Wednesday, August 3, 2011

JOM PAKAT MASAK SENDIRI!!

Juadah popular semakin mahal

SEORANG peniaga, Yusof Mahdom sibuk membakar ayam dan ikan untuk dijual sepanjang Ramadan di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 2 Ogos - Beberapa peniaga di bazar Ramadan di Lembah Klang didapati menjual juadah untuk berbuka puasa pada harga agak mahal di sebalik gesaan kerajaan supaya mereka tidak berbuat demikian.

Tinjauan ke atas tiga bazar di Datuk Keramat, Kampung Baru dan Seksyen 14 di Petaling Jaya mendapati antara makanan yang dijual pada harga lebih mahal termasuk ikan, ayam dan kuih-muih.

Di Datuk Keramat, harga pelbagai ikan bakar ditentukan mengikut saiz tetapi peniaga mengakui telah menaikkan harga kira-kira RM2 hingga RM3 bagi seekor ikan.

Pari dijual RM12 hingga RM18; kembung RM3 hingga RM6; terubuk RM12 hingga RM20 dan cencaru RM3 hingga RM8.
Seorang peniaga, Hambali Osman, 49, berkata, beliau terpaksa menaikkan harga makanan disebabkan kenaikan harga bahan mentah.

Katanya, meskipun harga meningkat, sambutan orang ramai sangat menggalakkan, terutamanya daripada pelanggan tetap beliau.

Sementara itu, ayam percik dijual antara RM5 dan RM8 mengikut saiz serta bahagian ayam, iaitu kira-kira RM1 hingga RM2 lebih mahal berbanding tahun lepas.

Harga makanan lain yang menggunakan ikan dan ayam seperti nasi kerabu serta gulai naik kira-kira 50 sen hingga RM1.50.

Nasi kerabu dengan ikan dijual pada harga RM4 hingga RM5, namun jika pelanggan memilih ayam sebagai lauknya, harga yang dikenakan ialah RM7 hingga RM7.50.

Rokiah Zakaria, 32, berkata, peningkatan harga itu disebabkan kenaikan harga ikan dan ayam mentah di pasar, namun begitu beliau masih menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggannya.
Di Kampung Baru, seorang peniaga memberitahu beliau terpaksa menaikkan harga ayam percik kepada RM2.50 berbanding RM2.20 tahun lepas.

Harga makanan popular di kawasan ini masih sama, misalnya bubur lambuk (dijual RM2 sebungkus) dan murtabak (RM3 sekeping).

Di Seksyen 14, pelbagai jenis ikan bakar juga dijual mengikut harga yang sama seperti tahun lepas.
"Kita tak naikkan harga dan kita menjual ikan mengikut saiz dengan harga sekitar RM5 atau RM6 seekor. Harga terubuk bakar juga sama seperti tahun lepas iaitu RM13 seekor," kataMohd. Zahir Nordin, seorang peniaga.

Tinjauan juga mendapati kuih- muih kebanyakannya dijual 40 sen sekeping berbanding RM1 bagi tiga keping sebelum ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.
Beliau berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap peniaga yang menjual makanan dengan harga yang mahal dan membebankan pengguna. - BERNAMA

2 comments:

  1. kak jee..
    minyak masak pun dah start susah nak cari kat kedai2 runcit ni.. risau gak dibuatnya time nak raya nanti harga minyak masak naik lagi..

    ReplyDelete
  2. sudahnya, semua orang kena jadi nelayan la agaknya baru tak ada orang ambil kesempatan.

    ReplyDelete