Wednesday, May 13, 2026

kisah2 close to my heart

13 MEI 1969 --SOROTAN REMAJA BERUSIA 13 TAHUN






43 tahun lalu. Tanggal 13 Mei, 1969. Keluarga Kjee - bapak, mak, Kjee serta dua adik iaitu Faridah dan Fazilah. Abang Fauzee ketika itu belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).



Kjee di tingkatan 1 di SMK Air Panas Setapak. Kjee tak ingat Faridah sekolah mana sementara Fazilah (sekarang dah arwah) belajar di Sekolah Rendah Cina San Min, Setapak dalam darjah 3.

Kami tinggal di belakang Chong Hwa High School di Batu 3¾ Jalan Gombak, kira-kira 20 minit dari Chow Kit. Kawasan 99% dihuni orang Cina. Hanya ada dua rumah orang Melayu dan satu  rumah orang India Muslim. Lain semua Cina. Rumah Melayu satu lagi (selain kami) dihuni oleh satu keluarga kecil. Suaminya kerja sebagai askar. Yang India Muslim itu orang meniaga.

Hidup kami cukup harmonis. Jiran-jiran sebelah menyebelah (kecuali jiran Melayu) seringkali bertegur sapa. Jiran Melayu tu pulak menyendiri dan enggan bercampur gaul. Tak tahu kenapa.

Pada tanggal 10 Mei 1969, jiran Cina (perempuan) sebelah rumah kami mati. Kami tak tahu dia mati. Kjee balik sekolah, mak ajak ke rumahnya kerana mak kata seharian tak nampak dia. Kami masuk ke rumahnya yang tidak berkunci. Dia di dalam bilik. Mak panggil dia dua tiga kali tapi dia tak bangun tidur. Mak pegang kakinya. Panas. Mak cuba gerak dia tapi tak ada respon. Mak terus keluar panggil jiran lain. Mereka datang. Wanita itu sah dah meninggal! Mungkin baru beberapa jam.

Malam itu bapak tolong jiran-jiran Cina lain pasang lampu dan kemah di rumah si mati. 

Petang 13 Mei 1969. Kami sekeluarga di dalam rumah. Rumah kami di tingkat atas. (Rumah teres ala town house. Bawah orang lain duduk). Tiba-tiba kami dengar kecuh-kecuh di luar rumah. Bapak jenguk luar beranda. Tanya apa hal.

"Gaduh...gaduh.." kata seorang jiran Cina kami sambil berlari join kawan-kawannya yang lain. Bapak panggil Fazilah dengar apa mereka bual. Fazilah sekolah Cina so dia faham apa dia orang kata.

"Orang Melayu dengan Cina gaduh, bapak. Kat Setapak dan Kampung Baru!" kata Fazilah yang ketika itu baru 9 tahun. Setapak hanya 10 minit dari rumah kami!

Bapak pucat. Mak mula menangis. Kjee tak faham kenapa mesti menangis dengar orang gaduh. Lutut mak terus lembik dan dia tiba-tiba demam. Terkejut yang amat-amat.

Di luar rumah kami intai orang Cina tengah potong batang paip besi dan asah (digesel-gesel diatas jalan tar) jadikan buncunya tajam, di tepi jalan. Bapak masih intai dari berandah. Suami Jiran Cina kami yang baru mati dua hari lepas suruh bapak masuk dan tutup pintu dan tingkap.

"Jangan tunjuk muka. Takut orang Cina luar datang nampak awak, nanti susah," katanya. Bapak terus masuk dan kunci semua tingkap dan pintu.

Semalaman kami tak tidur. Masa itu barulah tahu rasa takut. Bukak TV dan Radio. Kjee tak ingat apa yang ditayangkan di TV. Mak semakin panas demam. Bapak bukak tingkap dan nampak jiran-jiran kami. Beritahu mak sakit. Tak sampai satu jam, salah seorang datang bawak ubat yang dibeli di kedai sinseh berdekatan.

Kemudian datang lagi jiran lain bagi satu guni kentang. Sebuah lori bawak kentang on the way pergi Pahang tersangkut di kawasan kami sebab perintah berkurung. Semua kentang diagih-agihkan kepada penduduk termasuk kami.






Siang itu, satu trak askar datang bawak pergi keluarga Melayu yang suami dia kerja askar. Bapa enggan ikut sama. Kemudian satu trak polis datang untuk bawak kami pergi dari situ. Arahan dari datuk Kjee yang tinggal di Kpg Baru. Bapak masih berkeras. Katanya, keluarganya tak semestinya selamat kalau dipindah ke tempat lain. Lagipun, setiap masa ada agihan makanan seperti beras, gula, minyak dan sardin dari jiran-jiran Cina. Tak tahu mana mereka dapat. Mungkin ada lori lain yang terkandas jugak kot.

Di TV dan Radio pengumuman untuk orang derma darah dibuat. Tabung Darah sudah kering kerontang. Sesiapa nak derma, akan dijemput dari rumah! Bapak pelan-pelan pergi rumah jiran dan telefon Tabung darah hantar orang jemput dia. Dia penderma darah regular.

Dan masa bapak pergi, baru kami dapat cerita kisah sebenar di Kuala Lumpur. Bermandian darah. Cerita lain Kjee tak tahu sebab muda sangat masa tu.

Cuma Kjee tidak dapat lupa jiran-jiran Cina di kawasan perumahan kecil di belakang Chong Hwa High School sampai ke hari ini. Kalau tidak kerana jiran-jiran yang baik hati dan bermufakat, pasti kami sekeluarga tidak wujud hari ini.

Walaupun setelah lama kami berpindah dari kampung Chong Hwa itu, namun tiap kali Hari Raya, mereka akan berduyun-duyun mengunjungi kami. Begitu jugak kalau Tahun Baru Cina, bonda akan masak rendang dan kuih Melayu dan hantar kepada mereka.

Ketika itu, semua bangsa hidup saling hormat menghormati. Dulu kami lebih 1 Malaysia dari sekarang. Sebabnya? Tiada 'anasir-anasir' peniup semangat kebencian di antara kaum, Sekarang ini, orang Melayu benci sesama sendiri, orang Islam benci sesama sendiri...bangsa lain dengan bangsa Melayu? Hmmm sedih sangat.

Hentikanlah meniup sentimen perkauman. Kjee yakin kita semua sama. Mahu capai satu matlamat iaitu ingin generasi kita hidup selesa di bumi bertuah ini selepas kita tiada.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. 

43 tahun lalu, Malaysia belum canggih macam sekarang tapi kenapa sebelum peristiwa 13 Mei, kita semua hidup bersatu padu. Selepas 13 Mei, barulah ada kebangkitan orang Melayu. Bukan bangkit untuk bergaduh tapi ekonomi orang Melayu bertambah baik dengan wujudnya Dasar Ekonomi baru.

Tapi di zaman Malaysia Moden ini, timbul pulak satu agenda baru. Agenda meniupkan sentimen yang kurang sihat di kalangan pelbagai bangsa. Haruskah kita benarkan petualang-petualang negara ini merosakkan apa yang datuk dan nenek kita bina selama ini? Renung-renungkanlah.







Friday, May 8, 2026

kuih-muih

PULUT SERI MUKA PANDAN

Banyak kali dah Kjee buat. Dua tiga kali sahaja puas hati. Pelbagai resipi sudah Kjee cuba. Dan kali ini, harap- harap ini resipi terakhir yang Kjee cuba. Puas sangat hati. Dalam masa seminggu, dah dua kali Kjee buat. There goes my diet and my sugar level. 🤫🤪
Since Kjee excited sangat kalau dapat resipi yang menepati citarasa, maka I want to share it with you guys. Sapa punya resipi, Kjee tak berapa pasti. Tapi ia lalu di newsfeed Kjee. Dan pemiliknya kata resipi turun temurun ibunya. Thnx so much. Mohon halalkan.
Kjee jugak ubah suai letak durian minggu lepas. Maklumlah sekarang musim durian gugur. Sama aje caranya. Untuk Pulut Seri Muka Durian, letak secawan durian yang dikisar sama satu cawan air. Tak payah letak air daun pandan. Letak pewarna kuning sikit jer. Proses lain semua serupa.
Ok jom kita lihat bahan2 dan cara membuatnya. 

PULUT SERI MUKA PANDAN
Bahan2 dibawah ini cukuplah untuk satu loyang 7x7in. Loyang yang bulat 8" pun ngam.

LAPISAN BAWAH
1 dan setengah cawan beras pulut
1 cawan santan cair
Secubit garam
Sehelai daun pandan
Rendam pulut selama sejam. Toskan. Pastu campur santan cair, garam serta simpulkan daun pandan. Masak sekejap sampai airnya kering sikit. Pindah pulut ke dalam loyang pastu kukus selama  20 minit. Dah elok masaknya, keluar dari kukusan dan mampankan. Kjee tekan2 guna spatula sampai padat. Tambah air dalam kukusan dan panaskan api kecik sementara nak buat bahagian atas.

LAPISAN ATAS
Satu cawan santan pekat 
Setengah cawan gula pasir
1 cawan air pandan
3 biji telor 
Setengah cawan tepung gandum 
2 sudu besar tepung ubi
Sedikit pewarna hijau
Secubit garam

Blend 7 helai daun pandan dengan 1 cawan air. Tapis. Campur semua bahan guna whisk kecuali telor. Apabila sudah sebati dan gula sudah larut, pukul telor manja-manja dengan garfu dalam mangkuk lain. Kemudian campur dalam adunan yang telah di whisk tadi. Masuk secubit garam dan sedikit pewarna hijau. Kacau sampai rata. Kemudian ditapis  ke dalam periuk.
Loyang berisi pulut yang telah mampan tadi, diletak semula dalam kukusan. Api kukusan jangan besar sangat.
Jerang adunan hijau, guna api perlahan sambil kacau tanpa henti. 
Dah berwap aje, terus tuang ke dalam loyang pulut. 
Kukus lebih kurang 30 minit. Api sedang-sedang aje. Terlalu besar adunan akan meluap. 
Penutup kukusan dilapik tuala bersih untuk elak air menitis. Selepas 30 minit atau setelah lapisan atas masak, sambung kukus 10 minit tanpa penutup. Ini untuk bagi lapisan atas, kering. 

TIPS
Kjee ada tips untuk elak air menitis atas kuih yang sedang dikukus. Guna penutup buluh atau bambu. Penutup yang orang Cina guna untuk kukus pau. Gerenti wap terperangkap kat penutup dan tidak menitis. Penutup ini ada jual di kedai2 jual pinggan mangkuk orang Cina . Shopee pun ada tapi kena beli ikut saiz kukusan korang. Mahal sikit tapi berbaloi.
Tunggu sejuk betul2 lebih kurang 3-4 jam baru dipotong-potong guna pisau plastik. 
Selamat Mencuba.
By the way, sukatan cawan yang Kjee gunakan adalah cawan standard metrik. 




Sunday, May 3, 2026

ayam

NASI AYAM RICE COOKER


         Ini Nasi Ayam yang Kjee paling suka buat. Bukan macam Nasi Ayam biasa2. Tetapi lauknya ditumis dan dicurahkan atas nasi yang baru sahaja kering dalam rice cooker.
         Kalo korang pernah makan claypot rice (nasi periuk tanah) kat food court dalam shopping mall, hah inilah cara yang Kjee adjust. Guna aje periuk nasi elektrik. 
         So kalau masak nasi ayam cara ini, tak perlu lauk lain lagi. Dalam lauknya Kjee letak isi ayam, cendawan Shitake dan juga ikan tenggiri jeruk. Actually ikan kering masin apa pun ok. Goreng, buang tulang dan pecah-pecah. 


   
         Tetapi selalunya apabila Kjee buat Nasi Ayam cara ini, Kjee siapkan semua bahan-bahan sebelum Kjee masak nasi. Ini adalah kerana nasi sekejap aje masak. Dan lauknya yang sudah siap ditumis, harus sudah sedia untuk dicurahkan atas nasi dalam rice cooker. 
        Dibawah ini ayam yang telah diperap selama lebih kurang setengah jam. 


         Dan selepas setengah jam, baru ditumis cili kering selama dua tiga minit. Kalo tak nak letak cili kering, abaikan
Kjee guna non stick pan dan panaskan minyak. Lepas itu dituang perapan ayam tadi. 
         Isyhhh korang tengoklah resipi penuh kat SINI.  Jangan panik tengok dalam blog tu cara masak guna claypot. Korang skrol sampai hujung, ada cara guna rice cooker. 
         Kalau bahan2 semua dah siap sebelum nasi dimasak, mudah aje kerja tau. Since ini makanan orang Cina, maka memang itu stail dia orang masak. 



         Foto atas 👆 UnclePali gaul apabila nasi siap masak. Tetapi elok lah tunggu lebih kurang 10 minit setelah swis rice cooker itu mati. Buka penutup Rice cooker dan lepaskan wap. 


         Selamat mencuba. 














Saturday, May 2, 2026

BUBUR CINA AIR TANGAN WONG JOWO







Kjee hanya akan buat menu Teo Chew Porridge kalau ada antara penghuni rumah ni tak sihat. Semalam Nadia tak berapa sihat. Dia mesej kata nak amik half day. Balik dan rehat. Kjee tanya dia nak makan apa for lunch. Dia kata tak ada selera.

Kemudian Kjee bukak fridge. Hanya ada daging batang pinang, ayam, capsicum dan daun bawang. Hmmm Kjee whatsapp balik Nadia. Mama buat Teo Chew Porridge ya. Terus dia like!

Kjee tak buang masa rendam beras. Ada dua jenis beras kat rumah ni. Satu beras biasa untuk masak nasi kucing dan satu beras Herba Ponni. Beras Herba Ponni langsung tidak sesuai untuk buat bubur sebab ia tidak mengandungi kanji. Rendam beras berkanji lebih kurang 1 jam untuk mempercepatkan proses memasak bubur. Pastu jerang atas dapur, tambah air sehingga bubur menjadi halus.

Lauk untuk Teo Chew Porridge ikut suka kita lah nak masak. Selalunya, ada bilis goreng, telor asin, kangkung goreng belacan dan satu dua lagi lauk sampingan. Tapi kerana tiada kangkung maka Kjee pun decide buat Black Pepper Beef letak capsicum hijau dan kuning. Itu jer kaler yang ada.



Black Pepper Beef with Capsicum

Sichuan Stir Fry Chicken

Ikan bilis/bawang putih/cili padi



Kemudian terfikir pulak nak buat Sichuan Stir fry Chicken. Nanti bolehlah UnclePali makan sebab dia tak makan daging.

Kjee ada buat telor asin dua minggu lalu. Dah cukup matang dah. Telor itik Kjee beli dari LubukMas Farm milik Khairani Dato Hj Khalid. Telor dia memang sangat segar dan elok. Nak order boleh mesej dia di 0123397192.

Last sekali Kjee goreng ikan bilis, bawang putih dan cili padi. Goreng sampai garing dan gaul. Tak lengkap hidangan kalau tak ada bilis goreng. Ada orang letak kacang. Kjee tak berapa suka.

Maka itulah kejadian lunch semalam. Nadia makan dua mangkuk untuk lunch dan satu mangkuk untuk dinner. Kjee makan bubur sikit jer tapi ratah banyak lauk. Hehehe.

Kalau korang nak makan Teo Chew Porridge sedap di Bukit Jelutong, Shah Alam, sila ke Misicafe milik penyanyi Datin Ramziela. Teo Chew Porridge dia bukan sahaja sedap tetapi presentationnya sangat cantik. Sila ke page FB beliau Misicafe and Shoppe. Kalau ke sana, kemsalam kat beliau. Dah lama Kjee tak terjah ke situ.