Wednesday, August 31, 2011

SELAMAT MENYAMBUT HARI MERDEKA..ERTINYA KEPADA KELUARGA KAMI



Walaupun negara kita telah merdeka selama 54 tahun, tetapi erti Merdeka bagi Kjee sekeluarga lebih bermakna selepas tahun 1960. Rasa pelik ke? Kenapa tahun 1960? Kenapa tidak 1957?

Tanggal 31 Ogos 1960, lahirlah seorang insan yang diberi nama Merdeka Fazilah Abdul Samad. Adik bongsu Kjee yang hanya sempat menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-50 tahun lalu. Tahun ini dia sudah tiada. Kembali ke Rahmatullah pada 22 Jun 2011 selang kira-kira 9 minggu daripada ulangtahun kelahirannya yang ke-51.

Kjee pasti tadi, keluarganya sekali lagi ke pusara arwah adik Kjee. Mereka telah melakukannya tanpa bosan (menziarahi pusaranya) setiap hari sejak arwah disemadikan. Tetapi hari ini mungkin lebih bermakna..sepertimana mereka menyambut Syawal buat pertama kalinya tanpa arwah, semalam.

Semalam Kjee ke pusara arwah adik Kjee tetapi kami gagal mendapatkan parking kerana terlalu sesak. Kjee pergi bersama Nadia sebab Unclepali pulang ke kampung. Sebentar lagi kami bertiga akan ke sana sekali lagi.

Keluarga kami amat menitikberatkan sambutan hari kelahiran di kalangan kami. Paling manis ketika celik sahaja mata, bonda dan adik beradik lain akan berpusu2 menjerit Selamat Hari Jadi atau Happy Birthday. Sambutan birthday yang sulung (Ahmad Fauzee) dan yang bongsu (arwah Fazilah), pasti dibuat lebih meriah walaupun hanya dikalangan famili.

Arwah adik Kjee cukup malu apabila bapa menamakan dia Merdeka Fazilah. Di zaman itu, memang ramai yang menamakan anak mereka mengambil sempena Hari Kemerdekaan tetapi Kjee rasa jarang digunakan untuk anak perempuan.

Justru satu hari ketika Kjee menemani arwah yang ketika itu berusia sekitar 12 tahun ke pejabat pos Old Town, Petaling Jaya untuk membuka akaun simpanan, telah berlaku sesuatu yang melucukan. Pada surat kelahiran arwah dicatatkan M Fazilah.

Kerani di kaunter bertanya apa erti M? Merah padam muka adik Kjee. Kjee bisikkan suruh cakap M tu ertinya Mimi. Tapi belum sempat adik berkata apa2, kerani kaunter bertanya lagi dalam suara yang agak tinggi.

Adik Kjee tergagap2. Dia terus sebut Merdeka. Kerani kaunter senyum sinis. Dia terus tulis perkataan Merdeka di hadapan nama adik Kjee. Punyalah menyirap darah adik Kjee.

Di kalangan keluarga kami, menghantar telegram di hari jadi kami adalah satu kemestian. Ia lebih eksklusif daripada memberi kad hari jadi. Pos Malaysia (ketika itu) mempunyai kad khas untuk telegram hari jadi. Telegram itu dhiasi bunga raya dan sangat cantik.

Kenapa hantar telegram? Sebab telegram itu akan sampai pada hari jadi dan akan tercatit tarikh hari jadi di telegram itu. Dan kami menganggap itu cukup istimewa dan eksklusif dan boleh disimpan sebagai kenangan!

Satu lagi peristiwa yang tidak dapat Kjee lupakan ketika kami menyambut birthday arwah di hari Merdeka. Ini berlaku semasa kami tinggal di Telok Anson (Teluk Intan). Bonda telah turun ke Kuala Lumpur kerana hal keluarga. Jadi yang tinggal hanya kami empat beradik dan bapak.

Malam itu, bapak tidak membenarkan kami masuk ke dapur sebab dia hendak buat satu surprise untuk birthday adik esoknya. Kami pun saspen sahaja duduk empat beradik di ruang tamu. Apabila siap, bapak telah menyorokkan surprise tersebut sebab katanya itu untuk hari esok.

Pagi2 esoknya kami tunggulah surprise yang dibuat oleh bapak. Jeng jeng Jeng...sebiji kek yang cantik beraising putih dan ditulis Selamat Hari Jadi Fazilah diatasnya. Siap ada lilin. Arwah bapak memang kreatif bab menghias kek,

Setelah meniup lilin, kami adik beradik sibuk suruh Fazilah potong kek tetapi bapak tak benarkan. Dia kata tunggu mak balik esoknya. Punyalah kami frust!

Bila mak balik, adik Kjee nak potong kek tapi bapak tetap tak benarkan! Rupa2nya itu kek palsu! Bapak telah terbalikkan sebiji periuk alluminium dan aisingkan belakang periuk itu hingga menyerupai sebijik kek. Bapak tak reti masak kek. Dan Kjee pasti dia tidak membeli sebiji kek di bakeri sebab ketika itu dia tak ada duit! Kemudian bapak dan mak keluar dan membeli sebiji kek buat adik!

Itulah antara peristiwa Hari Merdeka dan Birthday M Fazilah yang tidak mungkin Kjee lupakan. Dan semuanya tidak akan berulang lagi sebab orangnya sudah tiada.

SELAMAT HARI MERDEKA YANG KE-54!!

ALFATIHAH BUAT HAJAH MERDEKA FAZILAH ABDUL SAMAD






4 comments:

  1. Selamat hari Kebangsaan dan selamat hari Raya kak Jee....

    Al-fateha juga buat arwah HAJAH MERDEKA FAZILAH ABDUL SAMAD

    ReplyDelete
  2. selamat merdeka raya....al-fatehah buat arwah....

    ReplyDelete
  3. selamat hari raya kak jee.
    selamat hari merdeka ....Al Fatihah buat arwah adinda kak jee...

    ReplyDelete
  4. Selamat Merdeka Raya buat Kak Jee sefamili!!! :)

    ReplyDelete