Tuesday, August 9, 2011

KERABU MANGGA ALA SOMTAM?


Ada pelbagai cara untuk menyediakan kerabu mangga. Sebenarnya, ikut suka kitalah nak bubuh apa. Janji rasanya ada pedas, masam dan manis.

Kalau orang Siam, masam mereka menggunakan jus limau nipis dan juga sedikit nampla. Nampla kalau korang tak tahu lagi ialah kicap cair Siam atau fish sauce. Orang Siam guna nampla untuk menggantikan pengunaan garam.

Tapi kat Malaysia ada juga orang guna nampla dan garam sekali untuk dimasukkan dalam satu masakan. Dua2 fungsinya sama iaitu untuk memasinkan lauk.

Untuk kerabu ini Kjee tak guna nampla. Tadi dalam hujan lebat dan guruh berdentam dentum, Unclepali pergi petik dua biji buah limau nipis kat belakang rumah.

Walaupun kawasan belakang rumah Kjee sekangkang kucing jer (sekangkang kucing lagi sempit dari sekangkang kera) namun ada pokok belimbing, pokok limau nipis dan pokok jambu batu. Jus dari dua biji limau nipis tu dapatlah dekat ½ cawan.

Ok kita tengok resipinya.

BAHAN2:

2 biji mangga muda dibuang kulit & disagat
1 labu bawang besar
5 biji cili padi (kalau nak pedas tambah lagi)
½ cawan jus limau nipis
1 sudu besar gula
1 sudu besar kicap cair atau nampla
segenggam ikan bilis
daun kesom (hari ini tak de stok)
daun limau purut
kacang tanah goreng (tak letak)

CARA:

Mangga muda disagat perlahan2 supaya airnya tidak terkeluar. Tepikan.

Goreang ikan bilis hingga garing. Dulu Kjee tak tahu nak bagi ikan bilis ranggup dan garing. Kawan Kjee ajar, apinya mesti panas betul baru masukkan bilis. Panas macam kita goreng keropok yang terus jadi kembang. Hah macam tulah. Tepikan bilis.

Bawang dimayang nipis2. Cili api dihiris nipis jugak. Selalu Kjee guna daun kesom tapi hari ni tak ada so terjumpa limau purut. Daun itu dihiris nipis. Kalau ada bunga kantan pun boleh guna.

Campurkan gula, jus limau dan sos nampla hingga gula hancur. Bawang, mangga, cili api dan daun2 yang digunakan dan gaul hingga sebati. Lepas tu, curahkan jus limau dan gula dan gaul lagi hingga sebati. Masukkan ikan bilis dan kacau rata. Kalau nak taburkan kacang tanah pun boleh.

Kekadang orang Siam guna ikan bilis sira yang banyak dijual di Kedah dan juga Pulau Langkawi. Kekadang dalam satu peket dah ada kacang dan cili kering. Bubuh itu pun sedap.

Kalau pergi ke gerai atau restoren Thai, mereka kerabu betik muda cukup popular tapi Kjee tak pernah try. Mereka gunakan betik muda yang mengkal.



0 comments:

Post a Comment