Saturday, November 14, 2015

KALI PERTAMA KU BUAT LAKSAM






Ini salah satu makanan yang Kjee dan Nadia cukup suka makan. Kalau singgah gerai orang Kelantan untuk sarapan, wajib order! Kjee kan suka makan letak kuah yang banyak. Jadi, setiap kali order mesti mintak kuah lebih. Tapi yang diberi hanya lebih satu sudu. Maunya tak sakit hati kan!!

Tiap kali teringin nak makan, Kjee akan google dan tengok images Laksam yang buat Kjee terliur. Tengok jer tapi nak buat macam tak berani. Hehehe.

Beberapa hari lalu, Kjee terserempak dengan Laksam dalam blog GeeHut. Alamak Gee buat laksam. Macam senang jer. Kjee pun browse resipi dia. Alamak mudahnya buat kuah tu rupa-rupanya. Jerang jer tak payah tumis! Wah mencabar ni!

Bab buat Laksam mulanya Kjee runsing jugak. Tapi kata Nadia: "Apahal Mama nak risau. Kita kan pernah buat Chee Cheong Fun. Adik beradiklah tu. Cuma CCF guna tepung ubi, kalau Nadia tak silap." Betul sangat-sangat. Buat CCF lagi susah! Ianya sangat nipis dan nak gulung pun satu hal!!





Guna Pastry Cutter lagi mudah. Spatula pun boleh

Gulung sebaik keluar kukusan

Kira okaylah buat kali pertama kan?



Jadi, mulalah kami dua beranak projek sejak lepas sarapan pagi tadi. Start buah kuah dulu. Ikut resipi, ikan Selayang 1 kilogram, 3 atau 4 biji bawang merah, 3 ulas bawang putih, ½ inci halia, ½ kilo santan (Kjee guna 1½ kotak santan cap Ayam), 1 sudu besar lada hitam kisar, 1 keping asam gelugor dan garam sesedap rasa.

Rebus ikan dalam air yang menutupi paras ikan sampai masak. Dah masak, keluarkan dan sejukkan seketika sebelum diambil isinya. Tapis air rebusan ikan.

Kisar bawang merah, putih serta halia bersama air rebusan ikan tadi. Apabila sudah halus, masukkan pulak isi ikan ke dalam blender dan kisar hingga halus. Kena betul-betul halus. Kalau tidak cukup air, tambah lagi. Kisar hingga habis. Air yang digunakan harus secukupnya untuk menjadi kuah.

Masukkan ke dalam periuk, hidupkan api dan jerang hingga mendidih. Kemudian masukkan santan dan terus jerang guna api sederhana. Perasa dengan garam dan letak jugak 1 keping asam gelugor dan 1 sudu besar lada hitam kisar.

Apabila sudah cukup rasa, padam api.








Sekarang bab buat Laksa. Perlu sediakan kukusan. Jerang air. Kalau ada tudung periuk, boleh guna. Kjee tak ada tudung periuk leper jadi Kjee guna loyang yang muat dalam kukusan.

Bahan-bahan untuk Laksam ialah 3 cawan tepung beras, ½ cawan tepung gandum dan 5 cawan air suam (3 cawan air panas mendidih dan 2 cawan air sejuk disatukan). Letak 1 sudu kecil garam ke dalam air dan kacau.

Campur kedua-dua tepung dan curahkan air. Kacau hingga sebati. Kjee sambung dengan mengisar bancuhan tepung itu. Tak perlu tapis dah. Kalau tak blend, perlu tapis.

Panaskan loyang dalam kukusan setelah disapu sedikit minyak. Apabila sudah panas, curahkan lebih kurang dua senduk adunan tepung ke dalam loyang. Kukus hingga masak.

Keluarkan dan gunakan pastry cutter (kalau ada) untuk gulung Laksa. Kalau tak ada, spatula pun boleh.  Kukus lagi hingga habis. Adunan tadi boleh jadi 8 hingga 9 gulung Laksa.

Ulam ikut suka korang. Tadi Kjee guna taugeh yang telah dibuang ekor, kobis, kacang panjang dan timun. Kalau ada bunga kantan boleh dimayang halus. Ricik jugak halus-halus daun kesom.

Untuk sambalnya, Kjee tumbuk 4 biji cili merah bersama sedikit garam

Cubalah buat. Tak seteruk mana pun. Lagi puas hati makan sebab boleh letak banyak mana kuah yang kita suka.

Hari ni Kjee sendiri yang amik gambar sebab UnclePali pergi kenduri. Terkial-kial jugalah dengan Nadia. Lain kali tak mau cerewet sangat kalau UnclePali amik gambar. Tapi sentuhan dia sangat elok berbanding Kjee. Huhuhu.










0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...