Monday, March 27, 2017

MIANG KHAM - PEMBUKA SELERA THAI





       Sudah lama Kjee teringin nak buat sendiri Miang Kham, pembuka selera Thai ini. Tiap kali jengah resipi kat internet, Kjee tak begitu yakin. Apapun, setelah dua kali makan di sebuah restoran di Danau Kota, Setapak, Kjee seakan-akan dapat agak apa bahan-bahan dalam sosnya. Sedikit lebih kurang macam cicah rojak Mak Bee.

       Minggu lepas, Kjee ajak UnclePali pergi ke pasar Selayang cari pes rojak Mak Bee tapi tak jumpa. Dalam peti ais ada satu cicah pemberian kawan UnclePali. Tetapi Kjee tak berapa berkenan dengan rasanya.

       Maka semalam Kjee beranikan diri. Tak susah mana pun cara membuatnya dalam resipi yang Kjee temui. Kebanyakkan blog yang Kjee terjah,  dari Thailand. Siap ada video dalam You Tube. Begitulah popularnya Miang Kham ini.

       Bahan-bahan untuk Sos sangat mudah. Ada kat dapur kita.

       Belacan
       Cili padi
       Kelapa parut goreng
       Serai
       Lengkuas (Kjee tak letak)
       Bawang merah
       Gula Melaka
       Kicap Cair Thai atau Nampla
       Daun Limau Purut (Kjee tambah)

        Sukatannya, Kjee main agak-agak jer macam biasa. So pepandailah korang adjust tau. Bahan-bahan Kjee buat dalam jumlah sedikit sebab bimbang tak menjadi.

        Mula-mula sekali, masak gula Melaka bersama sedikit air sehingga sirap yang pekat. Pekat seperti sirap macam kita makan dengan kuih lopes gitu. Sejukkan dalam mangkuk.

        Kemudian goreng kelapa seperti buat kerisik. Kjee guna lebih kurang satu sudu besar sahaja untuk sos. Buat lebih untuk dijadikan condiment nanti. Goreng sehingga perang. Selepas itu, bakar belacan (Kjee guna kecik sikit dari ibu jari), empat biji bawang merah, satu batang serai (dirick halus), setengah inci halia dan  tiga biji cili padi.










       Tumbuk semua bahan bakar sehingga halus. Apabila sudah halus, masukkan pula satu sudu kelapa goreng. Tumbuk lagi. Ada resipi letak kelapa goreng, ada tidak. Ada juga letak kacang tanah sangai. Suka hatilah ya. Kemudian Kjee hiris dua helai daun limau purut dan tumbuk sekali.

       Daun limau purut ini Kjee saja letak untuk naikkan aroma. Kalau tak ada, tak apa. Tetapi Kjee rasa kalau letak tersangatlah sedap.

       Setelah semuanya ditumbuk halus, masukkan ke dalam sirap gula Melaka dan gaul mesra, letak satu atau dua sudu kicap ikan Thai atau nampla ikut rasa. Kacau hingga mesra. Ketepikan.

       Bahan-bahan lain untuk dimakan bersama sos selain daun kaduk ialah Udang Kering, Kacang Tanah sangai, Limau kasturi, Bawang, Cili Padi, Halia muda dan Kelapa goreng. Limau Kasturi, Bawang dan Halia harus didadu kecik-kecik. Cili padi pula dihiris.

       Daun Kaduk dicuci bersih dan dilap kering. Kalau suka boleh rendam dulu dalam air garam selama 10 minit. Kemudian dibilas bersih.

       Cara menghidang ialah ambil sehelai daun kaduk. Lipatkan sedikit seperti kelongsong. Susun didalamnya semua bahan-bahan. Kemudian dicurah sedikit sos.

       Kjee guna udang kering berwarna oren yang diberi oleh seorang rakan. Bukan macam udang kering biasa. Kalau korang guna udang kering biasa pun okay. Cuci dan keringkan. Jika udangnya terlalu kasar, cincang sikit. Sos pun boleh buat banyak-banyak dan simpan dalam peti ais.

       Rasanya? Kalau korang tak pernah rasa, cubalah. Buat kali pertama, tentu ada rasa yang pelik terutama sekali daun kaduk itu. Tetapi setelah mencuba, terutama sekali setelah dicampur dengan segala condiments dan sosnya yang manis serta pedas, susah kot hendak berhenti.

       Itu sahaja. Selamat mencuba. By the way, ada orang kata nama Melayu untuk Miang Kham ialah Colek Daun Kaduk.






2 comments: