Saturday, October 4, 2014

'NYAWA' SHARIFAH AINI KINI SUDAH DIMILIKI






4 Ogos 2014, Dato Sharifah Aini pergi menemui Penciptanya. Meninggalkan buah hati pengarang jantungnya, Aliff Omar Ali (yang dipanggilnya 'Nyawa') terpinga-pinga kekosongan.

Dan semalam, genap 3 bulan pemergiannya, kekosongan yang ditinggalkan beliau diisi seorang wanita bernama Nur Atirah Syed Azmi. Wanita yang akan sentiasa berada di sisi 'nyawa' allahyarham.
.
Aliff dan Nur Atirah, yang mesra disapa Ira telah diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri dalam satu majlis yang cukup sederhana tetapi meriah. Sesuatu yang, khabarnya, memang sangat-sangat dipohon Aliff. Semuanya harus dilaksanakan dalam serba serbi sederhana.

Itu tidak akan ditunaikan mummy Aliff sekiranya beliau masih hidup. Pasti segalanya akan dibuat dalam skala mega atau grand scale.

Apapun, ramai yang memuji kesederhanaan Aliff. Pasti semua akan mendoakan kebahagiaan mereka hingga ke Jannah.

Majlis resepsi telah diadakan di Shah Alam Convention Centre dengan dihadiri tetamu lebih kurang 800 orang. Semuanya kawan-kawan rapat arwah Bonda dan jugak Ali Bakar, ayahnda tercinta. Tiada persandingan. Hanya sessi foto bersama tetamu.

Antara yang hadir ialah penyanyi DJ Dave, Dahlan Zainuddin, Puan Beh Suat Peng bekas orang kuat EMI, Johari Salleh dan jugak Dato Dr Zainuddin Mohd Zain, doktor peribadi Allahyarham.




Aisyah Durrah adik Aliff 


Sharifah Noor, ibu allahyarham (tengah)


Puan Fatimah Ismail sahabat allahyarham yang membuat perhiasan hantaran


Aishah Ali dan suaminya Ishak Nengah



Sahabat karib allahyarham, Aishah Ali telah memberi sepatah dua kata untuk kedua mempelai. Dibawah ni Kjee siarkan ucapan penuh Aishah.




UCAPAN PERKAHWINAN ALIFF OMAR ALI & NUR ATHIRA SYED AZMI

TARIKH: 04 OKTOBER 2014

TEMPAT: SHAH ALAM CONVENTION CENTRE



Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera kepada semua tetamu yang dihormati.
Pertama sekali marilah kita sama-sama memanjangkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya jua, maka majlis ini menjadi kenyataan.

Pada masa yang sama, marilah kita semua menyampaikan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW, bagi mendapatkan shafaat Baginda, siang dan malam.

Sebelum saya meneruskan ucapan, saya ingin menjemput hadirin dan hadirat untuk bersama-sama membacakan al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini binti Syed Jaafar.

Al – Fatihah.

Amin Amin.... Ya Rabbal Alamin. Semoga Rohnya di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Tuan-tuan & Puan-puan hadirin yang dimuliakan,

Sesunguhnya antara saat paling bahagia bagi ibu-bapa, ialah ketika berlangsungnya pernikahan atau perkahwinanan anak mereka.

Sanak saudara, kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai diundang untuk sama-sama memeriahkan suasana, saperti yang kita lihat pada majlis yang bertuah ini.

Kehadiran Tuan-tuan dan Puan-puan di majlis yang penuh bermakna ini, sudah tentunya amatlah dihargai.

Bagi seorang ibu, tiada saat yang paling gembira, bermula dengan melahirkan anaknya ..... kemudian melihat anaknya itu bertatih ... seterusnya berjalan, mendidik ...lalu melihat anak itu membesar dan secara beransur mengenal erti kehidupan di dunia ini.

Sepanjang masa itu, pastinya ibu akan cuba memberikan sambil mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

Hari ini, kita sama-sama berkumpul memeriahkan majlis ini atas nama seorang yang amat kita sayangi dan hormati, iaitu Biduanita Negara, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini, ibu kepada Aliff.

Namun, Allah lebih menyayanginya. Beliau telahpun mendahului kita semua. 

Walaupun begitu, kita semua tahu bahawa Allahyarhamah telah meninggalkan legasi yang begitu besar....legasi yang pastinya tidak akan terpadam dan tidak akan lenyap begitu sahaja.

Legasi yang beliau tinggalkan bukan sebarang legasi namun penuh dengan kejayaan, kehebatan dan kemasyhuran yang telah sedikit sebanyak menyentuh jiwa kita semua.

Semuanya ini dicapai sambil beliau mengharungi dan menghadapi seribu satu dugaan dan cabaran sepanjang hayatnya.

Sepanjang hubungan saya dengan Allahyarhamah, beliau sering mengingatkan saya walau sehebat mana kita..... walau setinggi mana sekalipun pencapaian kita...., ingatlah segala-galanya datang dari Allah SWT.

Sikap arwah yang sentiasa merendah diri, bersyukur dengan setiap satu yang diberikan Allah kepadanya, sikap pemurahnya...... kini hanya tinggal dalam ingatan...hanya dalam memori.

My dear Aliff,

Tahniah Uncle Ishak dan Auntie ucapkan kepada Aliff dan juga kepada Nur Athira. Sekarang Mami telah tinggalkan Aliff untuk meneruskan perjuangan hidup di dunia ini.

In Shaa Allah di Jannah nanti, Aliff dan Mami akan bertemu kembali.

Aliff, teruskanlah kehidupan dan layarilah bahtera perkahwinan ini dengan penuh keyakinan dan seribu satu kemanisan.
Aliff amat bertuah sekali kerana bersama Aliff sekarang, adanya seorang insan lain yang akan melengkapkan hidup Aliff. Begitu juga Ira .... you now have Aliff as your pillar of strength.

Ira, Auntie yakin, Ira akan menjadi isteri mithali.

Legasi yang Aunty katakan tadi ...... legasi yang Mami Aliff tinggalkan...... Auntie berdoa dan harapkan agar Aliff dan Ira peliharalah sebaik mungkin, ya Nak?

Doa kami semua, mengiringi Aliff dan Ira.

Tuan2 dan Puan2 yang dirahmati Allah sekelian,

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli keluarga, sahabat handai dan krew pengelola majlis perkahwinan ALIFF & IRA pada hari ini.
Segala penat lelah dan pengorbanan masa dan tenaga yang diberikan, hanya Allah Taala sahaja yang layak membalasnya.

Akhir kata....


Bunga sakura si bunga Jepun
Ditanam nyonya berpohon-pohon
Tersilap tersalah harap diampun
Terkasar bahasa maaf dipohon


Sekian…terima kasih.


Wabilahi taufik walhidayah wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh…
  

0 comments:

Post a Comment