Tuesday, September 27, 2011

KEADAAN AHMAD JAIS SEMAKIN STABIL

Alhamdullilah. Itulah berita yang baru Kjee terima dari seorang rakan. Katanya beberapa teman artis telah pergi menziarah Datuk Ahmad Jais tadi.

Selain Datuk Ahmad Jais, Kjee difahamkan Datuk Yahaya Sulong (yang Kjee panggil coach) juga tidak berapa sihat. Kjee panggil beliau coach kerana dulu Datuk Yahaya atau Pak Ya telah menjadi coach bolasepak artis wanita. Masa tu Kjee jadi salah seorang pemainnya tau. Hehehe,

Ini berita yang Kjee baca di mStar Online sebentar tadi.


Keadaan Ahmad Jais Semakin Stabil
Datuk Ahmad Jais bersama Ella
PETALING JAYA: Keadaan kesihatan penyanyi veteran Datuk Mohd Jais Ahmad atau dikenali sebagai Ahmad Jais, 75, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Shah Alam dekat sini, Ahad semakin stabil.
Rakan terdekat penyanyi tersebut, iaitu Datuk A.Rahman Hassan yang melawat beliau, Isnin berkata pihak hospital memberitahu kesihatan Ahmad Jais semakin positif dan beransur pulih.
"Apa yang diberitahu doktor kepada saya, keadaan beliau semakin pulih dan tekanan darah juga kembali normal berbanding semalam (Ahad).
"Kemungkinan esok (Selasa) doktor akan membuka alat bantuan pernafasan yang dipakaikan kepada beliau," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
A.Rahman turut meminta agar saudara mara, rakan-rakan dan peminat mendoakan kesihatan penyanyi tersebut agar pulih seperti sedia kala.
"Saya harap peminat-peminat Ahmad Jais mendoakan kesihatannya agar dia boleh kembali untuk menghiburkan kita semula," katanya.
Antara rakan artis yang hadir melawat beliau ialah Salwa Abdul Rahman, Jay Jay, Ramli Sarip, A.Halim dan Fatimah M.Amin.
Ahmad Jais dimasukkan ke unit rawatan separa rapi di pusat perubatan itu pada Sabtu lalu selepas mengalami masalah sesak nafas.
Beliau dikhabarkan mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 September lalu, tetapi sakitnya mula serius pada malam Khamis lepas sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam.
Beliau kemudian dipindahkan ke DEMC awal pagi Ahad kerana mempunyai rekod perubatan di situ.

1 comment:

  1. Alhamdulillah. Moga DAJ kembali sihat. Terkilan dgn sorang blogger "glamer" yang mimpikan DAJ kembali ke rahmatullah dan siap mintak ampun dgn keluarga DAJ kerana mimpinya bakal jadi nyata !

    ReplyDelete