Tuesday, September 13, 2011

KLIP BERITA SANA SINI 13 SEPT 2011

Perbezaan gender di universiti boleh jejas program GTP, ETP 

SERDANG: Perbezaan ketara jumlah pelajar perempuan berbanding lelaki di institusi pengajian tinggi (IPT) awam di negara ini dikhuatiri boleh menggagalkan pembangunan sumber manusia terutama dalam menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sumber manusia adalah kekuatan negara dan bilangan pelajar lelaki yang rendah memasuki universiti akan menyebabkan golongan itu tidak dapat memberi sumbangan besar kepada kejayaan dua program berkenaan.
“Pembangunan sumber manusia bergantung kepada ilmu dan kemahiran dan kekurangan pelajar lelaki melanjutkan pengajian ke universiti menyebabkan negara gagal memaksimumkan kepakaran untuk menjayakan GTP dan ETP.

“Sebahagian besar pelajar lelaki (yang gagal melanjutkan pengajian ke universiti) tidak dapat menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan sumber manusia dan ini tidak baik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jelajah GTP dan ETP Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertema `Youth Defined: Shape Our Future’ di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa; Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi dan Pengerusi MyHarapan, Roslan Bakri Zakaria. 
Ketika ini, seramai 1.2 juta pelajar mengikuti pengajian di IPT awam dan swasta dengan majoritinya adalah perempuan, sebagai contoh bagi kemasukan pelajar baru sesi September 2011/2012, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya nisbah ialah 30:70, manakala di UPM pula 33:67. 

Mohamed Khaled berkata, antara langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan jumlah pelajar lelaki di universiti adalah menjadikan siswa lelaki sebagai idola sekurang-kurangnya di kampung kelahiran mereka.

Sebagai contoh katanya, ketika musim cuti semester, pelajar terbabit menjalankan program motivasi kepada generasi muda di kampungnya mengenai kepentingan dan keistimewaan melanjutkan pengajian ke universiti.

“Sebagai idola di kampungnya, pelajar terbabit perlu memiliki ‘daya pikat’ dengan memberi ceramah satu atau dua jam untuk membentuk minat kepada generasi muda lelaki dengan menjadikan universiti sebagai destinasi mereka. Jangan balik rumah hanya duduk dalam bilik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled, berkata KPT akan berbincang dengan pihak universiti untuk memberikan kredit kepada pelajar universiti yang terbabit menjayakan GTP dan ETP sebagai kemahiran insaniah.

Katanya, graduan masa kini bukan saja bergantung kepada ilmu, sebaliknya kemahiran insaniah sangat penting yang meliputi pembabitan luar untuk mencetuskan idea memajukan masyarakat.

“Pelajar boleh masuk ke kawasan luar bandar untuk mengenal pasti sumber ekonomi yang boleh dimajukan oleh masyarakat setempat untuk membebaskan mereka daripada kelompok miskin tegar. Mereka memiliki pengetahuan dan inovasi yang boleh dimanfaatkan masyarakat kawasan itu,” katanya. - Berita Harian

KJEE: SALAH SIAPA?


Henti kenakan cukai perkhidmatan prabayar



KUALA LUMPUR 12 Sept. - Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pengguna yang telah dikenakan caj cukai perkhidmatan enam peratus oleh penjual kad prabayar membuat laporan kepada kementeriannya supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Menurut beliau, keputusan untuk mengenakan caj berkenaan telah ditangguhkan walaupun pada awalnya syarikat-syarikat telekomunikasi bercadang berbuat demikian Khamis ini.
''Saya beri amaran kepada syarikat-syarikat yang menjual kad prabayar itu jangan ambil kesempatan dan jangan cepat sangat hendak mengambil untung. Kepada pengguna yang telah dikenakan caj tambahan boleh laporkan kepada kementerian,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, cadangan mengenakan cukai perkhidmatan itu dilihat amat bertentangan dengan aspirasi kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mengurangkan bebanan rakyat.
"Saya harap semua syarikat telekomunikasi (telco) peka dengan perkara ini dan membuat kajian semula. Sedangkan Perdana Menteri boleh menerima pandangan rakyat, mungkin telco juga boleh melakukan perkara yang sama.
''Apatah lagi, saya difahamkan tidak ada sebarang perbincangan antara telco dengan kerajaan mengenai cadangan itu. Maka perkara itu tidak adil untuk pengguna yang dilindungi oleh kerajaan,'' jelasnya. - UTUSAN MALAYSIA


KJEE: ADA JUGAK YANG CUBA AMBIL KESEMPATAN


Beberapa Jalan Sekitar Ibu Kota Akan Ditutup Mulai Esok
KUALA LUMPUR: Beberapa jalan utama sekitar ibu kota akan ditutup secara berperingkat bermula esok hingga Jumaat sempena sambutan kemerdekaan negara dan Hari Malaysia.
Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP Rusli Mohd Noor dalam satu kenyataan hari ini, berkata bermula esok hingga Khamis jalan akan ditutup dari 8.15 pagi, manakala pada hari Jumaat penutupan jalan bermula pukul 6 pagi.
Penutupan membabitkan Jalan Travers, Jalan Mahameru, Jalan Damansara (Carcosa Seri Negara), Jalan Lembah, Jalan Perdana (Masjid Negara), Bulatan Hishamuddin, Jalan Tembusu, Jalan Cenderasari, Jalan Kinabalu, susur Bukit Aman dan Jalan Raja.
Turut ditutup ialah Jalan Leboh Pasar Besar, Jalan Lebuh Ampang dan Jalan Tun Perak, Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Munsyi Abdullah, Jalan Dang Wangi dan Jalan Mahkamah Persekutuan. - BERNAMA
KJEE: MASUK KL UNTUK HANTAR ANAK KE UNI.

1 comment:

  1. padan muke syarikat prepaid ni..menyusahkan org je!

    ReplyDelete