Saturday, July 23, 2011

TUKAR KERETA DENGAN BURUNG


merpatiMACAM-MACAM jenis hobi orang, di Kuala Terengganu Seorang peminat burung merpati sanggup menyerahkan kereta Proton Wira bernilai RM20,000 dan menambah wang tunai RM1,000 bagi mendapatkan dua pasang burung merpati eksotik yang dipelihara, Ahmad Hashim, 44.
Bagaimanapun, beliau berkata, dua pasang merpati yang ditukar dengan kereta itu bukan sembarangan burung kerana ia baka Pomeranian Pouter, diimport dari Amerika Syarikat dan mempunyai nilai pasaran tinggi antara RM2,000 hingga RM2,500 seekor bagi anak berumur kurang empat bulan.
Katanya, walaupun harga burung itu tidak semahal ayam serama yang mencecah RM30,000 seekor, ia mempunyai keunikan tersendiri dan dikatakan lebih hebat dan cantik berbanding ayam serama terutama apabila merpati itu membonjolkan dadanya seperti bola dan bulunya mengerbang melindungi kaki yang panjangnya mencecah sehingga 12 sentimeter.
Ahmad berkata, beliau memelihara merpati dari Eropah, Amerika Syarikat dan Pakistan sejak lima tahun lalu sebagai hobi sambil menjadikan sumber pendapatan tambahan.
Bagaimanapun, katanya, ia kini menjadi perniagaan yang menjana pendapatan kerana baka import itu mendapat sambutan hangat peminat merpati terutama baka baru seperti Pomeranian Pouter dan English Pouter yang memasuki negara ini awal tahun ini, selain baka popular lain seperti Reverswing, Hana Spangle, Gaditano Pouter, Norwich Cropper dan Brunner.
“Saya tidak menghadapi masalah memasarkan burung ini kerana turut menggunakan internet, selain promosi mulut ke mulut di kalangan pelanggan saya.

“Saya mampu menjual dua hingga tiga pasang merpati baka import sebulan berharga antara RM2,000 hingga RM2,500 bagi sepasang anak yang ditetaskan di sini dan berumur kurang empat bulan.
“Bagaimanapun, mendapat kereta sebagai tukaran dua pasang merpati dewasa baka Pomeranian Pouter antara pengalaman paling mengejutkan sepanjang terbabit dalam perniagaan itu,” katanya dipetik dari Berita Harian.
Beliau mempunyai 40 pasang pelbagai spesies merpati eksotik import yang dipelihara di tepi rumahnya di Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu.
Jirannya yang juga penjual merpati eksotik, Mohd Maizureen Mohd Nor, 34, berkata beliau memelihara merpati baka dari Amerika Syarikat, Eropah dan Pakistan pada akhir 2009 dan mempunyai 50 pasang baka baru diperkenalkan ke negara ini seperti Gaditano (Sepanyol), Norwich Cuopper dan Brunner (Amerika Syarikat) dan Reverswing serta Hana Spangle (Pakistan).- Agendaily Online

0 comments:

Post a Comment