Thursday, July 20, 2017

RENDANG AYAM CILI API VERSI ORANG KOLUMPO









            Walaupun tak berapa sihat tetapi apabila tengok foto Rendang Cili Api lalu di newsfeed facebook, tiba-tiba teringin pulak nak makan. Last makan dua minggu sebelum Ramadhan di Zaini Salai House, Ulu Bendul, Negeri Sembilan. Rendang dia orang diletak jugak ulam pegaga. Sedap sangat.

            Jadi kerana keinginan yang tidak dapat dibendung itu, Kjee ajak UnclePali beli ayam kampung. Tapi yang dihajat tak ada jadi beli sahaja ayam yang baru disembelih. Biasanya Kjee beli di Ayam Mas tapi ayamnya terlalu lembut. Macam anak ayam.

            Dan untuk resipinya, Kjee pun google. Beberapa hari lepas ada satu hamba Allah telah post resipi di FB. Dinamakannya Rendang Ayam Cili Padi. Teruk juga dia kena hentam. Rata-rata marah sebab resipi itu kononnya bukan Rendang Cili Padi Nismilan yang ori. Kelakar sangat sebab orang tu tak letakkan pun resipi itu sebagai Rendang Nismilan so kenapa orang Nismilan nak emo.

            Justru Kjee letak lauk ini sebagai Rendang Ayam Cili Api. Nak tengok ada tidak yang menghoyan nanti. Hehehe.

            Dalam banyak-banyak resipi yang Kjee google, bahan asas sama iaitu ayam, cili api, bawang merah, bawang putih, serai, kunyit hidup, halia dan lengkuas. Ada yang letak kerisik dan ada juga yang letak ketumbar dan jintan manis. Hmmm kalau letak ketumbar dan jintan manis, macam Gulai Pahang.

            So Kjee letak semua yang asas seperti diatas dan juga kerisik. Ada satu orang dulu pernah sindir kononnya kalau tak letak kerisik bukan rendang katanya. Itu masa Kjee buat Rendang Kelantan lah. Ehh suka ati kitalah nak letak apa. Yang nak makan kita kan?




kerisik




            Kjee kisar semua bahan yang diatas tadi tanpa ketumbar dan jintan manis. Oleh kerana Kjee guna ½ ekor sahaja ayam, maka  Kjee letak lebih kurang 40 biji cili padi kampung yang warna hijau. Tak pedas sangat macam yang Kjee makan di Zaini Salai House dulu. Kjee trrrrr juga 5 biji bawang merah, 3 ulas bawang, putih, sedikit halia, kunyit hidup dan sedikit lengkuas. Tiga batang serai diketuk-ketuk.

            Kemudian Kjee tumis bahan-bahan tadi bersama serai, sehingga naik minyak baru masuk ayam dan kecutkan. Pastu letak sedikit air dari perahanan kedua kelapa. Lebih kurang setengah cawan. Setelah air itu hampir kering, Kjee masukkan satu mangkuk santan pekat dari sebiji kelapa. Rendidih sehingga hampir kering. Jangan lupa letak satu asam keping dan garam serta sedikit gula serta dua helai daun limau purut yang telah diramas-ramas.

            Apabila sudah hampir kering, masukkan satu sudu kerisik. Kalau tak letak kerisik pun okay. Kita yang buat dia. Tetapi kerana Kjee rajin semalam, Kjee buat ler kerisik. Sebelum padam api, masukkan sehelai daun kunyit yang telah dimayang halus. Gaul hingga rata.

            Hajat hati nak makan dengan lemang tapi masa tu UnclePali dah pergi kerja. Jadi Kjee tanak pulut dan makan lah dengan Rendang Ayam Cili Api tu. Punyalah seronok apabila UnclePali makan malam tadi dan puji sedap.

            Lain kali kalau buat, Kjee nak letak ulam pegaga macam di Zaini Salai House. Dan letak lebih banyak cili padi. Kalau tak cukup pedasnya, tak gunalah menggelarnya rendang cili padi kan? Hehehe.



       



1 comment:

  1. yummm..sedapnya..nak try ler. tp kalau pedas alamatnya makan sorang ler kita. kak jee kelantan takder rendang , tak pernah wujud . yg ada keturup..ala2 rendang gitu..tp rasanya lain. pakai rempah kerutup. lani product adabi pun dah ada rempah kerutup/kerutuk, senang nk dpt di mana2 dah

    ReplyDelete