plan nak buat aje spageti Sambal Ijo. Mudah sangat buat sebab stok sambal ijo ada dibekukan dalan fridge. Kali ini Kjee letak udang dan mungkin juga daging ala beef bacon.
     Resipi penuh Spageti Sambal Ijo klik SINI.
     Untuk resipi Sambal Ijo klik SINI. 

Tuesday, December 22, 2020

spaghetti /pasta

MAKARONI GORENG


     Bila lah nak berakhir pandemik ni. Tiap hari pening fikir nak masak apa. Kalau tidak, bolehlah makan kat luar. Rindu nak lepak-lepak sarapan kat rest mamak, warung nasi lemak dan semua yang sewaktu!
      Mujur tiap hari ada aje idea lalu lalang kat FB. Dan kali ini dapat idea dari Shagim. Makaroni Goreng. Sebelum tidur malam tadi fikir-fikir apa protein ada dalam freezer. Dah hujung-hujung bulan, freezer dah kosong. Eh jap! Ada minced beef! Cantikkkk!
     So lepas Subuh tadi, Kjee langkah dengan penuh gaya ke dapur. Ewah. Keluarkan makaroni. Ada semangkuk kecil. Keluarkan minced beef, frozen peas, baki jagung dalam tin dan sambal tumis. Cukup lengkap dah. Oppppsss Parmesan Cheese! Itu pelengkap.
     See I told you all selama ini betapa pentingnya buat Sambal Tumis pastu bekukan! Masa macam nilah, it'll come in handy!!
      

     Mula-mula Kjee rebus makaroni. Kat paket kata 8-10 minit. Letak garam dalam air. Dah mendidih baru masukkan makaroni. 
     Pastu rendam daging cincang dan toskan. Panaskan kuali. Letak minyak sikit aje. Kemudian letaklah berapa banyak sambal tumis. Kerana ia beku, ambil masa sikit untuk cair. Api sederhana aje ya. Takut sambal tu hangit.
     Makaroni dah siap. Padam api. Masukkan daging dalam kuali. Kacau-kacau. Kjee amik segenggam kacang peas frozen dan masukkan dalam periuk makaroni. Tak payah hidupkan api. Seketika aje.
     Daging dah masak, kaup makaroni bersama kacang peas masuk kuali. Gaul rata. Letak juga jagung. Ikutlah banyak mana suka. Kalau rasa kering sangat, letak satu senduk kecik air rebusan makaroni. Hati-hati air tu dah ada garam. Sambal pun dah cukup rasa.
     Kacau-kacau sampai semua bahan sampai mesra. Siap. Masa nak hidang, tabur Parmesan Cheese kalau suka. 
     Kalau tak ada minced beef, boleh letak ayam, udang ataupun sotong. Kalau tak ada langsung, telor pun jadi. Sayur pun ikut ada aje lah. Kjee pernah guna sawi yang Kjee potong halus-halus. 


     Abaikan Parmesan Cheese yang terlebih tabur. I like. 😁

     

Saturday, December 5, 2020

spaghetti /pasta

PRAWN CARBONARA


     SUDAH lima hari udang itu bertapa dalam freezer. Semalam Kjee beritahu UnclePali supaya beli Kwayteow, taugeh dan kucai. Well, kalau nak beli barang-barang itu, mesti nak buat Penang Fried Kwayteow. 
     UP pulak kata dia nak beli Nasi Briyani yang baru bukak depan simpang rumah kami. Tetapi since selera Kjee tidak pada nasi hari ini, maka Kjee pun buat aje Carbonara. Spageti ada setengah peket baki aritu. Beef bacon tak ada, so Kjee decide letak udang. 
       Kerana Kjee guna separuh peket spageti, bahan-bahan hari ini iala 6 ekor udang, dua ulas bawang putih yang dicincang halus, 3 keping keju cheddar, setengah cawan serbuk Parmesan Cheese, dua biji telor dan setengah cawan susu segar atau susu cair. Juga sedikit daun bawang yang dicincang halus. 
      Bersihkan udang. Gunting muncung dan toreh belakangnya untuk keluarkan 'tali hitam'. 

     Didihkan air dalam periuk. Letak dua sudu kecil garam. Dah mendidih, masukkan spageti. 
      Sementara tunggu spageti kenyal atau al dente, cincang bawang putih. Tepikan. Pukul dua biji telor guna garfu, manja-manja. Cheese keping Cheddar dikoyak-koyak. Masukkan dalam mangkuk berisi telor. Kacau rata perlahan-lahan sehingga cheese itu cair. Kemudian campurkan dengan susu segar atau susu cair. Kacau sebati. 
      Apabila spageti sudah hampir elok masaknya, panaskan minyak dalam kuali atau periuk sauce pan. Kjee guna dalam 3 sudu Minyak Zaiton. Tapi minyak masak biasa pun ok. Dah panas, masukkan bawang putih. Apabila sudah wangi dan sedikit perang, masukkan udang. Golek-golek sampai udang masak. Perlahan api. Keluarkan udang. 

     Masukkan spageti ke dalam baki minyak bawang putih tu. Simpan airnya satu mangkuk. Golek-golek spageti sampai mesra. Kemudian masukkan air rebusan spageti tadi. Gaul rata. Tabur separuh dari hirisan daun bawang. Padam api. 
     Alihkan dari dapur. Biarkan kira-kira 3 minit. Kemudian cepat2 curah adunan telor tadi. Segera dikacau. Jangan diletakkan atas dapur. Panas spageti itu akan buat adunan telor itu memekat. Apabila sudah pekat, masukkan udang tadi. Gaul rata. 
    Terus dihidang. Masa plating, tabur baki daun bawang dan juga serbuk Parmesan cheese. 
     Selamat Mencuba. 

   

     

Monday, November 23, 2020

spaghetti /pasta

GARLIC PRAWNS SPAGHETTI


     Buat ini semalam for lunch. Mula-mula plan nak buat spag Olio Aglio tetapi ternampak pulak resipi Marion Grasby,  chef campuran Thai Australian tu. Menarik juga Prawn Garlic Spaghetti. 
     Terus ubah fikiran dan nak try resipi dia. Apabila diamati, Marion buat Pesto dulu. Nak buat jugak ke tidak sebab kalau tumis bawang putih pastu letak udang pastu letak hirisan daun bawang dan halia sagat, sama aje.
     Tetapi Kjee decide buat Pesto lah. Bukan susah mana. Hiris secekak daun bawang, sagat satu inci halia. Campur dan tumbuk-tumbuk manja. Letak garam sikit. Letak pulak dalam mangkuk. Panaskan minyak masak  yang telah dicampur sedikit minyak bijan. Curah atas daun bawang tadi. Siap Pesto. Tepikan. 


     Pesto ini sos wajib bagi orang Itali. Sebab tu Marion kata Spaghetti ini ala-ala fusion. Asia campur Itali. Kononnya.
     Kemudian masak air dalam periuk bersama garam. Orang Itali kalau rebus spaghetti, air tu mesti cukup masin. Macam masin air laut kata mereka. Hmmm. Air dah mendidih, masukkan spaghetti. Kjee buat separuh peket. Masak sampai kenyal atau Al Dente.
     Masa tunggu spaghetti siap, cincang 5 ulas bawang putih. Udang dibuang kulit. Kemudian tumis bawang putih guna minyak yang sedikit sebab nanti Pesto, berminyak lagi. 
      Apabila bawang putih dah nampak garing sikit, masukkan udang. Masak sehingga udang berubah warna. Masukkan kicap cair dan sos tiram. Jumlahnya, agak-agak. Jangan terlalu banyak kicap tu sebab dah ada garam dalam Pesto. Hujung-hujung nanti kalau tak cukup masin, tambah ler lagi. 

     By this time spaghetti dah siap. Padam api air rebusan.  Tepikan satu mangkuk air rebusan baru tos Spaghetti. 
     Masukkan terus spaghetti ke dalam kuali tadi. Kacau sehingga keseluruhan spaghetti disalut tumisan udang tadi. Kemudian curahkan pula Pesto. Letak juga cili flakes dan gaul. 
     Tuang lebih kurang setengah cawan air rebusan spaghetti ke dalam kuali bersama spaghetti. Air rebusan itu pun dah masin sebab itu Kjee kata hati-hati masa letak kicap cair. Nak letak lebih air rebusan pun okay aje. 
     Gaul sampai rata. Hidang dan terus makan. Tabur dulu cili flakes lagi kalau suka pedas. Siap! 
     Kalau rasa tak cukup masin, tambah kicap cair atau tabur Parmesan Cheese. Fuyooo sedapnya. Isyhhh macam nak buat lagilah untuk dinner nanti. 🤭