Dari kecik lagi arwah Bonda dah didik kami budaya ucapkan terima kasih. Waiimah tangan kanan kita menerima hadiah atau dihulurkan sekecil manapun barang, mesti diikuti dengan kata2 terima kasih. Budaya ini Kjee telah turunkan kepada Nadia.
Kjee tak tahulah kalau dia perli atau tidak, kalau Kjee mintak misalnya segelas air, dia akan pergi ambilkan dan hulur kepada Kjee dengan ucapan terima kasih. Mungkin dia hendak mengingatkan Kjee supaya ucapkan terima kasih kepadanya. Maklumlah kita ni sebagai orang tua selalu take things for granted. Kalau kita buat anak2, tak mengapa. Tetapi kalau mereka buat, siap ko!!
Anyway, tadi Kjee baca dalam FB seorang rakan yang menghulurkan soalan ini: "Seorang rakan bertanya, "Benarkah ramai suami yang tak tau nak ucapkan terima kasih atas apa yang dilakukan isteri mereka di rumah..?"
Sejauh manakah kebenarannya..?"
Kjee jawab sikit lebih kurang macam ini :"Suami saya tak ucap terima kasih tetapi selalu puji."
Maaflah. Ada orang tak suka budaya puji memuji ataupun budaya terima kasih. Semuanya kerana dia tidak dibesarkan dalam kelompok sepetimana Kjee dibesarkan.
Ingat lagi arwah Bonda kalau buat jamuan untuk kanak2 (misalnya open house di Hari Raya), beliau akan hulurkan duit Raya dan kata :"Apa cakap?" Dan budak2 tu macam sepontan jawab terima kasih nenek or makcik.
Jadi apabila fren FB tadi (opppss nama dia Mazemie Maz, sahabat lama), tulis kat FB dia cam tu, Kjee rasa amat teruja untuk mengulas sedikit sebanyak dalam blog KJjee ni.
Kjee rasa sebilangan besar kaum lelaki dan suami, tidak mudah mengucapkan terima kasih. Selalunya, kaum wanita dan para isteri yang suka mengucapkannya. Dari dulu hingga kini Kjee masih tidak lekang dengan ucapan terima kasih kepada suami ataupun anak seandainya Kjee memohon sesuatu dan mereka segera mendapatkannya.
Unclepali bukan jenis yang sama seperti kelompok Kjee. Beliau jarang2 mengucapkan terima kasih sewenang2nya. Hanya apabila menerima hadiah atau sesuatu barang yang selama ini dinanti2kannya, barulah dia ucap terima kasih. Tetapi, bibir beliau tidak pernah lekang dengan pujian seandainya makanan yang dimakannya menepati seleranya.
Bagi Kjee, itu sudah mencukupi. Kjee tidak pernah mengharapkan lebih daripada itu. Tetapi memang Kjee amat2 bahagia kalau setelah penat memasak, Unclepali makan dengan penuh selera dan habis makan, toleh pada Kjee, senyum dan tunjuk dua ibu jari!
Bagaimanakah kita hendak menerapkan budaya terima kasih di kalangan anak2 kita? Senang jer. Dari usia sekecil setahun, kita harus ajar mereka untuk berkata terima kasih walaupun kalau kita hulurkan botol susu atau puting dia. Biarlah dia jawab dalam bahasa pelat seperti 'Ma cih' atau 'ten kew'. Ini akan membuat mereka secara spontan mengucapkannya apabila dihulurkan sesuatu.
Dan budaya ini akan terus menular hingga ke dewasa. Dan, Kjee yakin dia akan lakukan yang sama kepada anak2nya kelak. Kjee cukup seronok kalau ada anak2 kecik yang Kjee hulurkan sesuatu, akan secara spontan mengucapkan terima kasih. Rasa nak peluk2 dan gomol2 dia.
So, the moral of my entry is, tidak perlu sebenarnya kita bertanya soalan yang diutarakan oleh saudara Mazemi Maz tadi, kalau kita sudah dilatih dari kecik.
Seperkara lagi, salah satu perbuatan Unclepali dan keluarga mertua Kjee yang buat Kjee cukup2 tersentuh ialah budaya berpeluk dan mencium pipi. Ketika Kjee pergi ke kampung Unclepali dan bertemu ibunya buat pertama kali, Kjee terkejut melihat ibunya memeluk Unclepali dan mencium pipi kanan dan kiri.
Kemudian ibu mertua melakukan yang sama pada Kjee. Kjee fikirkan sebagai anak lelaki bongsu dan tunggal, itulah cara ibu mertua Kjee tunjukkan rasa kasih dan sayangnya. Namun apabila Kjee tengok Unclepali mencium tangan kakak2nya dan berpeluk serta mencium pipi kiri dan kanan mereka, barulah Kjee tahu itu budaya mereka yang cukup mengusik jiwa.
Kjee tidak pernah ada budaya seperti itu dalam keluarga Kjee. Alangkah seronoknya kalau didik oleh arwah ayah dan bonda seperti itu.
 |
| Terima kasih Uncle Nahar...Nadia dapat gaji pertamanya jadi pelakon tambahan. RM5! Hehehe |