Tuesday, January 17, 2017

ayam

LODEH JAWA DAN LONTONG KERING







      Kalau dah tekak Jawa, pusing tang mana pun mesti nak cari tempe kan? Sebenarnya tempe tak elok untuk mereka yang sakit sendi sebab bahan asasnya kekacang. Kacang soyang. Tapi makan sekali sekala ok lah kot. Kjee makan pun dalam setahun tu, adalah dua tiga kali sahaja. Itu pun tetap sakit-sakit sendi.

      Lauk lodeh kering ini kalau tak letak tempe memang, kata orang, macam tak cukup korum. Kjee buat ni pun, yang mudah-mudah aje. Apa yang ada dalam peti ais.

      Semalam UnclePali pergi Hero Market untuk beli tempe, tahu, kacang buncis dan udang. Mahalnya udang sekarang! Yang tak berapa kasar dah RM36 sekilo. Maklumlah dah dekat Raya Cina. Udang antara bahan wajib untuk menu mereka.  Kali ini, Kjee guna perencah udang sajalah. Selalu letak hati ayam dan pedal. Apabila dah siap masak, baru UnclePali kata kenapa tak letak hati ayam. Ada dalam freezer. Hmmmm.






      Resipi lodeh kering ini atau arwah Bonda panggil Sambal Goreng Sayur, bolehlah korang intai SINI. Dah banyak kali mokcik buat dan tayang kat sini.

      Kalau buat lodeh kering ini, seorang lagi anak Jawa dalam rumah Kjee (Nadia lah sapa lagi), hanya ratah aje. UnclePali tak berapa gemar. Nasib baik lah kan. Kalau tidak, luaklah pulak satu portion lagi.

      Semalam Kjee makan ala-ala Lontong Kering. Ada sambal tumis dan serunding ikan. Sebenarnya, kalau ada Serunding Kelapa dan Kuah Kacang, lagi lengkap. Tetapi apabila intai dalam peti ais, ternampak Serunding Ikan. Hmmm guna itu ajelah. Kelapa parut simpan dalam freezer. Lain kali buat sekali kuah kacang.







Tuesday, January 10, 2017

desserts/manisan

CARI PENYAKIT






Pisang Tanduk dalam foto ni Kjee guna buat pengat diatas




      Memang mencari penyakit. Dua hari dalam seminggu buat pengat atau orang Jawa panggil Kolak. Mula-mula buat Pengat Keladi. Kjee habiskan seorang diri sebab Keladi bukan favorite dalam rumah kecuali kalau digoreng.

      Petang semalam Kjee buat pulak Pengat Pisang Tanduk. Mujur Kjee letak sedikit sahaja gula Melaka. Tetapi manisnya menyengat. Nasib baik kesukaan Nadia so dia tolong perhabiskan.

      Resipi? Masih cooking without a recipe.

      Tapi alahai jangan menyusahkan diri buat guna resipi yang sukar. Kjee jerang aje santan letak gula melaka atau gula putih dan sedikit garam. Guna api sederhana. Apabila santan dah mendidih, masukkan sahaja pisang. Kalau suka letak sagu biji yang telah direndam barang 10-20 minit. Tapi janganlah letak banyak-banyak nanti tak dapat ler hirup kuah.

      Untuk keladi pulak, terserah kepada jenis keladi. Kjee beli Keladi dari Indonesia yang elok empoknya tak perlu rebus lama-lama. Ada orang kukus sahaja. Terserahlah.

      Kenapa Kjee kata cari penyakit? Hmmm mokcik kan ada diabetes. Tapi Alhamdulllilah under control jadi bolehlah makan pengat berpada-pada. Hehehe

Sunday, January 8, 2017

kuih muih

BUAH MELAKA








      Pernah tak korang sakit hati apabila beli Ondeh-Ondeh dan apabila nak makan, kunyah sebiji sampai habis tetapi tidak terasa gula Melaka di dalamnya? Apa perasaan korang? Mestilah sakit hati kan!

      Kerana itulah hari ini Kjee paksa Nadia masak Ondeh-Ondeh atau Buah Melaka petang tadi. Dah banyak kali geram dan naik angin apabila kunyah kuih yang dibeli cukup menghampakan kerana hanya cantik paras rupanya sahaja!

      Bayangkan, kalau orang sebut pasal kuih Buah Melaka atau Ondeh-Ondeh, terus terbayang kat fikiran apabila dimasukkan ke dalam mulut dan kunyah, akan terus terasa gula Melaka yang lemak manis. Kalau semua itu tidak ada, maka mendidihlah darah.

      Anyway, kejadian hari ini buat kami dua beranak cukup puas hati dan senyum sepanjang masa menghabiskannya. Tetapi sebelum itu sudah ketepikan 15 biji untuk UnclePali yang masih belum sampai rumah lagi. Mengamuk dia kalau hanya setakat dengar cerita pasal Buah Melaka yang kami buat tadi. Hehehe. Kuih kesukaan dia tu!







   
   

      Kjee buat hari ini ikut resipi arwah Bonda. Kalau resipi beliau, maknanya macam tak ada resipilah. Main hentam sahajalah labu. Itu cara orang Melaka, kata arwah Bonda yang bapanya orang Melaka. Bonda buat ikut naluri dia. Kalau nak belajar dengan dia, kena perhatikan betul-betul sebab dia tak buat ikut sukatan.

       Kjee hanya guna setengah peket tepung pulut. Letak tepung tu dalam besen atau bekas dan taburkan garam secukup rasa. Kemudian curahkan sedikit demi sedikit air sehingga ia menjadi seketul doh yang tak lekat pada jari dan juga besen. Sepatutnya air itu adalah air daun pandan yang dikisar dan tapis. Tapi Nadia malas nak keluar amik daun pandan. So guna sedikit pewarna Apple Green sahaja. Uli sampai sekata kemudian rehatkan seketika.  





   

     

      Hari ini Kjee guna setengah biji kelapa parut (putih sahaja) yang tidak berapa remaja yang telah dicampurkan dengan sedikit garam dan dikukus seketika. Kenapa Kjee kukus sedangkan itu bukan amalan Bonda? Sebab nanti ada yang kata kenapa tak kukus sekejap? Kononnya kalau kukus tak basi. Hmmm Kjee ikut sahaja walaupun Kjee tahu kuih itu tak sempat basi sebab habis sebaik sahaja ia siap. Hehehe.

      Satu kemestian untuk jadikan kuih ini sedap ialah mesti ada gula kabung atau gula Melaka yang ori. Susah nak cari sekarang, Jenuh jugak Nadia mencari tadi. Akhirnya terpaksa beli gula Melaka yang tak ori. Tetapi nasib kami baik apabila sampai rumah, Nadia geledah fridge dan terjumpa gula Melaka yang ori! Entah bila beli tak tahu.

      Cara buat, Kjee rasa semua dah tahu. Ambil sedikit tepung, bulatkan dan leperkan. Letak seketul kecik gula melaka dan tutup hingga menjadi bebola. Kemudian masukkan ke dalam periuk berisi air yang tengah mendidih. Apabila sudah timbul, maknanya dah masak. Ankat sebiji demi sebiji dan golekkan ke dalam kelapa.

      Senang buat kan? Makan lagi senang dan cepat habis tau!

      Selamat mencuba.





Saturday, December 17, 2016

kuih muih

POPIA GORENG INTI SENGKUANG DAN AYAM







Seronoknya kalau teringin nak makan, tetiba terajin pulak nak membuatnya. Ala kalau yang senang-senang nak buat bolehlah kan! Kjee sekarang bukannya sihat sangat.

Since hari ni hari Sabtu, senanglah Kjee nak buat sebab ada Nadia membantu. Intinya Kjee buat guna sengkuang dan ayam sahaja. Sengkuang tu dulu Kjee selalu sagat tapi my aunty kata kalau sagat, airnya habis mengalir keluar. Air yang manis tu. So lebih elok dihiris nipis-nipis dan julienne atau potong macam batang mancis. Kjee guna isi ayam bahagian dada yang juga dihiris nipis.

Kemudian tumis tiga ulas bawang putih dalam minyak jagung. Tak payah letak banyak minyak sebab popia yang sudah siap nanti nak kena goreng balik. Lepas tumis sampai bawang putih wangi, masukkan ayam dan goreng selama lebih kurang 7-8 minit. Kemudian masukkan semua sengkuang tadi. Letak lebih kurang dua sudu besar sos tiram serta sedikit serbuk lada hitam. Masak sehingga inti kering. Kemudian baru rasa. Letak garam secukupnya. Sejukkan.

Bentangkan sehelai kulit popia atas pinggan dan letak lebih kurang 1½ sudu inti tadi. Digulung kemas dan lekatkan dengan sedikit tepung jagung yang telah dicampur sedikit air. Jadikan sebagai gam. Kalau lekatkan dengan telor pun ok.

Buat sampai habis dan goreng guna apa yang sederhana panas panas hingga cantik warnanya. Kemudian tos minyaknya atas tisu dapur.

Oleh kerana inti tadi sudah cukup rasa maka tak perlu makan dengan sos cili. Kalau nak makan dengan sos cili, kurangkan sedikit sos tiram dan garam.

Kjee buat banyak-banyak popia ini dan bekukan.

Juga ada DISINI.






Tuesday, December 13, 2016

kuih muih

KARIPAP INTI DAGING DAN TELOR REBUS




Kalau Kjee sibuk, Kjee suka simpan stok home made curry puffs. Tak suka beli makanan sejuk beku sebab banyak kandungan preservatives (pengawet) yang tidak diketahui.

Semalam setelah berbulan-bulan, akhirnya berjaya juga buat karipap ini dengan bantuan Nadia. Dia yang rajin kelim karipap. Tapi dia bebel jugaklah semalam sambil buat kerana katanya kurang practise. Justeru tak molek sangat. Hehehe dia tak tahu Mama dia buat lagi hancus!

Kjee plan nak buat karipap Gergasi ala Kuala Selangor tetapi letak telor rebus satu potong ala Ikea. Kononnya lah! Tetapi bila dah siap, taklah giant sangat. Tetapi kalau makan sebiji ni memanglah kenyang banget... for me lah tak tahu korang.








Dah siap semuanya, Kjee susun atas loyang dan bekukan lebih kurang setengah jam dalam freezer. Selepas itu baru Kjee susun dalam bekas. Kalau dah beku, longgokkan dalam satu plastik dan bekukan pun ok. Bentuknya tak rosak. Kalau buat cara ini tak payah goreng separuh masak baru dibekukan.

Semalam Kjee letak juga telor rebus, Kjee potong empat telor tu. Tapi ada jugak yang Kjee letak ½ biji telor. Sukatilah... kita yang buat dia.

Sorry Kjee tak ada foto yang sudah goreng. Kalau Kjee goreng nanti Kjee upload foto tu ya.

Untuk resipi, KLIK SINI.


Sunday, December 11, 2016

daging

ASAM PEDAS TULANG RUSUK






Akhirnya, setelah berbulan 'bertapa', Kjee sudah keluar dari pertapaan. Berapa bulan hah? Entahlah tak pasti tetapi rasanya sejak Julai lalu. Or was it August? Whatever.

Tetapi ini tidak bererti Kjee akan kembali masak hari-hari. Masih ada tugasan yang belum selesai. Kjee tengah tunggu Januari ini untuk mula menjalankan tugas yang telah Kjee buat sejak beberapa bulan lalu. Ada dua buku sedang menunggu untuk kerja terjemahan.

Anyway, Asam Pedas Tulang Rusuk ini dimasak oleh Nadia, anak dara kita, Kjee hanya pantau sahaja dia memasak. Kjee puji dia buat kerja macam lipas kudung. Macam cara Kjee jugak. Hehehe sapa nak puji kan kalau bukan ibu sendiri.

Kjee dah teringin nak makan Asam Pedas Daging Tetel sejak minggu lepas. Tetapi, kemudian terfikir pulak kalau guna tulang rusuk lembu mesti sedap kan? Kjee terus pergi booking tulang rusuk dari gerai daging segar bawah pokok seberang jalan dari Taman Permata. Dekat sangat dengan rumah Kjee.

Pagi tadi selepas sarapan, terus pergi amik. Dapat 1.2kilo dengan harga RM35. Sampai rumah Nadia terus bersihkan, cuci dan masukkan dalam pressure cooker lebih kurang 25 minit. Kemudian dia buat pes Asam Pedas.

Sementara menunggu tulang rusuk itu siap direbus (dagingnya terlerai dari tulang), Nadia tumis pes Asam Pedas. Apabila sudah cantik garingnya, dia menuangkan semua tulang rusuk bersama airnya. Didihkan, letak daun kesom, serai dan air asam Jawa. Perasa dengan garam dan sedikit gula.

Selesai masak dan rakamkan foto, terus sambar garlic bread yang Kjee buat sementara Nadia sedang masak dan makan. Sedapnya makan asak pedas tulang rusuk ni dengan Garlic Bread. Ada lagi cukup untuk dinner kami tiga beranak nanti.

Resipi penuh Asam Pedas, KLIK SINI dan Garlic Bread DISINI.





Tuesday, November 22, 2016

kisah menyayat hati

SITI FATIMAH YANG TAK PERNAH KULIHAT





Assalammualaikum. Dah lama tak singgah dan update. Kjee sibuk sangat sejak Ogos lalu. Dan kemungkinan akan terus sibuk sehingga entah bila. Ada beberapa buku sedang menanti untuk Kjee terjemah. Satu buku ambil masa lebih kurang tiga bulan.

Tetapi isu terbaru mengenai sepasang suami isteri yang dikatakan 'menculik seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan' di sebuah hospital di Kelantan, begitu menyentuh perasaan. Ada kaitan cerita itu dengan Kjee. Eh taklah...Kjee tak bersekongkol dengan pasangan itu tetapi kisah mereka kehilangan anak dan bertindak diluar jangkaan itu, cukup Kjee fahami.

Kjee pernah kehilangan seorang seorang anak lebih kurang 30 tahun lalu. Baby yang tidak sempat Kjee tengok kerana dia tidak dilahirkan hidup. Meninggal dalam perut ketika usianya lebih kurang 8½ bulan. Sudah cukup sifat dan seorang anak perempuan.

Ketika mengandungkannya, Kjee langsung tidak mengalami sebarang komplikasi. Tidak seperti abangnya. Pergerakannya lembut justeru Kjee syak dia anak perempuan.

Satu petang, nak dijadikan cerita, Kjee telah ke Hotel KL Hilton untuk tugasan pelancaran album Sudirman. Ketika hendak pulang, Sudir bergurau dengan Kjee sambil mengusap perut Kjee.

"Jee, kalau anak lelaki, boleh tak namakan dia Sudirman?"

Kjee ketawa. Susah hendak sempurnakan hajat beliau. Besar dan berat nama tu nak dipikul kata Kjee kepada Sudir. Kemudian, Kjee pun turun ke bawah sebab suami Kjee sudah sedia menunggu.

Sampai di kereta, tetiba sahaja Kjee bukak mulut kepada suami minta pergi ke klinik. Kenapa, tanya dia? Saja nak scan baby sebab hari tu, dia baik sangat.

Sementara suami park kereta, Kjee masuk ke klinik Dr Idris Ahmad, gynae Kjee sejak baby pertama. Beliau buat pemeriksaan dan Kjee minta dia scan tengok jantina baby. Dr Idris ambil stethoscope, letak pada perut Kjee dan angkat kening. Dia buat dua tiga kali. Kemudian dia tanya mana suami Kjee. Ketika itu, suami masuk dan duduk.

"I can't find the baby's heartbeat (saya tak dapat kesan degup jantung baby)..."

Kjee pucat. Pandang suami. Dan setelah scan, Dr Idris confirm baby Kjee sudah tidak bernyawa! Sudah dua hari, rasanya kata Dr Idris! Beliau merasakan baby Kjee mungkin ada masalah jantung... jantung berlubang. Tak perlulah cerita apa terjadi pada kami suami isteri selepas dengar berita itu.







Kami pulang sebab Dr Idris beritahu, bayi itu hanya akan dikeluarkan esok hari.

Dan semalaman Kjee tak tidur. Menangis mengenang nasib yang menimpa. Menangis memikirkan baby sudah tidak bernyawa...

Esoknya kami ke klinik Dr Idris di Taman Tun Dr Ismail. Kjee diberi ubat untuk membuat baby itu keluar. Seharian tiada apa-apa tanda dan apabila Kjee kesakitan, nurse beri pelbagai ubat dan dadah untuk menahan sakit tetapi baby tetapi tidak menunjukkan tanda hendak luar. Kalau baby sudah tidak bernyawa, ibu memang tidak akan terangsang secara natural untuk keluarkan baby. Kjee tak tahu apa plan Dr Idris tetapi rasanya Kjee kena tunggu lagi.

Esoknya, selepas Subuh, Kjee terasa seperti baby hendak keluar. Kjee panik dan panggil nurse. Doktor belum sampai. Nurse kata baby sudah hampir nampak kepalanya tetapi tersangkut tidak boleh keluar! Doktor datang sejak kemudian dan baby ditarik keluar.

Suami Kjee nak bawa baby balik untuk dimandi, kapan dan kebumi. Dia membawa baby kepada Kjee dan suruh tengok. Mak pesan suruh tengok, katanya. Tetapi Kjee terlalu sedih dan menyuruh dia keluar tanpa melihat baby! Melihat Kjee hanpir hilang akal dan menangis, dia terus keluar.

Mak cerita, baby cukup kecil tetapi sudah cukup sifat. Apabila dikapankan, seperti lepat pisang! Kami menamakan dia Siti Fatimah mengikut nama anak Rasullullah SAW.

Kjee pulang esoknya dan berpantang seperti biasa. Mak kata Kjee berubah dari seorang periang menjadi pendiam. Apa yang Kjee ingat hanya Kjee mahu cepat mengandung kembali. Nak cepat dapat pengganti Siti Fatimah.

Setiap kali keluar dengan suami ke shopping complex atau supermarket, mata Kjee liar tengok babies. Ada satu hari Kjee nampak seorang baby dalam pram. Ibunya leka tidak jauh dari situ memilih barangan. Kjee terus jalan berhampiran baby dan menolak pram tersebut. Suami Kjee mengejar Kjee. Pada Kjee semua baby yang lalu depan mata adalah Siti Fatimah!

Bonda bawa Kjee berubat secara tradisional dan Kjee kembali pulih tetapi Kjee tak ingat berapa lama proses pemulihan itu. Tetapi rasanya dua tahun kemudian setelah Kjee mendapati Kjee mengandung sekali lagi!






Kehamilan kali ini Kjee jaga bagai menatang minyak yang penuh! Nadia jugak tidak banyak meragam dalam proses Kjee mengandung. Itu yang buat Kjee selalu panik dan seringkali ke klinik untuk cek degupan jantungnya. Tiap kali doktor ketawa dan kata mungkin dia sedang tidur!

Tiada apa yang aneh berlaku ketika sedang membawa Nadia sepanjang kehamilan. Cuma doktor scan dan kata baby itu boy! Dan bidan jugak kata Kjee bakal dapat Hero!

Begitulah pengalaman yang Kjee lalui. Dan Kjee faham sangat perasaan pasangan yang menculik bayi tersebut. Kemurungan yang dilalui wanita muda itu lebih dasyat lagi sehingga suaminya sanggup melakukan sesuatu yang berbahaya.

Kjee mendoakan agar pasangan itu tidak dikenakan hukuman menculik kerana ia sangat berat. Kjee rasa dalam lingkungan 20 tahun dan sebatan. Mereka lebih memerlukan pemantauan dan kaunseling dari seorang pakar psikologi. Kemurungan wanita itu harus dirawat segera sebelum kejadian yang lebih berat, menimpa.

Setiap kali solat, Kjee tidak putus-putus doa buat Siti Fatimah. Kjee sangat-sangat menyesal kerana tidak menatap buat kali terakhir wajahnya. Kalau dapat bertemu dalam mimpi pun, Kjee sangat-sangat mengharap...

Al Fatihah.

TERKINI:

PASANGAN MUDA YANG TERBABIT DALAM KES CULIK ANAK DI HOSP KELANTAN, TELAH DIDAKWA SEMALAM. MEREKA TIDAK MENGAKU BERSALAH DAN DIKENAKAN IKAT JAMIN RM10,000 SEORANG. HUKUMAN 7 TAHUN PENJARA ATAU DENDA ATAU KEDUA-DUANYA SEKALI MENANTI SEKIRANYA SABIT KESALAHAN,








Monday, September 12, 2016

isu semasa

TAHNIAH TAHNIAH TAHNIAH



isu semasa

SALAM AIDIL ADHA


Wednesday, September 7, 2016

isu semasa

KJEE MASIH DI SINI



Dalam Kjee sibuk dengan kerja yang Kjee sedang lakukan sekarang, baru Kjee perasan sudah lama Kjee tak update blog Kjee ni. Subhanallah, bukan sesuatu yang disengajakan tetapi sesungguhnya Kjee juga tiada masa untuk diri sendiri!

Dengan kesihatan yang tidak menentu (semuanya berkisar di sekitar sakit kaki dan lutut), Kjee gagahkan diri untuk meneruskan kerja yang telah diamanahkan. Sebenarnya bukanlah kerja lain daripada apa yang Kjee pernah lakukan sebelum ini. Tetapi kerja ini adalah antara kerja-kerja yang sangat Kjee minat sejak dari Kjee remaja.

Kjee telah dapat job terjemahan buku. Buku seorang Tokoh terkemuka negara. Kjee pernah berdamping rapat dengan beliau semasa Kjee mula-mula menjadi wartawan dulu. Kemudian setelah beralih angin menjadi wartawan hiburan, silaturrahim antara kami terputus. Tetapi Kjee seringkali mengikuti perkembangan beliau di dalam negara dan peringkat Antabangsa.

Apabila beliau muncul dengan buku pertama beliau baru-baru ini, Kjee telah dipertanggungjawabkan untuk mengalih bahasa. Mulanya Kjee tidak berani menerima cabaran tersebut. Tetapi setelah diyakinkan suami, anak dan juga sahabat-sahabat yang rapat dengan tokoh tersebut, maka bermulalah kembali episod Kjee menjadi Penterjemah.

Buku setebal 410 mukasurat itu telah Kjee janjikan untuk siap dalam tempoh dua bulan. Seorang sahabat Kjee yang juga pakar dalam bidang editing, membantu Kjee membuat kerja-kerja suntingan. Kjee berharap dapat menyiapkan semuanya dalam masa kurang dari 60 hari walaupun pihak penerbit memberi Kjee tempoh 90 hari.








Dalam pada Kjee sibuk dengan kerja tersebut, rezeki lain datang mengolek apabila pihak Super Spontan Superstars, memilih Kjee antara anak seni veteran (warga emas) untuk menerima sumbangan kebajikan. Alhamdullilah syukur. Dan pada Jumaat, 9 September yang lalu, Kjee telah menerima sumbangan tersebut.

Kjee tidak boleh menjanjikan bila entri terbaru akan Kjee tampal di sini. Tetapi percayalah, setiap hari Kjee singgah 'untuk buang sawang-sawang' di blog ini. Mohon doa semua kerja yang Kjee lakukan itu dapat dilaksanakan dengan sempurna. Buat masa ini, Kjee belum bersedia untuk mendedahkan buku atau nama Tokoh tersebut.

Jadi, hingga kita bertemu lagi setelah hidup Kjee kembali 'normal' Kjee sekeluarga ingin mengucapkan Salam Aidil Adha kepada semua pembaca setia blog ini.



Bersama Dhabita, penerjun muda kita ke Olimpik

Wednesday, August 3, 2016

ayam

AYAM MENTEGA SUSU





Selama ini Kjee ingatkan Butter Chicken ni Chinese Food tetapi apabila terjumpa satu resipi yang memerlukan ayam diperap dengan rempah dan ada pengunaan daun kari, rasa-rasanya ia Indian food.

Dah banyak kali Kjee makan tapi tak pernah buat. Jadi semalam, nak melayan Nadia yang berpuasa, Kjee pun beritahu dia nak buat Butter Chicken dan lauk fav dia Terung Berlada.

Kjee intai buku resipi yan ditinggalkan arwah adik. Resipi itu menggunakan Chicken Breasts atau daging putih pada dada ayam. Tapi Kjee tak berapa suka makan white chicken tu (kecuali dikukus dan dicarik buat Kway Teow Soup). Jadi, Kjee tukar ke kepak ayam.

Kjee guna 6 ketul kepak ayam yang dipotong dua ikut sendinya. Kemudian Kjee perap lebih kurang sejam setelah dilumur sedikit rempah kari. Letak sekali garam.

Apabila sudah siap diperap, Kjee campur lebih kurang dua sudu tepung beras dan satu sudu tepung jagung. Lumurkan kepada ayam tadi dan goreng separuh masak. Tepikan.

Ketuk dua ulas bawang putih dan dadu satu ulas bawang besar. Kemudian letak setengah ketul butter (Kjee guna Emborg) dalam sauce pan dan buka api kecil hingga butter cair. Masukkan bawang putih dan bawang besar yang telah didadu. Tumis hingga wangi. Kemudian masukkan ¾ tin susu cair atau evaporated milk.

Masak susu serta bahan tumisan tadi guna api slow sehingga ia mendidih. Ketika ini, Kjee masukkan ½ kuib pati ayam Knorrs. Kemudian masukkan ayam dan daun kari. Rendidih hingga ayam kecut. Kalau terlalu pekat, letak sedikit air panas. Kemudian Kjee campakkan 5 biji cili padi yang telah dipotong-potong. Kalau nak pedas, tambah lagi. Kalau nak bagi makan anak-anak, tak perlu letak cili padi.

Apabila dirasakan ayam sudah cukup empuk dan rasa sudah ngam, padamlah api. Hidang dengan Nasi Putih.

Kjee ada terbaca satu resipi sama yang letak Cheddar Cheese. Diletak dalam ketika kuah sedang mendidih. Nanti nak terai lah.