Wednesday, August 14, 2013

MAJLIS AGAMA ISLAM JOHOR HARUS DICONTOHI!!



JOHOR BARU: Surau di sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi yang diguna untuk upacara keagamaan bukan Islam dijangka diroboh selepas siasatan mengenai kes itu selesai.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadut berkata keputusan mengenai nasib bangunan yang dipercayai dibina dengan kos lebih RM60,000 itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dalam tempoh sebulan.

"Surau itu tidak boleh diroboh serta-merta kerana ia merupakan barang kes dan kini berada dalam pengawasan polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di sini Selasa.

Nooh berkata pihaknya akan mengambil alih siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan dan berdasarkan Seksyen 7A Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 selepas siasatan yang dilakukan pihak polis selesai.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa negeri akan bersidang minggu depan untuk membincangkan kes itu berdasarkan kenyataan serta bukti daripada semua pihak terlibat.

Nooh berkata hasil persidangan itu akan dibawa ke peringkat MAINJ dan disembah maklum kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai ketua agama sebelum dimaklumkan kepada kerajaan untuk tindakan.

"Tempat yang paling suci dan mulia di bumi ini ialah masjid dan surau. Sehubungan itu, masjid dan surau tidak dibenar menjalankan aktiviti agama lain selain Islam dan jika terdapat ada aktiviti agama lain maka surau itu boleh diroboh berdasarkan surah At-Taubah ayat 107," katanya.

Sementara itu, Nooh berkata Sultan Ibrahim menitahkan Jabatan Agama Islam Johor supaya mengeluarkan Pekeliling dalam tempoh terdekat untuk menentukan arah kiblat di setiap pusat peranginan dan hotel di negeri ini.

Beliau berkata Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam pertemuan bersama pihak berkuasa yang mengendalikan kes penyalahgunaan surau di sebuah resort di Kota Tinggi oleh penganut agama lain, di Istana Pasir Pelangi, di sini, Selasa.

"Tujuan Pekeliling ialah supaya semua pengusaha dan pemilik pusat peranginan di negeri ini mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam penyediaan dan pembinaan rumah ibadat sekaligus menentukan arah kiblat supaya tidak wujud lagi masalah kiblat terpesong dan sebagainya," katanya.

Nooh berkata Sultan Ibrahim turut menggesa siasatan berhubung perkara itu dijalankan segera mengikut undang-undang sedia ada. - BERNAMA

2 comments:

  1. Saya bersetuju bahawa Pengurus Resort itu telah mencemar rumah Allah dengan membenarkan penganut agama lain menjalankan ritual agama mereka dalam rumah Allah tersebut.

    Tetapi meroboh bangunan itu atas alasan yang sama amat tidak masuk akal. Bukan salah bangunan tu pun. Bangunan hanya satu ruang yang digunakan untuk pelbagai fungsi. Cuma dalam kes ini yang bersalah adalah orang yang menguruskannya. Bayangkan jika surau tersebut cuma satu ruang dalam satu bangunan yang tinggi, adakah kita akan meruntuhkan keseluruhan bangunan hanya kerana pencemaran yang berlaku. Dalam sejarah islam terdapat banyak gereja di tukar menjadi masjid malah di Turki terdapat gereja yang diubah menjadi masjid dan masih mengekal image Maryam dan Jesus (ditutup dengan kain, sekarang masjid ini dijadikan muzium).

    Apa salahnya bangunan ini dikekalkan, jika tersalah kiblat, betulkan kiblat... jika salah tajwid dalam ayat quran betulkan ayat tersebut. Jika tidak mahu digunakan lagi sebagai surau ... gunakan untuk tujuan lain. Namun merobohkan bangunan yang kukuh yang telah siap adalah satu pembaziran. Perlu diingat pembaziran adalah amalan syaitan yang amat dilarang dalam islam.

    ReplyDelete
  2. this issue invited a lot of unwise intellectual comment.

    as always.

    ReplyDelete