Monday, January 23, 2017

KUIH GETAS PULUT



     

      Setelah sekian lama tak buat dan buat dua kali berturut-turut semalam, akhirnya barulah boleh senyum lega. Kjee tak ada masalah membuatnya cuma bab menyira gula tu yang kantoi. Menyira gula untuk kuih baik kuih Getas mahupun Keria, kena banyak practise. Kena selalu buat.

      Kjee tidaklah malas nak buat Kuih Getas ini tetapi tak ramai yang suka nak makan dalam rumah kami. UnclePali memang tak suka langsung sementara Nadia ikut mood. Kekadang dia suka makan kekadang tidak. Akhirnya, Kjee kena habiskan. Itu yang malas sangat-sangat nak buat. Kalau beli dua atau tiga biji, lebih berbaloi.

      Ini antara kuih tradisional kita yang hampir pupus sebab tak ramai yang membuatnya. Kalau tak percaya, korang survey lah 10 gerai kuih. Mungkin hanya tiga gerai yang jual. Tetai kalau bulan Ramadhan memang ramai yang jual.

      Buatnya mudah sangat. Bahan mentah hanya empat sahaja. Tepung pulut, kelapa parut (yang putih sahaja), sedikit garam dan gula. Oppppss ada lagi satu bahan iaitu air.

      Sukatannya ialah 1 cawan tepung pulut, 1 cawan kelapa parut, sedikit garam dan air. Gaulkan tepung pulut dengan kelapa parut. Air yang telah dicampur sedikit garam, dimasukkan sedikit demi sedikit dan digaul hingga menjadi doh. Doh harus sederhana lembutnya. Uli manja-manja hingga doh tidak melekat di tangan. Rehatkan lebih kurang ½ jam.

      Setelah direhat, buatlah bulat-bulat. Untuk secawan tepung boleh jadi dalam 9-10 biji. Setelah semua dibulatkan, leperkan pulak. Jangan terlalu tebal sebab apabila dimasak ia kan mengembang.

      Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan doh yang telah dileperkan dan perlahan sedikit apinya. Kalau terlalu panas ia akan mengelembung. Goreng sehingga warnanya keemasan. Kemudian toskan.

      Masak secawan gula yang telah dicampur ½ cawan air dan masak dalam kuali lain. Biarkan gula itu mendidih dan menjadi pekat. Ia harus betul-betul pekat barulah dimasukkan kuih tadi dan digaul mesra. Padam api.

      Mudahkan? Entahlah bunyi macam mudahkan? Cubalah. Kalau tak menjadi, beli ajelah sebiji dua. Hehehe.


3 comments:

  1. Saya pun kak, bab nak sira tu selalu fail...last kuih tu tak disira tapi makan begitu saja atau dicicah dengan gula pasir...hehehe

    ReplyDelete
  2. Tabur dengan gula ising pun ok. Atau buat stail Nadia... dia cicah dengan sambal tumis. Sedap jugak Nasa Mulia.

    ReplyDelete
  3. Sama la macam Nadia.. kadang2 cicah sambal tumis... sedaap you!

    ReplyDelete