Monday, August 1, 2011

Penyanyi Veteran Hasnah Haron Meninggal Dunia


PETALING JAYA: Penyanyi veteran, Hasnah Haron, 64, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor Baru pada pukul 8 pagi Isnin akibat penyakit kanser pangkal rahim.
Menurut anak sulungnya, Haslinda Mohd Eunos, 39, Allahyarham menghidap kanser tersebut sejak dua tahun lalu sehingga merebak ke paru-paru.
"Ibu mula tenat pada Rabu lalu dan dimasukkan ke hospital terus lebih-lebih lagi melihatkan dia juga mengalami masalah sesak nafas. Malah ibu juga mengalami kesukaran untuk makan kerana mulutnya penuh dengan ulser.
"Dia pergi tanpa meninggalkan sebarang pesanan tetapi pada seminggu yang lalu, ibu memberitahu yang dia akan pergi tidak lama lagi," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Tambah Haslinda, sebelum ke hospital, Allahyarhamah turut dibawa berubat secara tradisional dengan seorang Imam di JB selama empat hari.
Dalam pada itu, dia bersyukur apabila ibunya meninggal dunia pada Ramadan yang mulia ini.
"Selama ini dia bekerja kuat dan sering menerima tohmahan buruk kerana menyanyi di kelab malam.
"Tetapi dia tidak pernah menyentuh alkohol mahupun melakukan perkara yang tidak elok.
"Apabila ibu meninggal di bulan yang mulia ini, saya percaya susah yang Allah beri di dunia akan dipermudahkan apabila meninggal nanti," ujarnya menahan sebak.
Jenazah akan di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah selepas solat Asar nanti.
Selain Haslinda, Allahyarhamah yang merupakan penyanyi pop yeh yeh popular pada era 60-an itu telah meninggalkan seramai empat orang anak iaitu Mohd Luthfi Mohd Eunos, 38, Sharifah Seha, 26, Syed Mohd Hyekal Syed Murshad, 23 dan Sharifah Zakiyah, 21.
Antara lagu-lagu popular beliau ialah Bersedih, Sabar Menanti, Aliran Usia, Jauh Dariki, Mengharap Kasih dan Bintang Pujaan.


SUMBER: mStar online

2 comments:

noorazian mohd. noor said...

al-fathihah....

Fadzillah said...

moga arwah ditempatkan dikalangan org2 yg beriman..al-fatihah..

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...