Friday, September 23, 2011

DIBUNUH SEBAB TOLAK AJAKAN SEKS




GAMBAR fail menunjukkan anggota polis menjalankan siasatan di tempat mayat Nurul Awatif dibakar di Jalan Bukit Belacan, Ampang Jaya pada 5 September lalu.


SHAH ALAM – Polis semalam mendedahkan pembunuhan seorang remaja perempuan yang mayatnya ditemui dengan kesan terbakar hampir 80 peratus di dalam semak berhampiran loji kumbahan di Jalan Bukit Belacan 5 September lalu berikutan keengganannya untuk melakukan hubungan seks.
Menurut polis, akibat penolakan tersebut, teman lelaki mangsa yang juga suspek dalam kes itu disyaki cuba memperkosa remaja berkenaan. Suspek merupakan seorang pelajar institut pengajian tinggi awam berusia 19 tahun dari Ukay Perdana, Ampang.
Pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan itu ditahan pada pukul 12 tengah hari, 12 September lalu di Seri Iskandar, Perak.
Ketika ditahan, polis merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil milik keluarga suspek yang didapati mempunyai keterangan-keterangan fizikal seperti rambut yang diyakini ada hubung kait dengan kes bunuh itu.
Siasatan awal ketika itu mendapati, suspek membeli petrol di dua buah stesen minyak di kawasan Ampang Jaya untuk membakar mangsa.
Mangsa dikenali sebagai Nurul Awatif Syakir, 19. Dia merupakan pelajar Maahad Tahfiz Al-Tijarah, Selayang, Gombak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, siasatan pihaknya setakat ini mendapati suspek dikatakan mengambil tindakan drastik untuk membunuh mangsa selepas berang apabila permintaannya ditolak.
Katanya, polis juga telah mendapatkan laporan penuh bedah siasat ke atas mangsa tetapi enggan mendedahkannya sehingga siasatan selesai.
“Sehubungan itu, permohonan kita untuk melanjutkan tempoh reman ke atas suspek telah dibenarkan sehingga 27 September ini bagi membantu polis menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, mayat seorang remaja perempuan ditemui berhampiran loji itu pada 5 September lalu dengan kesan terbakar hampir 80 peratus badannya pukul 1.35 petang.
Sebelum itu, ahli keluarga mangsa membuat laporan mengatakan mangsa tidak pulang selepas keluar pada pukul 8.30 malam sehari sebelum itu dan pengecaman dibuat berdasarkan cebisan baju kurung serta sepasang anting-anting.

3 comments:

AI said...

- dia pergi dlm mempertahankan maruah...moga roh nye aman...

KuNanGKuNanG said...

Alfatihah..smg rohnye dicucuri rahmat.

Anonymous said...

nauzubillah.takutnya..mcm2 hal dunia akhir zaman

happyirfa

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...