Pages

Friday, June 10, 2016

AYAM VARUVAL DIRENDANG TANPA SANTAN










Dalam banyak-banyak Indian Foods, ini yang paling kerap Kjee order kalau makan Nasi Daun Pisang. Memang kena dengan selera sebab ia seakan Rendang kita tapi terasa rempah dan bukan santan yang berlebihan. Malah, bagi Kjee lebih sihat dari rendang tiada guna santan.

Rakan Ayam Varuval ialah Ayam Paratel. Sikit lebih kurang sama dari segi rasa dan penyediaannya. Kjee pernah buat kedua-duanya dan pilihan akhir sekarang, kalau nak masak ialah, Ayam Varuval.

Kjee jugak pernah makan Kambing Varuval. Sedap tetapi Kjee tak berani masak. Memang dari dulu Kjee jarang-jarang masak lauk berasaskan kambing. Lebih kerap makan di kedai. Tapi pernah jugak masak Vegetarian Mutton. Sedap. Hmmm nak pergi carilah. Nak masak kari. Hehehe.

Untuk lauk ini, Kjee telah google dan jumpa tiga resipi yang menjurus kepada Ayam Varuval. Dan Kjee olah sehingga mendapat lauk yang menepati citarasa.

Resipi seperti dibawah. Sedap dimakan dengan nasi, nasi impit, lemang, roti, capati, roti canai dan semua yang sewaktu. Selamat mencuba.

Nak intai resipi Ayam Paratel, klik SINI.








AYAM VARULVA
rujukan:
Chef Thyaga B Rajan  
Venisri Senthan
Swasthi's Recipes
olahan:
mokcik

Bahan-Bahan:
600gms ayam (dipotong kecik-kecik)
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu besar serbuk cili
2 labu bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci halia
2 biji tomato
4 biji cili hijau
2 helai daun kari
2 batang serai (dipotong memanjang hingga putus dan ketuk2)

Garam Masala (disangai dan dikisar halus)
1 sudu besar ketumbar
1 sudu kecik jintan manis
1 sudu kecik jintan putih
1 sudu besar lada hitam
8-10 biji kacang gajus (optional)

Bahan Tumis
1 kayu manis
4 biji buah pelaga
2 bunga lawang
5 biji cengkih

CARA

Ayam dicuci, tos kering dan dilumur dengan serbuk kunyit dan serbuk cili. Kjee guna cili flakes. Tepikan.

Bawang besar didadu. Halia dan bawang putih ditumbuk halus. Tomato jugak didadu.

Tumis bahan tumis. Minyak lebih kurang ¼ cawan. Apabila sudah naik bau, masukkan bawang besar. Goreng sampai layu. Kemudian masukkan pes bawang putih,halia dan daun kari. Apabila sudah keperang-perangan, masukkan ayam.

Masak sehingga ayam kecut. Kemudian masukkan lebih kurang ½ cawan air dan tomato. Biarkan ia didih seketika dan masukkan garam masala dan cili hijau yang dihiris tepat.. Kacau hingga rata. Guna api sederhana, masak hingga hampir kering. Sekali sekala dikacau supaya dasar periuk tak hangit.

Bubuh garam secukup rasa.

Hidang dan hias guna daun ketumbar kalau suka. Enak dimakan dengan roti, dhosei, Idli, Roti Canai Capati, nasi impit, lemang atau pulut..

Bila sudah siap, baru Kjee sedar ia bukan Ayam Paratel walaupun bahan-bahannya hampir sama. Pada Kjee, lagi mudah buat dari Rendang. Dan mungkin lebih sihat sebab tiada penggunaan santan.

Cubalah.

NOTA KAKI:
Selain gajus (kalau guna), boleh gantikan dengan kacang badam.

1 comments:

adda syuhada said...

entry masak-masak ni best,..at least ada gak idea nak masak ape hari ni

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...