Saturday, March 20, 2021

kuih muih

INTI KELAPA MANIS

     Selama ini, Kjee tak berapa gemar sangat inti kelapa manis. Tetapi dek kerana ia favourite UnclePali, terpaksalah jadikan fav kita juga. 
     Sebenarnya untuk mendapatkan inti yang sedap, kelapanya harus muda dan opkos mesti kelapa parut bahagian putih sahaja. 
     Tetapi kat KL ni susah sangat nak dapat kelapa yang muda, jadi terpaksa redho guna kelapa yang ada. Banyak beza rasa antara yang tua dengan yang muda. Yang muda lebih lemak. Ehhh maksud Kjee, kelapa. 🤭
     Kjee masak tadi ikut naluri. UP suka terlajak manis sikit. Tetapi dek kerana Kjee diabetic, makan nanti sikit aje lah. 
     Biasanya kalau buat Inti Kelapa Manis, Kjee seringkali buat Pulut Inti atau Kuih Dadar. 



     Tadi dari sebiji kelapa parut, Kjee keluarkan satu cawan. Kemudian Kjee sukat 2 cawan setengah gula merah dan masak guna dua cawan air. Gula merah ini yang jenis timbang. Kalernya lebih gelap. 
     Masukkan dalam periuk itu sehelai daun pandan. Masak sampai tinggal separuh. Kemudian ditapis. 
     Masukkan kembali gula itu ke dalam periuk, buang daun pandan dan campurkan kelapa parut. Gaul hingga rata. Letak secubit garam. 
     Masak guna api perlahan sehingga hampir kering. Kjee bancuh dua sudu teh tepung jagung dengan dua sudu air. Tuang dalam periuk berisi kelapa tadi, besarkan sedikit api dan kacau pantas-pantas. Ini untuk pekatkan sedikit inti disamping buat ia berkilat. Sejukkan. 
      Dah sejuk gunalah untuk buat apa sahaja kuih pilihan hati. 
     Tadi Kjee buat lagi Kuih Bom. Tapi kali ini buat kenit-kenit sebesar bola ping pong. Semestinya guna inti kelapa sebab fav UP. Tiap kali gi bekfes, dia mesti cari Kuih Bom. Kalau inti kelapa, senyum tak henti-henti. 









Thursday, March 18, 2021

sambal

SAMBAL HITAM PAHANG


     Ini sambal legend orang Pahang. Walaupun suami kita orang sana tetapi kita tak berani terai buat sebab orang Pahang sensitif cara pembikinannya. Kjee pernah kena kecam dulu masa cuba2 buat. Lepas tu serik!
      So apabila nampak cara ekspres yang dibuat Habib Izzah, minggu lepas, terdetik semula hati ini nak terai. Lantaklah kalau kena kecam lagi.
      Masa Kjee suruh UnclePali pergi amik Belimbing kat kebun kawan dia pagi tadi, dia baru cerita menantu kakak dia ada buat jual. Dia duduk Bentong. Tapi tak boleh pulak nak rentas negeri, rasa.
      Resipi Habib Izzah mudah sangat. Bahan yang dia guna, belimbing, bawang besar, ikan bilis, cili padi dan cili hidup. Jumlah bahan2, agak2 ler katanya. Orite. 

      Since Kjee guna dekat 1 kilo belimbing, bawang besar 3 biji, segenggam besar ikan bilis, 7 biji cili padi hijau, 5 biji cili padi Bangla dan dua biji cili merah. 
     Mula2 bersihkan belimbing. Cuci dan tos. Bawang dan ikan bilis dikisar. Lepas itu panaskan minyak dalam kuali. Dah panas, masukkan bahan kisar tadi. Tumis sampai agak kering. 
     Kemudian blend cili sampai halus. Kjee campur dengan lima enam biji belimbing sebab tak letak air masa blend. 
Kalau banyak air, lambat pulak kering. Dah halus Kjee tuang dalam kuali tadi. Kacau rata. 
     Pastu blend pulak belimbing. Tak payah letak air juga. Guna mode pause. Tekan sekejap2 butang pause tu sampai semua belimbing dah hancur. Tak payah halus sangat. Kemudian campur semua bahan dalam kuali dan kacau rata. 
      Guna api sederhana untuk masak sehingga kering. Habib Izzah kata setengah jam. Agaknya itu terpulang kepada banyak mana bahan. Kjee masak sejam lebih sampai warna bertukar jadi hitam dan bahan semua kering. 
     Dah masak baru Kjee adjust letak garam dan sedikit gula. Siap. 
     I got no one to be my judge. Entah sukses entah tidak. But I like. Tak lah pedas sangat. Mungkin kalau terlajak pedas, sedap. 



    
     

Wednesday, March 17, 2021

pembuka selera

KERABU MANGGA MUDA



    Tetiba aje teringin nak makan. Tapi pagi tadi hampir-hampir kecewa sebab mangga yang beli seminggu lalu dah masak. Tetapi kerana tak nak bawa rasa kempunan sampai ke petang, pujuk UnclePali beli mangga lain. 
     Dan inilah kejadian tadi. Kerabu Mangga yang sedap banget. Plan nak letak kacang gajus tapi terlupa nak panggang kacang tu. Ahhh apapun, tak kesah lah kan. Kita yang buat dia. 
     Kjee buat Kerabu yang simple sangat. Ricik-ricik mangga, hiris bawang dan cili padi. Kemudian buat sosnya iaitu jus limau kasturi, sedikit gula dan garam. Gaul sehingga gula larut, curah atas mangga yang telah bercampur bawang dan cili padi. 
    Itu aje. Time nak makan, campurkan pula ikan bilis yang telah digoreng garing. Siap! 




Tuesday, March 16, 2021

kudapan

GARLIC POTATOES WITH CHEESE DIP


     Garlic Potatoes bukan sahaja sesuai untuk bekfes tapi bila-bila masa aje lah. Punya lah sedap, Kjee boleh makan tiga kali sehari. 😁
     Kjee pernah buat bersama Lamb Chops. Perghhh teringat nak buat lagi tapi tak berani, sebab my country everyday so hot! So, lamb lamb, go away. 😂
     UnclePali beli 4 biji Russet Potato kat Hero Market dua hari lepas. Nak buat Garlic Potatoes semalam, tertangguh. Pagi ini lepas Subuh macam tak berapa rajin.
     Tetapi apabila ke dapur sediakan bekfes my babies, ternampak Russet Potatoes. Hmmmm rajinlah juga diri. Then terpandang Cheese Powder kat dalam peti ais. Yezzzaaa buat Cheese Dip!

      Kembanglah balik bodi yang baru nak kecut. 🤭
     Resipi untuk Garlic Potatoes, korang klik SINI ya. Tapi kali ini Kjee sagat bawang putih dan gaul sekali dalam adunan tepung sebelum digoreng. 
     Cheese Powder tu Kjee beli kat kedai jual bahan-bahan bakeri. Kat Shopee pun ada. Cuma curah air suam aje dalam mangkuk bersama satu dua sudu serbuk tu. Letak air sedikit demi sedikit sambil kacau.
      Pastu curah atas Garlic Potatoes yang siap goreng. Atau buat celup or dip. Sedap gua cakap lu.
     Kalau tak ada Russet Potatoes, kentang apapun boleh lah. Ala kita yang buat dia. 

Monday, March 15, 2021

mi/mihun/kwayteow

KWAY TEOW LADNA




     The best Kway Teow Ladna yang Kjee pernah makan ialah di Restoran Mahbub, Bangsar. But that was many years ago. Sekarang dah tak ada kot. Lama dah tak ke sana.
     Malam tadi, Kjee tak selera makan
So ajak UnclePali pergi cari Kway Teow Ladna. Tak tahu nak makan kat mana. Rest Ali Tomyam yang selalu kami singgah dah tutup sejak PKP.
      Dalam menilau cari, singgah kat satu gerai di foodcourt belakang EON sebelah Asrama FELDA di AU2, Keramat. Tunggu dekat 25 minit. Taklah sibuk mana pun gerai tu. Tetapi apabila my Ladna sampai, selak sana selak sini tiada rencah. Hanya ada sayur. Mungkin tukang masaknya vegetarian kot. Kalau bukan vegetarian, naper tak ada rencah protein? 🤭
     So, seperti biasa hari ini google cari resipi sebab Kjee tak pernah buat sebelum ini. Mujur ada udang dan sotong, dalam freezer. Juga ada carrot, cauliflower dan brokoli. Hanya perlu beli kway teow.
     So Kjee bersihkan udang dan sotong. Potong sotong, udang dibuang kulit tengah. Kemudian simpan balik dalam peti ais. Sayur dicelur seketika supaya tak perlu tunggu lama untuk lembut. Ketuk-ketuk dua ulas bawang putih. 


     Gaul kway teow dalam kicap pekat. Kicap karamel yang tiada rasa, hanya untuk warna. Tetapi kalau tak ada kicap lemak manis pun ok. Jangan banyak nanti masin pulak. 
     Panaskan kuali. Letak sedikit minyak dan goreng seketika kway teow kicap tadi. Kemudian terus dipindahkan ke pinggan hidangan. 


       Tumis bawang putih yang telah diketuk-ketuk tadi ke dalam minyak yang sama. Apabila sudah garing, masukkan sotong dan udang. Letak beberapa titis minyak bijan. Kjee juga letak separuh dari satu kiub ayam. Masukkan juga sayur yang telah dicelur. 
     Apabila sotong dan udang sudah masak, bancuh 1 sudu kecil tepung jagung bersama lebih kurang setengah cawan air. Besarkan api, tuang air tepung jagung kedalam kuali. Kacau sehingga memekat. Rasa. Jika perlu letak sedikit kicap cair atau nampla. 
    Padam api. Curah keatas kway teow dalam pinggan hidangan tadi. Terus makan. Harus juga ada cili padi potong kecik-kecik. Kalau suka taburkan juga sedikit serbuk lada sulah. 


     

Saturday, March 13, 2021

ayam

SUP AYAM UDON


     Since arini Kjee buat sup Ayam, tetiba teringat ada sepeket Udon noodles baki buat Udon Hokkien aritu. So, apa lagi! Kjee curahkan sup Ayam atas Udon tu dan terus makan!
     Kali ini Kjee tak celur dulu Udon tu. Terus curah kuah sup ayam yang mendidih. Lepas itu harus makan dengan sambal Kicap. Baru lah Ummphhhh.
     Sup Ayam itu buatlah ikut resipi masing-masing. Kjee tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga garing. Lepas itu letak ayam yang telah dipotong-potong. Biar kecut ayam tu. 
    Letak 1 kayu manis, 2 bunga lawang dan 2 pelaga. Letak air dan didihkan. Kemudian apabila ayam sudah masak, masukkan carrot dan kentang. Itu cara Kjee buat sup Ayam. Perasa dengan garam dan pak Aji kalo guna.
     Masa nak makan, tabur lagi bawang goreng dan daun bawang. Siap!!


Untuk Sambal Kicap cara orang Johor, sila tengok link SINI. 



Wednesday, March 10, 2021

lauk pauk

SAMBAL IJO UDANG PETAI


     Sambal Ijo, to the rescue! Kjee dah keluarkan udang dan petai. Nak buat sambal tumis. Petai tu beli Sabtu lepas,  keluarkan bijinya dan simpan dalam freezer.
     Pagi tadi, setelah Udang dinyahbeku (defrost) tetiba rasa badan tak sihat sangat. Cek kat peti ais hanya ada Sambal Ijo. Sambal tumis dah habis. Hmmm so decide buat guna sambal Ijo. Alhamdulillah sedap!
     Resipi Sambal Ijo klik SINI.
     Setelah udang dibersihkan (tinggalkan bahagian ekor jer), lumur dengan sedikit kunyit dan digoreng separuh masak. Minyak tak perlu banyak. Keluarkan. Minyak yang sama goreng petai juga, separuh  masak.
     Kemudian panaskan Sambal Ijo dalam kuali sama. Oleh kerana Sambal Ijo sudah lengkap berperisa, tak perlu tambah apa-apa.
     Selepas itu masukkan udang dan petai. Kacau sehibgga mesra. Itu sahaja. Boleh terus dihidang dan makan dengan nasi putih.
     Itulah penting ada Sambal Tumis dan Sambal Ijo yang dibekukan. Berguna di hari malas atau badan kurang sihat.

Tuesday, March 9, 2021

kuih muih

KUIH BOM

     Sejak gagal buat kali pertama dulu, Kjee serik ya amat-amat. Memanglah masa tengok resipi itu dulu, Kjee dah tahu akan meletup-letup masa menggoreng. Tetapi tak sangka meletup macam dalam medan perang! Ewah.
     Kerana itulah, Kuih Bom ini hanya dibeli yang readymade. Maklumlah favorite UnclePali. Tetapi apabila nampak resipi aritu, yang lalu kat my FB newsfeed, excited giler nak try buat. 
     Selongkar pantry, jumpa kacang hijau. So rendam sebelum tidur. Hasrat nak buat guna kacang merah macam tak kesampaian sebab tiada stok. Tetapi bangun pagi ternampak pulak satu peket kacang merah menyorok dalam pantry! Aduhhh next projek lah. 

     Untuk inti kacang hijau, Kjee rebus dalam pressure cooker setelah rendam semalaman. Dah lembut, Kjee masak lagi dalam periuk lain sehingga hampir kering. Kemudian letak gula dan masak lagi sampai kering. Sejukkan dan gentel bulat-bulat. 
     Resipi untuk doh kuih bom ialah 4 cawan tepung pulut, satu cawan tepung gandum, secubit garam dan lebih kurang dua cawan air. 
     Campur kedua-dua tepung dan garam sehingga rata. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh. Uli seketika, sehingga doh jadi licin. Ambil sedikit, buat bulat-bulat dan leperkan. Letak inti dan tutup dengah doh tadi. Bentuk sehingga jadi bulat. Pastikan tidak ada yang bocor. 

 Golekkan dalam bijan. Buat sampai habis. 
     Susun atas dulang. Tutup dengan towel/kain yang lembab. Mesti diperap lebih kurang 3 jam. Ini untuk elak kuih meletup masa goreng. That's the secret, rupa-rupanya! 
     Kjee guna periuk untuk goreng sebab ia guna kaedah deep fry atau kuih teggelam minyak masa digoreng. Api tidak boleh panas sebab bimbang luar masak, dalam tidak. So pepandai adjust api ya. 

     Dan sesungguhnya, setelah penuh sabar tunggu ia diperap, Alhamdulillah langsung tidak meletup masa goreng! Sukanya mokcik! 
     Cubalah buat. Kjee bekukan sebab mudah bila nak makan. Sedap juga selain guna inti kacang merah atau hijau, boleh buat inti kelapa manis. 


Tengok SINI untuk entri suatu ketika dulu. 



Wednesday, March 3, 2021

desserts /manisan

JELI AIR KELAPA MUDA


     Kalau Kjee dah start buat Jeli Air Kelapa Muda, maknanya sekarang musim panasssss. Akibat cuaca panas, otak pun dah jadi tak menentu. Dalam rumah pun pakai sun glasses sebab terlalu silau. Duduk rehat sambil diteman tiga kipas yang dipasang full speed! Serius ni.
     Anyway dah masuk dua minggu kita mengalami musim panas, baru petang semalam Kjee terfikir nak buat Jeli ni. Menilau UnclePali round Melawati cari orang jual kelapa muda. Maklumlah dah lewat petang sangat semalam. Tapi demi isteri dan juga demi tekak dia (oppppssss) dia redah jugak cari. 😂
     

     UP beli 3 biji kelapa muda dan satu peket serbuk agar-agar. Nak ikutkan hati, malam tadi jugak nak projek. Tetapi tak jadi sebab kena sound dengan laki kita. 😆
     So lepas bekfes tadi kita pun mula. UP duduk bersila di lantai dapur, ngerjakan kelapa. Dapat 8 mug air kelapa. Since Kjee nak 9 mug maka satu mug lagi Kjee tambah air biasa. Dibawah ini mug yang Kjee guna. Mug Corelle. 


     Air kelapa plus one tu Kjee letak dalam periuk dan didihkan bersama gula. Ikut suka hati koranglah banyak mana. Kjee tak boleh makan manis sangat so I very the hati-hati letak gula. 
     Sementara tunggu air kelapa plus gula itu mendidih, Kjee susun bekas. 
     Apabila air mula mendidih, masukkan satu peket 10gms serbuk agar-agar. Kacau sampai larut. Perlahankan api, masak dalam 5 minit. Kemudian dicurahkan dalam bekas. 

     Oppps lupa pulak. Isi kelapa tu harus diricik-ricik dan susun dalam bekas, baru dicurah air kelapa plus agar-agar. 
     Sejukkan seketika sebelum di chill dalam esbok. Itu aje. So nak buat ke tak nak ni? 🤔😁
     Oh ya. Tiga biji air kelapa muda tu dapat dalam 19 biji bekas ni. Ada orang jual satu bekas rm2 sekarang. Maklumlah kelapa muda sekarang udah rm5 sebiji. 


    


     

Tuesday, March 2, 2021

chinese food

PAK CHOY OYSTER SAUCE


     Ini aje yang larat Kjee masak hari ini. Tak berani duduk lama-lama kat dapur. Bahangnya macam duduk dalam oven!
     So Kjee suruh UnclePali beli lauk. Sampai rumah, terkejut dia beli Kari Kepala Ikan Tenggiri. Juga sebelah ekor ikan bawal hitam. Juga kari! Berasap lah telinga makan kari dalam cuaca panas lit lit. 
     Anyway Kjee buat Teh O Ais Limau bagi kurangkan kepanasan dalam badan. 
     Kalau ada yang tak tau cara masak sayur Pak Choy ini, Kjee buang selapis sayur itu. Kemudian belah dua jangan sampai terputus setiap belahan. Cuci dan toskan. 
     Ketuk tiga ulas bawang putih. Tumis dalam sedikit minyak hingga brown. Susun sayur. Letak setengah cawan air dan guna penutup kuali. Ini untuk benarkan wap air itu masak sayur. 
     Apabila sayur sudah nampak layu, letak sos tiram. Terbalikkan sayur perlahan-lahan guna sudu. Letak balik penutup kuali selama seminit. Siap. 
     Kalau suka taburkan lada sulah sebelum makan. Itu aje. 
     

Monday, March 1, 2021

chinese food

UDON GORENG ALA HOKKIEN


     Sejak dua menjak ni, Kjee macam allergik dengan Mi Kuning. Kalau makan mesti sakit perut. Apatah lagi kalau tak dapat beli Mi Kuning buatan orang kita. Mi Kuning lain terlalu banyak boric acid. Sampai kuat bau ammonia.
     Dek kerana tekak teringin sangat nak makan Hokkien Mi, terpaksa lah cari Mi Kuning jenis tebal. Rasanya kandungan boric acid rendah sikit. 
    Tetapi susahnya nak dapat. So apabila fren FB, Yastmin syor guna Udon Japanese noodles sebagai ganti, punyalah Kjee excited!
     Hokkien Mee ni actually Mi Kicap. Guna dua jenis kicap iaitu Kicap Cair dan Kicap pekat atau Kicap Karamel. Kicap ini tiada rasa. Cuma untuk hitamkan kuah. Banyak dijual di pasaraya. Dan selain kicap, juga perlu Sos Tiram.
     Protein yang digunakan ikut suka. Boleh guna Ayam, Udang, Sotong atau fish cake. Sayurnya pula boleh letak Sawi ataupun kobis cina. 
     Kali ini Kjee guna ayam dan fish cake. Sepatutnya diguna ayam bahagian dada atau isi bahagian lain. Memudahkan ketika makan. Tulangnya pula diguna untuk air rebusan.  Dijadikan kuah. 

    Oleh kerana first time guna Udon, Kjee agak hati-hati kerana texturenya agak lembut. Kalau guna Mi Kuning tebal, masa memasak untuk melembutkannya dalam 20 minit. Untuk Udon, kita sediakan kuahnya dulu. Kemudian sebelum api dipadam cepat2 masuk Udon, kacau seketika dan hidang. Cara itu, hidangan kita tak menjadi mushy atau lembik. 
     Kalau ikut arahan pada peket, Udon harus dicelur selama 5 minit kemudian tos. Kjee hanya celup 1 minit dalam air panas dan toskan. Dalam satu bungkusan Udon yang UnclePali beli di Hero Market, ada tiga peket yang dipek berasingan. Satu peket untuk satu hidangan. 

     Untuk satu hidangan itu, Kjee ketuk 3 ulas bawang putih, hiris ayam dan juga fish cake dalam jumlah ikut suka. Kjee guna dua tangkai sawi yang dipotong-potong dua inci. 
     Panaskan dua sudu minyak dalam kuali. Masukkan bawang putih. Goreng hingga naik bau. Kemudian masukkan Ayam.   Apabila ayam sudah hampir masak, masukkan kira-kira satu cawan air rebusan tulang Ayam. Kemudian masukkan dua sudu makan sos tiram dan sau sudu besar kicap pekat karamel. Adjust ikut kehitaman yang disukai. Kjee suka letak lebih. 
     Kalau Ayam sudah cukup masak, masukkan sayur dan juga fish cake. Rasa kuahnya. Jika perlu diletak kicap cair. 

     Sudah puas hati dengan rasanya, sediakan campuran dua sudu teh tepung jagung bersama 4 sudu teh air. Kacau hingga tepung larut. 
     Masukkan Udon ke dalam kuah. Gaul rata. Curahkan air tepung jagung. Kacau pantas-pantas. Kalau ada minyak bihan boleh dititis. Apabila kuah sudah pekat, terus hidang dan makan. Sedap dinikmati dengan cili hijau jeruk atau cili api yang telah diletak fish sos. 
     Mudah kan! Pastikan sebelum mula memasak, semua bahan-bahan telah disiapkan terlebih dahulu.